Sunday, April 19, 2009

Tafsir Surah

Al-Fatihah

&

Ringkasan Muqadimah Tafsir

Oleh :

Ustaz emran ahmad

Yaman

( تفسيرسورة الفاتحة )

Tafsir Surah Al-Fatihah

Surah Al-Fatihah (Pembukaan) , Ayat 1 hingga 7 , Juzuk Pertama Al-Quran dan diturunkan di Mekah.

أعوذ باالله من الشيطان الرجيم

{بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَانِ الرَّحِيمِ}( 1){الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ

الْعَالَمِينَ}(2)

{الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ}( 3)

{مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ}(4) {إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ}( 5)

{اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ}(6)

{صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ }(7)

[سورة الفاتحة : 1-7]

أعوذ باالله من الشيطان الرجيم

Aku berlindung dengan Nama Allah dari Syaitan yang direjam

{1} بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَانِ الرَّحِيم

Dengan Nama Allah yang Maha Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ {2}

Segala puji-pujian hanya bagi Allah, tuhan seluruh alam

الرَّحمَنِ الرَّحِيمِ {3}

Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

مَالِكِ يَومِ الدِّينِ {4}

Yang Menguasai Hari Akhirat (Hari Pembalasan)

اِيَّاكَ نَعبُدُ وَاِيَّاكَ نَستَعِينُ {5}

Hanya kepada Engkaulah kami sembah (tidak kepada selain-Mu) dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan (tidak kepada selain-Mu)

{6} اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ

Tunjukkanlah kami akan jalan yang lurus (benar)

صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّين {7}

Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat dan bukanlah jalan orang yang Engkau murkai (Yahudi) atau jalan mereka yang sesat (Nasrani)

Perihal Ayat Surah Al-Fatihah

Sesungguhnya disepakati oleh para ulama’ ummah bahawa Surah ini mempunyai 7 ayat kecuali apa yang diriwayatkan dari Husain Al-Ju’fi bahawa ianya 6 ayat dan riwayat ini syadz (diragui) juga yang mengatakan ianya 8 ayat dan pendapat ini pun juga lemah (lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Katsir m/s 22 Jilid 1). Dipegang oleh jumhur bahawa ianya 7 ayat sebagaimana disebut dalam firman Allah : وَلَقَدْ آتَيْنَاكَ سَبْعاً مِّنَ ٱلْمَثَانِي وَٱلْقُرْآنَ ٱلْعَظِيمَ “Dan kami telah berikan kepada engkau (Muhammad), 7 ayat dari Masani (yang dibaca berulang-ulang) dan Al-Quran yang agung.” (Surah Al-Hijr : 87).

Demikianlah pendapat jumhur menetapkan Al-Fatihah sebagai mempunyai 7 ayat termasuk meletakkan bismillah (بسم الله الرحمن الرحيم) sebagai ayat yang pertama.

Sejarah Penurunan Ayat

Ianya diturunkan di Makkah dan termasuk ayat Makkiyah menurut pegangan Ibn Abbas ra dan Qatadah serta Abu Ali’yah. Manakala menurut pendapat yang dipegang oleh Abu Hurairah ra, Mujahid, Atho dan Zuhri pula mengatakan ianya diturunkan di Madinah. Juga dikatakan ianya diturunkan di Makkah sebahagiannya dan di Madinah sebahagian yang lain seperti yang disebut oleh Abu Laits Nasir ibn Muhammad bin Ibrahim As-Samarqandi dalam tafsirnya. Namun yang paling benar ialah pendapat yang pertama kerana ianya terdapat dalam Surah Al-Hijr dalam ayat “Dan kami telah berikan kepada engkau (Muhammad), 7 ayat dari Masani (yang dibaca berulang-ulang) dan Al-Quran yang agung” (Surah Al-Hijr:87).

Sesungguhnya Surah Al-Hijr ini termasuk surah Makkiyah juga sesungguhnya telah difardhukan solat sejak di Makkah lagi , dan solat itu dilakukan dengan membaca Al-Fatihah sebagaimana sabda baginda nabi :

لا صلاة لمن لم يقرأ بفاتحة الكتاب

“ Tidak ada solat tanpa membaca Al-Fatihah” (hadith riwayat Bukhari no. 756 dan Muslim no. 394 , Ahmad no. 428 Jilid 2, Tirmidzi no.247, Darimi no. 283 Jilid 1 ). Juga dikeluarkan oleh Al-Wahidi dalam Ashab Nuzul dan Sa’labi dalam tafsirnya dari riwayat Ali ra bahawa Al-Fatihah diturunkan di Mekah (Asbab Nuzul oleh Wahidi m/s 10).

Diriwayatkan oleh ahli ilmu bahawa ianya 25 kalimah dan hurufnya berjumlah 113 huruf. Dan menurut hadith yang diriwayatkan oleh Baihaqi menyatakan ianya merupakan surah terawal yang diturunkan seperti dalam kitabnya Dala’il Nubuwah. (lihat Muktasar Tafsir Ibn Katsir m/s 23 Jilid 1). Tetapi pandangan ini tidaklah tepat dan hadithnya tidaklah kuat namun ianya sekadar membantu untuk mengatakan ianya (Surah Fatihah) termasuk Makkiyah.

Nama-nama bagi Surah Al-Fatihah

Al-Fatihah, (الفاتحة) Pembuka, sesungguhnya nama ini merupakan nama yang paling masyhur digunakan bagi merujuk kepada surah ini. Ianya disebut tanpa ada khilaf dikalangan ulama’ sebagai Fatihah kerana ianya dibaca sebagai pembuka kepada bacaan Al-Quran dan diletakkan pada awal dan permulaan surah dalam mashaf . Juga dibuka solat dengannya (Fatihah) (lihat Jami’ Ahkam Al-Quran m/s 116 Jilid 1 & Mukhtasar Ibn Katsir m/s 22 Jilid 1).

Ummul Kitab,(أم الكتاب) Ibu Kitab, disebut Surah Al-Fatihah dengan panggilan Ummul Kitab merupakan satu perkara yang dilakukan oleh ramai orang dan jumhur ulama’ . Walaubagaimana pun pemakaian nama “Ummul Kitab” ini wujud khilaf kerana dibenci dan ditegah oleh sahabat seperti Anas dan tabien seperti Ibn Sirin dan Hasan Al-Basri sebagaimana mereka berpendapat istilah ummul kitab itu hanya khusus kepada Lauh Mahfuz sebagaimana dalam ayat 4 Surah Az-Zukhruf . Namun sesungguhnya penggunaan nama Ummul kitab kepada surah fatihah mempunyai hujah dan dalil yang sabit (jelas) dari pertunjuk nabi sallahualahiwasalam seperti yang pernah disebut oleh baginda melalui riwayat Abu Hurairah ra bahawa rasulullah pernah bersabda :

الحمد لله رب العالمين أم القرأن وأم الكتاب والسبع المثاني والقرأن العظيم

“ Segala puji hanyalah bagi tuhan sekalian alam, Ummul Quran dan Ummul Kitab serta Sab’u Masani dan Al-Quran yang agung.” (Hadith Sahih riwayat Bukhari no. 4704, dlm bab Tafsir, Kitab fathul Bari Jilid 12 ).

Ummul Quran, (أم قرأن) Ibu Kitab, juga disebut sebagai Ummul Quran sebagaimana hadith yang telah dinyatakan sebelumnya ( أم القرأن ). Selain itu, ianya dijadikan sebagai pemula dalam Quran, dibaca sebagai pemula dalam solat, dan berkata Yahya ibn ya’mar bahawa ianya : Ummul Qura’ kerana diturunkan di Makkah, dan ummul Quran. (Jami’ Ahkam Quran m/s 116 Jilid 1).

Juga disebut sebagai “Solat, ( الصلاة) sebagaimana dalam hadith Qudsi riwayat Abi Hurairah bahawa rasul salallahualaihiwasalam bersabda bahawa Allah swt berfirman : الصلاة بيني و بين عبدي نصفين قسمت “ Sesungguhnya aku bersumpah dengan Solat bahawa antara aku dan hambaku baginya dua bahagian” (Hadith Sahih, riwayat Muslim dalam bab solat Musafir, no.395 & Abu Daud no. 861).

Al-Hamd (الحمد) Pujian, juga disebut Surah Al-Hamd, kerana padanya disebut ayat al-hamd (lihat Jami’ Ahkam Quran m/s 116). Juga sebagaimana dalam hadith Qudsi riwayat Abi Hurairah bahawa rasulullah salallahualaihiwasalam bersabda bahawa Allah swt berfirman :

الله حمدني عبدي فاذا قال العبد الحمد لله رب العالمين قال

“ Dan bila hambaku berkata segala puji bagi Allah tuhan sekalian Alam , maka Allah pun berfirman hambaku sedang memuji aku.” (Hadith Sahih, riwayat Muslim dalam bab solat Musafir, no. 395 & Abu Daud no. 861).

Sab’ul Masani, ( والسبع المثاني ) digelar sedemikian kerana dikhususkan bacaannya pada setiap rakaat dalam solat serta dibaca secara berulang-ulang saban hari dan tiap solat. Juga disebut sedemikian kerana distimewakan ummat ini dengannya dan tidak diturunkan kepada ummat sebelumnya . (Jami’ Ahkam Quran m/s 117 Jilid 1).

Al-Qur’an Al-Azim, (القرأن العظيم) disebut sedemikian kerana ianya mengandungi pemujian kepada nama Allah swt dengan menyifatkannya dengan segala kesempurnaan dan ketinggian dan perintah pengibadatan dan keikhlasan. (Jami’ Ahkam Quran m/s 117 Jilid 1).

As-Shifa’,(الشفاء) Penyembuh, diriwayatkan oleh Ad-Darimi’ dari Abi Sa’id Al-Khudri bahawa diriwayatkan rasulullah pernah bersabda “ Fatihatul Kitab ini penyembuh dari segala racun.” (Diriwayatkan oleh Darimi’ dalam Fadha’il Quran 445/2 no. 5826).

Ar-Ruqiyyah (الرقية) Perlindungan, jampi dan penawar, diriwayatkan dari hadith Abi Sa’id Al-Khudri bahawa rasulullah pernah bersabda kepada seorang lelaki dengan sabda-nya “ Apakah kamu tidak tahu bahawa sesungguhnya ia adalah ruqqiyah (jampi ? penawar) ?”. (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no. 2276 & Muslim 2201 ).

Al-Asas, (الأساس) sebagaimana yang disebutkan oleh Sya’bi “ Setiap perkara itu mempunyai asasnya dan katanya, asas Al-Quran itu ialah surah Al-Fatihah dan asas Al-Fatihah ialah Bismillah.” (lihat Jami’ Ahkam Quran m/s 117 Jilid 1 & Mukhtasar Tafsir Ibn Katsir m/s 22 Jilid 1).

Perihal Istia’zah (الأستعاذة)

أعوذ باالله من الشيطان الرجيم

Aku berlindung dengan Nama Allah dari Syaitan yang direjam

Sesungguhnya meminta perlindungan dari Allah terhadap segala keburukan dan kejahatan merupalkan kewajipan kepada setiap muslim. Bahkan ianya termasuk perkara ibadah dan penghambaan seseorang kepada Allah dengan menjadikan Allah sebagai pelindung dan tempat memohon segala sesuatu. Seperti firman Allah swt dalam Al-Qur'an :

وَقُلْ رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ ٱلشَّياطِين

“ Dan berkatalah kepada tuhan; aku memohon perlindungan dari bisikan syaitan-syaitan.” (Surah Mukminun : 97).

Begitu juga dalam firman Allah swt yang lain :

فَٱسْتَعِذْ بِٱللَّهِ إِنَّهُ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ

“ Maka mintalah perlindungan dari Allah sesungguhnya Dialah Maha Pendengar dan Maha Mengetahui.” (Surah Fusilat : 36).

Mengenai masalah istiazah dan memohon perlindungan Allah dari gangguan Iblis dan syaitan maka para ulama’ menyebut bahawa ianya dilakukan selepas membaca Al-Quran dan berpegang pada zahir ayat yang memerintahkan supaya beristiazah Manakala menurut Al-Qurtubi yang mengambil riwayat dari Abu bakr bin Al-Arabi (Ibnul Arabi) dan dari ulama’ Malikiyah menyatakan sesungguhnya dibaca istiazah dan memohon perlindungan dari syaitan selepas membaca Fatihah.

Bagaimanapun jumhur (sebahagian besar ulama’ ) memegang pendapat bahawa istiazah dilakukan sebelum membaca Al-Quran demi mempertahankan gangguan syaitan. Bahkan sebagai menuruti firman Allah swt :

فَإِذَا قَرَأْتَ ٱلْقُرْآنَ فَٱسْتَعِذْ بِٱللَّهِ مِنَ ٱلشَّيْطَانِ ٱلرَّجِيمِ

“ Dan jika kamu membaca Al-Quran maka mohonlah perlindungan Allah dari syaitan yang direjam.” (Surah An-Nahl :98). Ayat ini membawa makna jika kamu ingin membaca Al-Quran yakni amalan membaca itu belum dilakukan tapi jika akan dilakukan seperti mana ayat :

: إِذَا قُمْتُمْ إِلَى ٱلصَّلاةِ فٱغْسِلُواْ وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ

“ Dan jika kamu mendirikan solat maka hendaklah kamu basuh muka dan kedua tangan kamu” (Surah Al-Mai’dah :6).

Ayat ini menunjukkan jika ingin menunaikan solat hendaklah terlebih dahulu berwudhuk dan sudah tentu wudhuk mesti dibuat sebelum solat. Maka demikianlah ditafsirkan bagi ayat membaca istiazah terlebih dahulu sebelum membaca Al-Quran.

Jumhur Ulama’ bersepakat mengatakan bahawa Istiazah dilakukan sebagai sunnah dan tidaklah sampai ke tahap wajib dan berdosa jika ditinggalkan.Namun diriwayatkan dari Atho ibn rabih akan bahawa ianya wajib dibaca dalam solat dan diluarnya ketika ingin membaca Al-Quran. Maka berkata pula Ibn Sirrin ra bahawa jika kamu beristiazah sekali sepanjang hayat maka sesungguhnya telah menggugurkan perintah istiazah sebagaimana yang diperintahkan dalam Quran Surah An-Nahl ayat 98 tadi.

Menurut Imam Syafie ra bahawa dalam bacaan di kuatkan membacanya dan jika diperlahankan (dibaca secara sirr, rahsia) pun tidak mengapa seperti dalam kitabnya Al-Umm dengan memberikan pilihan kerana Ibn Umar membacanya secara perlahan (sirr) dan Abu Hurairah pula membacanya secara lantang.

Makna Istiazah

Istiazah bermaksud meminta perlindungan dan pertolongan kepada Allah dari gangguan Syaitan dan godaannya dan ianya merupakan satu perintah umum kepada semua manusia. Sabda rasulullah kepada Abi Zar ra :

يا أ با ذر, تعوذ با الله من شياطين الأنس والجين, فقلت أو للأنس شياطين ؟ قال : نعم .

“ Wahai Abu Dzar, Mintalah perlindungan kepada Allah dari Syaitan manusia dan syaitan dari jin”. Lalu aku pun bertanya apakah ada Syaitan dari kalangan manusia ? Baginda pun menjawab : Ya (Hadith Hasan Lighairih, riwayat Ahmad no.2136 & An- Nasaie no. 275 Jilid 8 ).

Cara Pembacaan Istiazah

Menurut Imam Syafi’e dan Abu Hanifah ra pada ta’a’uz ialah dengan cara membaca :

اعوذباالله من الشيطان الرجيم

“ Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam.”(Hadith Sahih, Tirmidzi no. 3696 & Abu Daud no. 4781) dan mereka berpendapat cukup berpada dengan kadar demikian. Namun menurut para ulama’ yang lain dibenarkan menambah sekadar yang terdapat dalam dalil dan pertunjuk dari sunnah rasulullah. Seperti yang diriwayatkan dari rasulullah salallahualaihiwasalam yang pernah membaca dengan menyebut :

أعوذباالله السميم العليم من الشيطان الرجيم

“Aku berlindung dengan Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari Syaitan yang direjam” (Hadith Sahih, riwayat Abu Daud no. 775).

Juga bacaan seperti :

الشيطان الرجيم من همزه ونفخه و نفثه أعوذباالله من

“ Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam dari bisikannya, tipu helahnya dan dari gangguannya” (Hadith Hasan, riwayat Abu Daud 764 & Ibn. Majah 804).

Manakala dalam bab membaca istiazah dalam solat maka menurut Imam Abu Hanifah dan Muhammad (anak muridnya) megatakan ianya dibaca. Dan jumhur mengatakan ianya dibaca selepas takbir iaitu sebelum Fatihah.

Mengenai hal ini para ulama’ mengatakan membaca istiazah dalam solat ialah sunnat yang sangat dituntut dan demikian pendapat jumhur kerana berdalilkan pada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id AL-Khudri bahawa rasul jika bangun malam akan bertakbir kemudian membaca doa iftitah lalu beristiazah dengan membaca :

أعوذباالله السميم العليم من الشيطان الرجيم من همزه ونفخه و نفثه

“Aku berlindung dengan Allah yang Maha Pendengar lagi Maha Mengetahui dari Syaitan yang direjam dari bisikannya dari tipu helahnya dan dari dirinya.” (Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi 242 & Ibn Majah 604).

Ianya dilakukan sebelum membaca bismillah dan Al-fatihah demikian menurut pendapat jumhur (lihat Sahih Fiqh Sunnah m/s 332 Jilid 1). Walaubagaimana pun saya menganggap membaca istiazah dalam solat dan sebelum memulakan bacaan Al-Quran sebagai wajib sebagai ihtiyat (berhati-hati) kerana disebut secara amar (perintah) dalam Al-Quran perintah beristiazah melalui firman Allah :

فَإِذَا قَرَأْتَ ٱلْقُرْآنَ فَٱسْتَعِذْ بِٱللَّهِ مِنَ ٱلشَّيْطَانِ ٱلرَّجِيمِ

“Dan jika kamu membaca Al-Quran maka mohonlah perlindungan Allah dari syaitan yang direjam.” (Surah An-Nahl :98).

Para ulama’ menyebut melalui kaedah usul bahawa meminta perlindungan Allah dari syaitan itu wajib bagi setiap muslim dan muslimat dan dengan membaca istiazah dapat menghalang gangguan syaitan maka membacanya wajib demi mencapai tujuan menghalang gangguan syaitan sebagaimana kaedah :

ما لا يتم الواجب الا به فهو الواجب

“Apa-apa yang dengannya diperlukan bagi menyempurnakan perkara wajib maka ianya pun menjadi wajib” (Lihat Al-Wajiz fi Syarah Qawa’id Fiqhiyah fi Syariah Islamiyah m/s 181 ).

Dan para ulama’ yang mengatakan membaca istiazah itu wajib dalam solat ialah Atho ibn Rabih ra dan As-Sauri serta Auzaie dan Imam Daud Az-Zahiri dan Ibn Hazm Az-zahiri serta juga dari riwayat Ahmad (lihat Al-Muhalla’ m/s 247 Jilid 3 dan Majmuk m/s 281 Jilid 3).

Ianya dibaca secara sirr (perlahan) kerana tiada dalil nabi salallahualaihiwasalam dan para sahabat membacanya secara jahar (kuat/ lantang) bahkan para khulafah ar-rasyidun juga membacanya secara sirr cuma dibenarkan oleh ulama’ untuk membacanya secara jahar (kuat) sekali-sekala sebagai memberi didikan kepada makmun demikian menurut pendapat Ibn Abbas ra dan pendapat ulama’ seperti Imam Nawawi. (lihat Sahih Fiqh Sunnah m/s 332 Jilid 1).

Imam Syafie mengatakan ianya iaitu istiazah dibaca setiap rakaat sebelum memulakan bacaan Quran dalam solat sebagai hukum sunnat namun pendapat yang dipilih ialah membaca pada setiap rakaat sebelum memulakan bismillah dan Al-Fatihah.

Bismillahirahmanirahim
Syarah Ayat 1

بِسمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ {1}

Dengan Nama Allah yang Maha Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Dimulakan pembacaan Al-Quran oleh para sahabat dengan membaca bismillah dan para ulama’ bersepakat mengatakan ianya sebahagian ayat dari Surah An-Naml dan mereka khilaf (berbeza pendapat) adakah ianya termasuk surah Al-Fatihah dan termasuk ayat dari surah-surah Al-Quran pada pemulaan.

Sepakat ahli qura’ (Ahli bacaan Al-Qur’an) Makkah dan Kufah bahawa ianya termasuk ayat dari Surah Al-Fatihah manakala ahli Madinah dan Basrah serta Syam pula berpegang bahawa ianya bukan sebahagian dari Surah Fatihah. Antara golongan yang mengatakan ianya ayat yang termasuk dalam surah Al-Fatihah dan termasuk ayat setiap surah dalam Al-Quran (dibaca pada permulaan) kecuali Bara’ah ialah Ibn. Abbas ra, Ibn Umar ra, Ibn Zubair ra, Abu Hurairah dan Ali Ibn Abi Thalib ra serta sebahagian besar sahabat ra.

Di kalangan tabien pula yang memegang pendapat yang sama ialah Atho, Thawus, Said Ibn Jubair, Makhul dan Zuhri dan juga apa yang diriwayatkan dari Abdullah Ibn Mubarak serta Imam Syafie dan Imam Ahmad ra.

Pendapat ini berdalilkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Ibn. Abbas ra yang menyebut bahawa ;

كان لا يعرف فصل السورة حتى ينزل عليه بسم الله الرحمن الرحيم

“ Sesungguhnya baginda nabi salallahualaihiwasalam tidaklah mengetahui fasal setiap surah (perbezaan antara surah-surah) sehinggalah diturunkan kepadanya bismillahirahmanirahim” (Hadith Sahih, riwayat Abu Daud no. 788 & Hakim no. 123 Jilid 1).

Manakala Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula mengatakan ianya bukanlah ayat dari Al-Fatihah dan bukanlah pula ayat permulaan dari mana-mana surah dalam Al-Quran. Namun pendapat ini lemah dan tidak kuat kerana terdapat dalil yang kuat yang membuktikan bahawa bismillah termasuk dalam Surah Al-Fatihah seperti yang terdapat dalam hadith yang diriwayatkan dari Ummu Salamah ra yang menyebut :

كانرسول الله صلى الله عليه وسلم يقطع قرأته بسم الله الرحمن الرحيم , الحمد الله رب العالمين, الرحمن الرحيم , مالك يوم الدين..

“ Sesungguhnya baginda rasulullah salallahualaihiwasalam membaca (Al-Fatihah) secara satu persatu dengan menyebut “ Bismillahirahmanirahim, Alhamdulillahirabbil Alamin, Ar-rahmanirahim, Malikiyaumidin.. (Hadith Sahih, riwayat Ahmad no. 302 Jilid 6, Abu Daud no. 4001, Hakim no. 231 Jilid 1 dan Daruquthni no. 313 Jilid 1).

Pengertian Bismillah بِسمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Secara bahasa ianya diterjemahkan sebagai “ Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.(lihat Al-Quran dan terjemahnya cetakan Indonesia m/s 5). Manakala dari sudut pemahaman ayat ini mengandungi nama dan sifat bagi Allah swt.

الله (Allah) – Merupakan nama bagi tuhan Yang Maha Esa dan Agung. Disebut sendiri oleh Allah akan nama-Nya ini dalam pelbagai ayat dan surah dalam Al-Quran.

هُوَ ٱللَّهُ ٱلَّذِي لاَ إِلَـٰهَ إِلاَّ هُوَ عَالِمُ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَادَةِ هُوَ ٱلرَّحْمَـٰنُ ٱلرَّحِيمُ

“ Dan Dialah Allah, yang tiada tuhan (Yang berhak disembah) selain Dia, yang Mengetahui perkara Ghaib dan yang Nyata dan Dialah Maha Pengasih dan Maha penyayang” (Surah Al-Hasyr : 22).

Nama Allah juga merupakan salah satu dari nama-nama-Nya yang disebut oleh baginda Nabi Salallahualaihiwasalam dalam sabda-Nya :

ان لله تسعة و تسعين اسما , مائة الا واحدا من أحصاها دخل الجنة

“ Sesungguhnya Allah mempunyai 99 nama, seratus kurang satu dan barangsiapa yang membilangnya (mengimaninya) akan masuk syurga” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no.2736 , Muslim no. 2677 dan Tirmidzi no. 3506).

الرحمن الرحيم -Ar-Rahman (Yang Maha Pengasih) dan Ar-Rahim (Maha Penyayang).

Merupakan 2 nama dan sifat bagi Allah yang berasal dari perkataan الرحمن (Ar-Rahman). Ar-Rahman ialah nama bagi Allah yang khusus dan merupakan sifatnya yang terpuji. Menurut para ulama’ Ar-Rahman ialah sifat Allah untuk hamba-Nya di dunia sebagaimana dari riwayat Abd. Rahman bin Auf ra bahawa beliau pernah mendengar baginda rasul salallahualaihiwasalam bersabda bahawa Allah swt berfirman :

قال الله تعالى انا الرحمن خلقت الرحم

“Aku ini Ar- Rahman (pengasih) dan aku yang menjadikan Rahim (kasih sayang)” (Hadith Sahih, riwayat Abu Daud no. 1694 dan Tirmidzi no. 1907).

Iaitu Sifat Ar-Rahman Allah digunakan kepada hamba-Nya di dunia sebagai tanda ihsan dan kemurahan Allah kepada hamba-Nya apabila Dia menciptakan di dunia kasih sayang supaya manusia dapat saling bergantung dan hidup dengan bahagia.

Manakala sifat Ar-Rahim pula merupakan sifat khas Allah buat hamba-Nya yang beriman sebagai ganjaran kepada mereka di dunia dan akhirat. Seperti dalam firman-Nya :

وَكَانَ بِٱلْمُؤْمِنِينَ رَحِيماً

“ Dan sesungguhnya Dia (Allah) sangatlah Penyayang kepada orang-orang yang beriman” (Surah Al-Ahzab : 43).

Menurut Abu Ali Al-Fasi menyatakan bahawa Ar-Rahman merupakan nama Allah yang khas dan tidak dimiliki oleh sesiapa pun dan hanya khusus pada Allah adapun rahim diberikan kepada makhluk untuk memilikinya. Nama Ar-Rahman terdapat banyak dalam Al-Quran seperti ayat :

قُلِ ٱدْعُواْ ٱللَّهَ أَوِ ٱدْعُواْ ٱلرَّحْمَـٰنَ أَيّاً مَّا تَدْعُواْ فَلَهُ ٱلأَسْمَآءَ ٱلْحُسْنَىٰ

“ Dan serulah Allah atau serulah dengan nama-Nya Ar-Rahman baik mana sahaja yang kamu seru sesungguhnya Dia mempunyai nama-nama yang baik (indah)” (Surah Al-Isra : 110).

Dalam ayat di atas, Allah menyamakan kesucian nama-Nya Allah dengan Ar-Rahman dan para ulama’ menyebut ianya sebagai tanda pengkhususan buat Allah swt (lihat dalam Fathul Qadir m/s 81 Jilid 1).

Adapun mengenai nama Ar-Rahim (Maha Penyayang) maka para ulama’ menyebut ianya merupakan sifat dan nama Allah yang berasal dari Sifat Ar-Rahman (Maha Pengasih) yang dimiliki-Nya. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bahawa Nabi Muhammad Salallahualaihiwasalam pernah bersabda :

ان الله عز وجل مائة رحمة , فمنها رحمة يتراحم بها الخلق بينهم وتسعة و تسعين ليوم القيامة

“ Sesungguhnya Allah Yang Maha Gagah lagi Maha Tinggi mempunyai seratus rahmat, dan satu dari bahagian rahmat-Nya itulah yang diberikan kepada makhluk-Nya di dunia manakala baki sembilan puluh sembilan rahmat-Nya yang lain adalah untuk hari Akhirat (kepada hamba-Nya yang beriman)(Hadith Sahih, riwayat Bukhari no. 6000 , Muslim no. 2752 dan Ahmad no 439 Jilid 5 serta Ibn Majah no. 4293).

Menurut ulama’ dengan rahmat Allah yang satu itulah yang diberikan kepada hamba-Nya di dunia ini maka dengannya dapatlah manusia dan jin dan binatang serta sekalian makhluk yang lain hidup mesra dengan aman damai dan ibu mengasihi anaknya, wujudnya cinta dan sayang dan rasa kasih sesama manusia dengan rahmat Allah yang satu itu.

Manakala baki 99 rahmat–Nya yang lain merupakan simpanan yang hanya akan diberikan kepada hamba-Nya yang beriman di akhirat lalu bayangkanlah betapa besar ganjaran rahmat-Nya yang menanti mereka yang beriman ?.

Membaca Bismillah dalam Solat

Mengenai bacaan bismillah dalam solat maka para ulama’ terbahagi kepada 3 golongan. Sesiapa yang mengatakan bismillah termasuk dalam surah Al-Fatihah maka mereka membaca bismillah dalam solat kerana menganggap membacanya wajib. Manakala golongan yang mengatakan bismillah bukan sebahagian dari Al-fatihah maka mereka tidak membacanya dalam solat kerana ianya menganggap ianya tidaklah wajib (Mukhtasar Tafsir Ibn Katsir m/s 29 Jilid 1).

Jumhur ulama’ mengatakan ianya adalah sebahagian dari Al-Fatihah dan telah pun kita bahaskan secara ringkas pada awal tafsir bismillah. Maka demikianlah pendapat yang paling tepat ialah bismillah termasuk dalam surah Al-Fatihah dan wajib membacanya dalam solat. Walaubagaimanapun ulama’ berselisih dalam cara membacanya adakah dibuat secara jahar (lantang) atau dibaca secara sirr (perlahan).

Menurut Imam Syafie, ianya dibaca secara jahar (lantang) bersama Al-Fatihah (bersama ayat- ayat yang lain). Dan demikianlah diriwayatkan bahawa pendapat ini sama dengan apa yang dipegang oleh sebahagian para sahabat, tabien dan imam-imam salaf seperti Khulafah Ar-Rasyidun, Abu Hurairah, Ibn. Abbas, Ibn. Umar, dan Muawiyah ra seperti yang diriwayatkan oleh Baihaqi dan Ibn Abd Barr namun riwayat ini gharib (dhaif iaitu lemah).

Begitulah kebanyakan hadith-hadith dan dalil yang membawa riwayat dibaca bismillah secara jahar (lantang) kebanyakannya dhaif (lemah). Seperti hadith yang dinisbahkan kepada riwayat Ummul Salamah ra yang dikatakan pernah menyebut bahawa nabi salallahualaihiwasalam :

قرأ البسملة فى أول الفاتحة وعّدها أية

“ Membaca bismillah pada awal Al-Fatihah dan membilangnya sebagai salah satu ayat dari Al-Fatihah” (Hadith Dhaif (lemah), riwayat Ibn. Khuzaimah no. 493).

Riwayat ini pada isnadnya dhaif (padanya ada perawi bernama Amru bin Harun merupakan dhaif ) maka ianya tidak dapat dipercayai sebagai membawa khabar dari nabi salallahualaihiwasalam dan tidak terpakai dalam feqah.

Begitu juga dalam hadith yang lain yang kononnya dikatakan diriwayatkan dari Ibn Abbas yang menyebut bahawa baginda salallahualaihiwasalam :

كان يجهر ببسم الله الرحمن الرحيم

“Sesungguhnya baginda menjaharkan (melantangkan) membaca bismillah dalam solat” (Hadith Dhaif, riwayat Hakim no.208 Jilid 1). Hadith ini tersangatlah dhaif (dhaif Jiddan) dan tidak patut disebut sebagai hadith dan dinisbahkan kepada Ibn Abbas dan rasulullah salallahualaihiwasalam.

Para ulama’ menetapkan hadith dhaif tidak boleh dibuat hujah dalam perkara feqah dan ibadah kepada Allah kerana yang dimaksudkan dhaif (lemah) itu ialah hadith yang tidak mempunyai sifat-sifat hadith sahih dan hasan yakni hadith itu mempunyai kecacatan dan kesalahan atau keburukan pada riwayatnya (lihat Ma’rifah Anwa’ul Ilmu Hadith oleh Ibn Solah m/s 30).

Sama ada riwayat itu terputus sanad (yakni perawi tertentu meriwayatkan hadith itu sedangkan antara dia dan orang yang didakwa memberikan hadith itu padanya jauh beza jarak masanya sebagai contoh sehingga mencapai 20 tahun iaitu setelah orang itu meninggal dunia lebih dari 20 tahun barulah perawi ini lahir dan kemudiannya mengaku menerima hadith dari orang yang telah 20 tahun lebih meninggal dunia sebelum dia lahir lalu bagaimana hadith begini boleh diterima ?) .

Atau dhaif juga disebabkan oleh kerana perawi itu sendiri dianggap oleh para ulama’ sezaman dengannya sebagai pendusta dan pembohong, fasiq atau ahli maksiat lalu jika demikian sekalipun bagaimana mungkin kita boleh menerima hadith yang diriwayatkan oleh orang sebegini ? Mempercayai hadith (agama) yang membawa hukum dan hakam dari seorang yang dikenali sebagai pembohong ?

Cumanya para ulama yang membenarkan penggunaan hadith dhaif sebagai hujah ialah apabila dhaifnya tidak keterlaluan iaitu apabila hadith itu dhaif disebabkan perawinya dhaif kerana dikenali sebagai jujur dan soleh namun kurang kuat ingatan atau agak pelupa maka didhaifkan (dilemahkan riwayat darinya) oleh para ulama’ kerana menjaga agama ini dari kesilapan dan tersalah lalu bagaimana boleh muncul golongan yang mendakwa tidak mengapa beramal dengan hadith dhaif ? (lihat Muqadimah kitab Sahih Tar’qib Wa Tarhib li Imam Hafiz Al-Munziri oleh Muhadith Syeikh Nasiruddin Al-bani).

Manakala menurut riwayat yang sahih, bahawa para khulafah ar-rasyidun, para sahabat dan ulama’ salaf terdahulu tidaklah menjaharkan bismillah (membaca secara kuat) dan pendapat inilah yang paling tepat dan benar seperti apa yang diriwayatkan dari hadith Abdullah ibn Maq’fal dan sekumpulan sahabat dan dipegang oleh Sufyan As-Sauri , Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad Ibn Hambal ra. Pendapat ini jelas bertepatan dengan hadith yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik dan Abdullah Bin Maq’fal yang menyebut :

صليت خلف النبي صلى الله عليه وسلم وابى بكر و عمر و عثمان فكانوا يفتتحون بالحمد لله رب العالمين

“ Aku bersolat dibelakang nabi salallahualaihiwasalam dan Abu Bakar serta Umar dan Usman dan sesungguhnya mereka memulakan solat dengan membaca Alhamdulillahi rabbil Alamin (Segala puji hanya bagi Allah tuhan sekalian Alam)” (Hadith Sahih riwayat Bukhari no. 743, Muslim no. 399, Abu Daud no. 782 ).

Dan wujud penambahan pada hadith yang diriwayatkan oleh Muslim yang menyebut “Dengan tidak membaca bismillah pada awalnya dan akhirnya” (lihat hadith riwayat Muslim no. 399 dan kitab Minhaj Syarah Sahih Muslim oleh Imam Nawawi).

Bagi Imam Malik ra mengatakan tidak dibaca bismillah secara keseluruhan baik secara jahar (lantang) dan secara sirr (perlahan) dengan berhujah menggunakan hadith yang sahih dari riwayat Ummul Mukminin Aisyah ra yang berkata bahawa “Sesunggguhnya rasulullah salallahualaihiwasalam memulakan solat dengan takbir dan membaca alhamdulillahirabil alamin iaitu tanpa membaca bismillah” (riwayat Muslim no. 498, Abu Daud no. 783 dan Ibn Majah no 812).

Namun pendapat Imam Malik ra tidaklah tepat kerana terdapat dalam hadith yang lain yang menyebut baginda membaca bismillah sebagai bukti bahawa ianya termasuk dalam surah Al-Fatihah. Oleh yang demikian mustahil ianya tidak dibaca kerana Al-Fatihah itu wajib dibaca dalam solat dan bismillah termasuk surah Al-Fatihah.

Maka kerana itulah para ulama’ bersepakat menyatakan ianya dibaca namun secara sirr (perlahan) dan kerana itu dapatlah difahami mengapa diriwayatkan oleh hadith-hadith yang sahih bahawa nabi salallahualaihiwasalam memulakan Al-Fatihah dengan Alhamdulillahirabbil alamin kerana bismillah telah dibaca secara sirr (perlahan) dan inilah sebaik-baik pendapat dan dianggap paling tepat (lihat Sahih Fiqh Sunnah m/s 320 Jilid 1).

Alhamdulillahirabbil Alamin

Syarah Ayat 2

الْحَمدُلِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ {2}

Segala puji-pujian hanya bagi Allah, tuhan seluruh alam

Ayat ini merupakan ayat yang mulia dan indah kerana padanya memberi puji dan penghargaan buat Allah tuhan sekalian alam. Padanya wujud unsur ta’abud (pengibadatan) dan ta’zim (mengagungkan) tas’na (mensucikan) kepada Allah swt serta mengiktiraf ketuhanan dan kekuasaan-Nya yang menyeliputi seluruh hidup dan mati makhluk serta alam dan isinya.

Pujian dan syukur yang tertinggi secara khusus dan mutlak hanya pada Allah swt dengan pujian dan syukur yang mengatasi sesuatu yang dikhususkan hanya pada-Nya.

Dibaca ayat ini tidak hanya pada Al-Fatihah dan di dalam solat bahkan dibaca ia di dalam majlis, doa dan setiap khutbah serta ucapan kebesaran yang memuji Allah. Mengenainya para ulama’ bersepakat bahawa menjadi sunnah dan anjuran kepada manusia melazimi dengan ayat ini dan menjadi pembuka dalam doa kerana ianya disebut dalam hadith riwayat Jabir ibn Abdulllah ra bahawa nabi salallahualaihiwasalam pernah bersabda :

أفضل الذكر لا اله الا الله و أفضل الدعاء الحمدلله

“ Sebaik-baik zikir ialah la ilaha ila Allah dan sebaik-baik doa ialah alhamdulillah” (Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi no. 3383 dan Ibn Majah no. 3800 dan Nasaie no. 831).

Pengertian Ayat لله رب العالمين الحمد

Menurut makna bahasa, ianya difahami sebagai “ Segala puji hanya bagi Allah tuhan seluruh alam” (lihat Al-Quran dan terjemahnya cetakan Indonesia m/s 5). Sesungguhnya dalam memahami maknanya yang cukup luas para ulama menyebut ayat ini sangatlah mendalam dan membawa maksud yang panjang.

Padanya letak puji-pujian bagi Allah yang merupakan perkara ibadah bagi hamba kepada Allah tuhan yang Esa, padanya juga wujud syukur dan terima kasih atas rahmat-Nya sebagai penghargaan dari hamba, dan padanya juga wujud kalimah رب العالمين rabbil alamin yang membawa maksud tuhan yang menguasai alam semesta dan alam seluruhnya yang dapat difahami dengan ilmu dan pemerhatian.

لله الحمد Alhamdulillah, (Segala puji (syukur) hanya bagi Allah).

Pada ayat ini, Allah menyebut akan pujian dan syukur kepada Zat-Nya sebagai mengajar manusia dan makhluk seluruhnya akan kalimah mulia yang diredhai-Nya ini sebagaimana yang terdapat dalam asar dari sahabat (riwayat dari sahabat) bahawa Umar ra pernah bertanya kepada Ali ra apakah yang dimaksudkan dengan الحمد لله maka dijawab oleh Ali bahawa ianya :

كلمة رضيها الله لنفسه..

Kalimah yang diredhai oleh Allah untuk disebut pada zat-Nya”.

Manakala dalam riwayat Ibn. Abbas ra pula menyebut bahawa

الحمد لله رب العالمين

ialah bermaksud segala puji hanya bagi Allah atas nikmat dan rahmat-Nya serta kekuasaan-Nya (lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Katsir m/s 35 Jilid 1).

Pada ayat ini juga membawa makna syukur dan penghargaan pada nikmat dan rahmat yang diberikan oleh Allah swt bahkan dalam hadith yang lain yang diriwayatkan dari Anas bin Malik ra berkata bahawa rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda yang menyebut :

ما أنعم الله على عبد نعمة فقل الحمد لله الا كان الذي أعطى أفضل مما أخذ

“ Dan tidaklah apa yang diberikan Allah kepada hamba-Nya (nikmat atau rezeki) dan hamba itu mengucapkan “ Segala puji bagi Allah” –(syukur) melainkan apa yang diberikan itu lebih baik dari apa yang diambil darinya” (Hadith Hasan, riwayat Ibn Majah no. 3805).

Iaitu segala nikmat yang diberikan oleh Allah swt kepada hamba-Nya apabila hamba itu bersyukur dengan mengucapkan Alhamdulillah maka segala nikmat yang diberikan itu lebih baik dan afdhal dari nikmat yang telah ditarik dan diambil kembali.

Menyebut perihal syukur kepada Allah, marilah kita melihat nikmat yang telah Allah swt berikan kepada kita. Mulai sejak lahir, manusia telah dibekalkan dengan pelbagai keajaiban dan anugerah yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana ciptaan lain. Lihat sahaja bayi kecil dalam kandungan ibunya, hidup dengan bergantung kepada saluran uri (talian pusat dari perut ibu) yang membekalkan makanan kepadanya dan di dalam perut ibu itu dia mampu distabilkan dari kesejukan dengan suhu badan ibunya yang memanaskan dan menghangatkannya dari kesejukan sedang dia tidak berpakaian.

Siapakah yang mencipta sistem ini ? Genius manakah atau doktor manakah atau pun adakah si ibu sendiri yang merancang untuk menjadikan bayinya sekian dan sekian ? merancang untuk menjadikan bayinya lelaki atau perempuan, mempunyai genetik sekian, warna kulit sekian atau Allah yang Maha Kuasa dan Bijaksana ? Sudah tentu hanya Dia (Allah) pencipta yang Esa yang mampu menjadikan semua yang mustahil ini kepada logik dan terjadi. Lihat sahaja jari kita dijadikan 5 batang, pasti mempunyai hikmahnya. Bayangkan jari kita hanya 3 atau lebih lalu bagaimanakah keadaannya ? Begitu juga dijadikan Allah jari-jari itu tidak sama panjang dan tidak sama bentuknya sebagai memudahkan kita dan menurut pakar sains bentuk jari manusia merupakan bentuk terbaik dan paling efisyen untuk sebarang pergerakan dan aplikasi dibanding bentuk-bentuk lain.

Maha suci Allah yang memberikan nikmat kepada manusia dengan tidak terhingga. Nikmat penglihatan, nikmat pendengaran dan pancaindera kesemuanya serta nikmat kesihatan, nikmat rezeki dan makanan. Bayangkan bagaimana manusia mampu menghasilkan beras dari padi ? Mengeluarkan ikan dari lautan dalam, menumbuhkan buah-buahan dan bijirin dari benih ? Siapakah yang memberi pengetahuan ini ataukah manusia sendiri yang menerokainya ? Nikmat akal dan pengetahuan dan lain-lain nikmat yang semuanya diberikan oleh Allah swt kepada manusia.

Namun dalam menafsirkan ayat الحمد لله ini dari sudut kesyukuran kepada Allah swt, para ulama’ menyatakan tidak wujud nikmat yang lebih besar dari segala nikmat yang tidak semua manusia mampu dan dapat menerima nikmat tersebut iaitu nikmat Iman dan Islam. Dari kerana nikmat inilah yang menyebabkan seseorang insan itu bahagia atau celaka di akhirat yang kekal selamanya.

Dunia hanya sementara, biar nikmat dunia dan segala isinya dimiliki namun ianya sementara, paling lama manusia mampu untuk hidup Cuma sekadar 70 sehingga 100 tahun. Seterusnya menuju ke negeri akhirat yang kekal abadi lalu tidak berbaloi segala nikmat dunia dibanding derita dan siksa akhirat juga sebaliknya tidak berapa sangatlah penderitaan dunia di banding dengan balasan nikmat syurga dan kebahagian yang abadi.

Pada ayat ini sebenarnya ianya mempunyai kesinambungan dengan ayat-ayat yang sebelumnya. Bahkan ianya mempunyai maksud yang mendalam, Surah ini iaitu Al-Fatihah secara kebiasaannya dibaca bukanlah oleh orang yang kafir atau yang tidak beriman, bahkan oleh mereka yang sudah mendapat nikmat Islam dan Iman.

Surah ini dijadikan sebagai rukun solat dan dibaca sebanyak 17 kali sehari dalam setiap rakaat bagi solat fardhu. Hanya Allah yang mengetahui rahsianya namun kita dapat memahami betapa pada ayat ini Allah menyuruh kita memuji-Nya dan bersyukur sebanyak-banyaknya dengan pembacaan ayat ini lantaran telah dianugerahi-Nya nikmat terbesar kepada kita iaitu nikmat Iman dan Islam.

Kerana perintah memuji dan mensyukuri nikmat Allah adalah wajib kepada setiap yang beriman sebagaimana firman-Nya :

لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

“ Dan jika kamu bersyukur kepada Aku (Allah) maka Aku pasti akan menambah nikmat-Ku dan jika kamu kufur maka azabKu amatlah pedih” (Surah Ibrahim : 7).

Sudah tentu sahaja kita wajib bersyukur kerana pada diri kita dikurniakan Allah anugerah yang paling tinggi nilainya di alam ini iaitu nikmat dan anugerah Iman dan Islam yang lebih mahal dari segala harta pangkat dan isi dunia. Oleh yang demikian, Maha Suci Allah lagi Maha Bijaksana telah mengajar kita supaya mensyukuri-Nya melalui ayat ini sebagai salah satu cara dalam bacaan solat sebagai menunaikan kewajipan sebagai hamba kepada-Nya.

Amat malanglah bagi mereka yang bersolat namun lalai sebagaimana yang disebut oleh Allah swt :

فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ ٱلَّذِينَ هُمْ عَن صَلاَتِهِمْ سَاهُونَ

“ Maka celakalah bagi mereka yang bersolat iaitu bagi mereka yang solat dengan keadaan lalai” (Surah Al-Ma’un : 4-5). Maka para ulama’ menyebut antara maksud lalai ialah menunaikan solat dalam keadaan tidak memahami apa yang dibaca seolah mereka mempermainkan Allah dalam ucapan mereka apabila memuji Allah tapi hati mereka tidak demikian lantaran tidak memahami apa yang dibaca (lihat Fathul Qadir m/s 674 Jilid 5).

رب العالمين – Rabbil Alamin, (Tuhan seluruh Alam).

Disebut oleh Ibn Abbas yang dimaksudkan dengan رب العالمين ialah tuhan pencipta langit dan bumi serta pengatur dan pentadbir seluruh alam baik yang diketahui oleh makhluk mahupun yang tidak diketahui. Menafsirkan ayat ini merujuk kepada firman Allah dalam ayat yang lain seperti kisah pertanyaan Firaun kepada Nabi Allah Musa as :

قَالَ فِرْعَوْنُ وَمَا رَبُّ ٱلْعَالَمِينَ * قَالَ رَبُّ ٱلسَّمَاوَاتِ وَٱلأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَآ إِن كُنتُمْ مُّوقِنِينَ

“ Dan bertanyalah Firaun, Apakah rabbul alamin (tuhan sekalian Alam )? Maka Musa menjawab “Tuhan yang menguasai langit dan bumi dan apa-apa yang di antara keduanya”, demikianlah kenyataan jika kamu mempercayai-Nya” (Surah As-Syu’ara : 23).

Maka kita akan mendapati bahawa Rabbul Alamin itu ialah pentadbir penguasa yang menguasai langit dan bumi serta apa-apa yang terdapat di antara keduanya yang bererti segala-galanya.

Sesungguhnya perkataan Rabbul Alamin ini merupakan salah satu dari nama Allah jika menurut pendapat sebahagian ulama’ iaitu pada kalimah رب yang bermaksud pengatur dan pentadbir bagi seluruh alam dan makhluk. Berkata Ibn. Abbas ra bahawa العالمين mencakupi seluruh alam termasuk jin dan manusia dan menyebut “Sesungguhnya Dialah (Allah) pencipta segala-galanya langit dan bumi seluruhnya serta setiap sesuatu tanpa kecuali baik yang diketahui mahupun yang tidak diketahui”, seperti yang diriwayatkan melalui Ibn. Jubair dan Ibn Abi Hatim pada tafsir ayat ini (Fathul Qadir m/s 87 Jilid 1).

Menanggapi kekuasaan Allah dan kehebatan pentadbiran-Nya yang tiada tandingan mungkin akan lebih jelas kepada kita jika banyak membuat pemerhatian kepada alam semesta dan melihat kebesaran Allah melalui penciptaan dan kejadian alam. Sebagai contoh kecil, cukup sahaja mengambil hujan sebagai iktibar, dalam Al-Quran menyebut firman-Nya :

وَٱلَّذِي نَزَّلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً بِقَدَرٍ فَأَنشَرْنَا بِهِ بَلْدَةً مَّيْتاً

“ Dan (Allah) yang menurunkan air dari langit (hujan) dengan kadar yang tertentu lalu kami hidupkan dengan air itu (hujan) bumi yang mati” (Surah Az-Zukhruf :11).

Para saintis telah membuat kajian dan menemui keajaiban mengenai hujan. Dianggarkan menurut kajian dan menggunakan kelengkapan moden bahawa kuantiti air yang mengewap dari permukaan bumi bagi setiap saat ialah sebanyak 16 juta tan air. Lalu dalam setahun akan menghasilkan air yang mengewap sebanyak lebih kurang 513 juta billion tan dan air yang mengewap inilah yang akan menghasilkan hujan apabila berlaku proses penghasilan hujan.

Alangkah ajaibnya dan mengejutkan pakar sains apabila angka ini sama dengan jumlah kuantiti hujan yang turun ke bumi bagi tempoh setahun. Ini bererti air dari bumi dikitarkan secara seimbang dan berterusan dalam satu kitaran tertentu seperti yang disebut dalam Al-Quran dengan kadar yang tertentu” (Surah Az-Zukhruf :11).

Sekalipun mengunakan kemajuan sains dan kecangihan teknologi, manusia tetap mustahil mampu melakukan kitaran alam semulajadi ini secara seimbang dan bertepatan dengan kadar yang diperlukan. Bayangkan jika air yang mengewap dari permukaan bumi tidak sama dengan hujan yang turun walau hanya berbeza sedikit pun sudah cukup untuk memberi kesan kepada suhu, hidupan tumbuhan, laut dan tanah tanih serta makhluk lainnya.

Antara lain bukti Dia (Allah) sebagai rabbul Alamin (pentadbir & pencipta seluruh alam) juga dapat kita perhatikan dalam firman-Nya :

أَفَلاَ يَنظُرُونَ إِلَى ٱلإِبْلِ كَيْفَ خُلِقَتْ

“Apakah kamu tidak melihat kepada unta bagaimana ianya diciptakan (oleh kami) ?” (Surah Al-Ghashiyah : 17).

Para ahli sains yang mengkaji Al-Quran sudah ramai yang memeluk Islam dan menerima Al-Quran sebagai satu keajaiban dan mukjizat. Lihatlah unta mengapa Allah menyebutnya dalam Al-Quran ? Pasti ianya mempunyai hikmah tertentu dan jawapannya sudah pasti. Unta menurut kajian pakar sains merupakan satu binatang yang mengkagumkan. Unta mampu hidup tanpa makan dan minum selama lapan hari dengan suhu persekitaran yang panas sehingga mencapai 50 darjah celcius. Manusia biasanya akan mati jika kekurangan air dari badan sebanyak 12 % tapi unta mampu mengalami kehilangan air dari badan sebanyak 40 % dari keseluruhan air dalam badan.

Badan makhluk ini cukup unik apabila mampu meminimumkan penggunaan air dalam badan dan juga mampu menstabilkan suhu badan menurut persekitaran di padang pasir. Dalam masa 10 minit unta mampu meminum air sehingga 130 liter sehingga seolah badannya merupakan tong air yang besar. Hidungnya begitu unik kerana terdapat bendalir yang berstruktur tertentu sehingga mampu menyerap wap air di udara melebihi 66 %. Rambutnya yang tebal melindunginya dari panas yang membakar dan juga dari kesejukan di tengah malam di padang pasir. Struktur badan, kebolehan dan kemampuan yang dimilikinya ini dari manakah datangnya ? Adakah unta sendiri yang mereka cipta tubuh badannya demi menyesuaikan dirinya dengan habitatnya ? Jawabnya tentu sekali tidak dan sudah pasti hanya Dia (Allah) yang mampu berbuat sedemikian dan Dialah (Allah) sebenar-benar Rabbul Alamin (Pentadbir dan Penguasa Seluruh Alam).

Ar-Rahmanirahim

Syarah Ayat 3

الرَّحمَنِ الرَّحِيمِ {3}

Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Selepas Allah swt menyebut perihal pujian dan mensucikan-Nya atas kekuasaan-Nya yang meliputi langit dan bumi dan apa-apa yang berada di antara keduanya maka seterusnya Allah swt menyebut pula disebalik kekuasaan dan pemilikan-Nya ke atas langit dan bumi serta apa-apa yang di dalamnya itu Dia (Allah) sebenarnya adalah Maha Pengasih dan Maha Penyayang yang merahmati makhluk-makhluk-Nya demikianlah hubungan ayat ini dengan ayat yang pertama seperti yang difahami oleh para ulama’ (lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Katsir m/s 37 Jilid 1).

Telah diperjelaskan makna tafsir ayat ini pada awal-awal ayat yang pertama (iaitu pada bismillahirahmanirahim) dan menurut Imam Al-Qurtubi bahawa Allah swt menyebut dua sifat-Nya ini sebagai mengambarkan kemurahan dan kebaikan-Nya kepada hambanya yang berada di bawah kekuasaan-Nya. Seterusnya pada ayat yang berikutnya Allah swt menyebut kembali akan kekuasaan dan kehebatan serta keagungan-Nya bagi mengulangi kepada hamba-hamba-Nya supaya mengingati dan memahami akan hakikat kehidupan yang diciptakan-Nya.

Malikiyaumiddin

Syarah Ayat 4

مَالِكِ يَومِ الدِّينِ {4}

Yang Menguasai Hari Akhirat (Hari Pembalasan)

Dalam ayat ini Allah swt kembali mengulangi kehebatan dan keagungan-Nya kepada makhluk-Nya (manusia & Jin) yang masih enggan tunduk kepada-Nya dengan sekian kalinya menegaskan bahawa hanya Dialah (Allah) tuhan yang wajar disembah dan tidak patut wujud sesuatu yang disembah, ditaati, ditakuti selain-Nya dengan membawa ayat yang berbunyi “ Dialah (Allah) Yang Menguasai hari Akhirat (Hari Pembalasan). Ayat ini membawa satu penegasan kepada hamba-Nya bahawa hanya Dia (Allah), yang Menguasai kematian, yang Menguasai hari kiamat, yang Menguasai hari akhirat dan yang Menguasai hari pembalasan dan penolakan bahawa hanya Dia dan bukan selain-Nya.

Pengertian Ayat مالك يوم الدين

Ayat ini membawa makna bahasa sebagai “Dialah (Allah) yang Menguasai Hari Pembalasan” (lihat Al-Quran dan terjemahnya cetakan Indonesia m/s 5). Walaubagaimanapun ulama’ khilaf manakah lebih sesuai sama ada hari Pembalasan atau hari Kiamat. Namun bagi bahasa Melayu amat susah untuk diterjemahkan sesuatu patah perkataan atau lafaz arab ke bahasa melayu kerana kelemahan kosa kata melayu yang agak sempit.

Memahami ayat ini sesungguhnya mereka yang beriman akan mengambil pengajaran dan mengetahui bahawa yang dimaksudkan tujuan Allah mengatakan bahawa hanya Dia yang menguasai hari pembalasan sebagai supaya manusia takut kepada-Nya dan mengingati hari Pembalasan di mana setiap amal perbuatan akan dibalas, baik dibalas nikmat dan jahat dibalas dengan azab. Pada ketika itu maka siapakah yang akan menguasai dan mentadbir segala urusan Pembalasan di hari tersebut ? Jawabnya hanya Dialah Allah swt.

Ketika itu manusia yang dahulunya sombong dan hidup berkuasa ketika di dunia akan merendah diri dan tunduk kepada Allah dengan hina dan cela. Tiada sesiapa dapat menipu dalam hari Pembalasan ini kerana Penguasanya bukan sesiapa tapi Allah swt.

Kerana itu ayat ini disebut oleh Allah swt sebagai memaklumkan bahawa mungkin manusia boleh menyombong diri di dunia dengan harta, kemewahan, kekuasaan, kehebatan tapi apakah mereka akan dapat terlepas dan melarikan diri dari terkena balasan ? Atau dari menghadiri Hari Pembalasan ? Jawabnya tidak sama sekali kerana disebut oleh Allah swt :

يَقُولُ ٱلإِنسَانُ يَوْمَئِذٍ أَيْنَ ٱلْمَفَرُّ

“ Manusia berkata pada hari itu di manakah kita akan berlari ?” (Surah Al-Qiyamah :10).

Ketahuilah mereka sama sekali tidak akan dapat berlari kerana Allah telah pun menjawab segala resah gelisah mereka dengan firman-Nya :

كَلاَّ لاَ وَزَرَ

“ Bahkan sama sekali mereka tidak dapat berlari (berlindung dari azab Allah)!” (Surah Al-Qiyamah : 11).

Ayat ini juga sebagai ketenangan kepada orang yang beriman, bahawa mereka di dunia hari ini mungkin ditindas oleh raja dan pemerintah dunia yang zalim, ditekan dan dihina oleh mereka yang kaya dan berkuasa namun Allah mengingatkan ayat ini kepada golongan yang beriman supaya bersabar kerana akan sampai masanya berlaku Hari Pembalasan di mana tiada pemerintah lain selain Allah (kerana di dunia Allah membiarkan manusia berkuasa dengan kuasa yang kecil sebagai ujian) dan pada waktu ini hanya Allah yang akan menguasai segala-galanya.

Allah pasti tidak akan melupakan golongan yang beriman untuk diberi ganjaran nikmat dan syurga serta pada hari itu mereka benar-benar akan mentertawakan orang-orang yang dahulunya menindas mereka :

فَٱلْيَوْمَ ٱلَّذِينَ آمَنُواْ مِنَ ٱلْكُفَّارِ يَضْحَكُونَ

“ Maka pada hari ini orang yang beriman pula akan mentertawakan golongan yang kafir” (Surah Al-Mutaffifin :34) dan juga pasti tidak akan melupakan golongan derhaka yang zalim dan mendustakan kebenaran untuk diberi azab :

فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ ٱلْحَرِيقِ

“ Dan bagi mereka azab jahannam dan bagi mereka juga azab yang membakar” (Surah Al-Buruj : 10).

مالك Malik (Raja atau Pemerintah dan Penguasa).

Dalam ayat ini para ulama’ qiraat menyebut ianya dapat dibaca dengan 2 cara iaitu sama ada membaca secara memanjangkan mad (2 harakah) iaitu dengan membaca مالك يوم الدين seperti yang dibaca oleh kebanyakan qurra atau pun membaca dengan tidak memanjangkan mad seperti ملك يوم الدين dan kedua-dua bentuk bacaan ini sah serta sahih.

Malik yang dimaksudkan oleh ayat ini haruslah difahami oleh kebanyakan orang awam bahawa ianya tidaklah sama seperti Malik (raja) di dunia. Sebenarnya jika menurut pelbagai hujah dan dalil yang sahih maka pemakaian istilah seperti “ Raja” , “ Agung” sebenarnya hanya layak kepada Allah yang Maha Esa. Pengunaan istilah ini hanya khusus kepada Allah seperti yang disebut dalam firman-Nya :

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ مَلِكِ ٱلنَّاسِ إِلَـٰهِ ٱلنَّاسِ

“ Katakanlah, aku berlindung dengan tuhan manusia (1) dan Raja Manusia (Allah)” (Surah An-Nass : 1-2).

Dalam ayat ini Allah swt menyamakan status-Nya sebagai tuhan kepada manusia dengan status-Nya sebagai Raja kepada manusia. Maka hasil dari itu ianya membawa makna sebagaimana hak penisbahan tuhan itu hanya layak kepada Allah maka seperti itulah juga hak penisbahan “Raja” itu hanya layak dipakai pada Allah swt. Malangnya kejahilan manusia dan masyarakat awam terhadap hal ini menyebabkan berlaku pencerobohan kepada hak Allah dari sudut penisbahan nama dan gelaran.

Demikianlah juga apabila disebut Malik (raja & pemerintah) ianya membawa maksud Allah sebagai pemerintah yang menguasai kerajaan-Nya yang terdiri dari jin dan manusia serta langit dan bumi seperti firman-Nya :

قَوْلُهُ ٱلْحَقُّ وَلَهُ ٱلْمُلْكُ

Dan kata-kata-Nya benar serta bagi-Nya (mempunyai) Kerajaan” (Surah Al-An’am : 73).

Bahkan disebut mempunyai kuasa pemutus dan menguasai urusan segala-galanya seperti ayat :

تَبَارَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلْمُلْكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“ Maha Suci Allah yang ditangan-Nya lah segala Kerajaan (urusan pemerintahan) dan Dia Maha kuasa ke atas segala sesuatu” (Surah Al-Mulk :1).

Andaikata raja-raja angkuh di dunia seperti Firaun angkuh dan sombong dengan kerajaan kecil mereka maka sesungguhnya mereka benar-benar telah berlaku zalim kerana kerajaan, kuasa mereka hanya pinjaman dan mereka tidaklah hebat dibanding kekuasaan Allah yang mengatasi segala sesuatu dan Dia (Allah) Raja yang menghidupkan serta mematikan segala hidupan :

ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلْمَوْتَ وَٱلْحَيَاةَ

“ yang mengadakan kematian dan kehidupan bagi makhluk” (Surah Al-Mulk :2).

Dan juga Dialah (Allah) Raja yang menciptakan tujuh lapis langit yang tinggi:

ٱلَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ طِبَاقاً

“Dia yang menjadikan (mencipta) tujuh langit yang berlapis-lapis” (Surah Al-Mulk : 3).

يوم الدين Yaumiddin (Hari Pembalasan dan hari kiamat).

Bermaksud hari di mana manusia dan jin akan menerima balasan di atas amalan dan perlakuan selama hidup di dunia sebelumnya.Yaumiddin juga mempunyai nama lain seperti Yaumul hisab, yaumul jaza dan lain-lain yang semuanya membawa maksud serupa.

Pada hari tersebut manusia dan jin semuanya akan diadili dan pada hari tersebut segala-galanya berada di bawah kekuasaan Allah swt secara mutlak. Bahkan menurut para ulama’ di hari tersebut tiada seorang pun yang boleh bergerak dan berkata-kata dan berbuat sesuatu tanpa izin Allah swt sebagaimana firman-Nya:

يَوْمَ يَقُومُ ٱلرُّوحُ وَٱلْمَلاَئِكَةُ صَفّاً لاَّ يَتَكَلَّمُونَ إِلاَّ مَنْ أَذِنَ لَهُ ٱلرَّحْمَـٰنُ وَقَالَ صَوَاباً

“ Hari di mana ruh dan malaikat-malaikat beratur berbaris dalam saff-saff dan tiada yang dapat berkata-kata pada hari itu kecuali dengan izin Ar-Rahman (Allah) dan berkatalah Dia (Allah) dengan perkataan yang benar” (Surah An-Naba’ : 37).

Berkata Ibn Abbas ra menurut riwayat Abi Hatim ra (lihat Fathul Qadir m/s 88 Jilid 1) bahawa yammuddin ialah hari akhirat sebagaimana yang sama diriwayatkan dari Ibn Jarir dan Hakim bahawa Ibn Mas’ud ra menafsirkannya sebagai hari Kiamat. Dalam ayat yang lain Allah swt sendiri menyebut maksud yammuddin seperti dalam firman-Nya :

وَمَآ أَدْرَاكَ مَا يَوْمُ ٱلدِّينِ ثُمَّ مَآ أَدْرَاكَ مَا يَوْمُ ٱلدِّينِ يَوْمَ لاَ تَمْلِكُ نَفْسٌ لِنَفْسٍ شَيْئاً وَٱلأَمْرُ يَوْمَئِذٍ لِلَّهِ

“Tahukah kamu apakah itu yammuddin (hari pembalasan) ? dan tahukah kamu apakah yammuddin (hari pembalasan) itu sebenarnya ? Iaitu ianya ialah hari di mana seseorang itu tidak berdaya sedikit pun untuk membantu orang lain dan Segala urusan pada hari itu semuanya dalam kekuasaan Allah” (Surah Al-Infithar : 17-19).

Demikianlah disebut mengenai tafsir ayat ini yang menyingkapkan ke-Esaan dan kekuasaan Allah serta kewajipan hamba untuk tunduk serta patuh kepada perintah-Nya. Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra bahawa baginda nabi salallahualaihiwasalam pernah bersabda dengan mengatakan :

يقبض الله الأرض ويطوى السماء بيمينه ثم يقول انا الملك أين ملوك الأرض ؟ اين الجبارون ؟ اين المتكبرون ؟

“ Setelah Allah mematikan dunia dan isinya dan mengulung langit serta segala yang diantaranya dengan tangan kanan-Nya maka Dia (Allah) pun berkata “ Aku ini Raja (yang sebenar) lalu sekarang di manakah raja-raja bumi ? Di manakah sekarang mereka-mereka yang sombong ? Di manakah mereka-mereka yang angkuh ? (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no.4812 dan Muslim 2787 dan Ibn Majah no.192).

Maka jelas dari dalil hadith ini adalah diharamkan menisbahkan diri seseorang sebagai raja bahkan para sahabat ra baik khulafah Ar-rasyidun menisbahkan diri mereka sebagai Khalifah (bermakna pengganti) kepada rasulullah dalam memimpin manusia menuju hidayah Allah dan bukan memimpin kerana mempunyai keturunan pemerintah atau kerana mempunyai kuasa dan kekuatan tertentu yang akan membawa kepada akibat buruk dan dimurkai oleh Allah swt.

Iyakana’budu’ waiyakanasta’ien

Syarah Ayat 5

اِيَّاكَ نَعبُدُ وَاِيَّاكَ نَستَعِينُ {5}

Hanya kepada Engkaulah kami sembah (tidak kepada selain-Mu) dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan (tidak kepada selain-Mu)

Ayat ini membawa maksud ubudiyyah dan pengabdian yang mutlak kepada Allah swt. Pada ayat yang sebelumnya, Allah swt mengambarkan keagungan dan ke-Esaan-Nya berulang-ulang sehingga sampai kepada penegasan kekuasaan-Nya sebagai “Raja” yang mutlak bagi hamba-Nya. Pada ayat ini ianya semacam satu panduan dan perintah kepada orang-orang mukmin setelah beriman dengan ayat-ayat yang sebelumnya dan menyakini kekuasaan Allah maka apakah harus mereka lakukan. Lalu Allah menurunkan ayat ini dalam surah Al-Fatihah sebagai mengajar hamba-Nya supaya menyebut “ Hanya kepada Engkaulah kami sembah (beribadah) dan kepada Engkaulah kami memohon pertolongan” dengan melaksanakannya pada perkataan dan amal.

Pengertian Ayat اياك نعبد واياك نستعين

Dari sudut bahasa ianya membawa maksud “ Hanya kepada Engkaulah kami sembah (beribadah) dan kepada Engkaulah kami memohon pertolongan (tidak kepada selain-Mu” (lihat Al-Quran dan terjemahnya cetakan Indonesia m/s 5).

Memahami ayat ini dengan melihat konsep Islam ianya satu ayat yang cukup agung dan tertinggi dalam konsep Ubudiyyah. Ayat ini mengandungi 2 konsep utama yang penting iaitu pertama Ubudiyah, melalui ayat “hanya kepada Engkaulah kami sembah (beribadah) dan tidak pada selain-Mu” menunjukkan pertunjuk Allah kepada mereka yang beriman supaya menyembah Allah setiap masa dan ketika bahkan kerana asal tujuan manusia itu diciptakan pun sememangnya tiada lain melainkan sebagai menyembah Allah :

وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ

“Dan tidaklah kami menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada kami” (Surah Adz-Zariyat : 56) dan keduanya ialah pergantungan mutlak dan tawakal kepada Allah swt tanpa wujud selain-Nya. Buah dari pengabdian ialah pergantungan sebagaimana hamba tidak akan tahu untung nasib dirinya bahkan hanya mampu menyerah dan mengharap kepada tuannya. Untuk memperbaiki nasib dirinya apa yang mampu dilakukan oleh sang hamba ialah meminta dan memohon kepada tuannya.

Penyembahan Allah dan beribadah pula mestilah dengan tidak mensyirikkan-Nya serta dalam ayat ini Allah memerintahkan hamba-Nya supaya sentiasa meminta pertolongan dari-Nya sebagai kesinambungan dari pengabdian yang mana sebagai hamba perlulah merasa kerdil dan sentiasa mengharap kepada Allah yang Maha Esa dan sentiasa mengharap rahmat dan memohon pertolongan dari-Nya.

اياك نعبدIyakana’budu (Hanya kepada Engkaulah kami sembah)

Menurut qiraat sab’ah bagi jumhur ialah membacanya dengan mentasydidkan “Ya” ( الياء) pada Iyakana’budu. Melalui riwayat dari Ad-Dha’hak menyebut bahawa Ibn. Abbas ra mentafsirkan sebagai “Hanya kepada Engkau kami sembah dan mentauhidkan-Mu serta hanya pada Engkau kami takut dan harap, wahai tuhan dan tiadalah pada selain Engkau” (Mukhtasar Tafsir Ibn Katsir m/s 37 Jilid 1).

Dalam ayat ini para ulama’ menyebut pengabdian dan pengharapan seorang hamba ialah hanyalah pada Allah swt baik melalui amal hati (batin) dan amal perbuatan (zahir) sesuai dengan apa yang riwayatkan oleh Hakim ibn Muawiyah dari ayahnya yang bertanya nabi apakah itu Islam ? Maka baginda menjawab : ان يسلم قلبك لله تعالى و ان توجه وجهك الى الله “ Iaitu menyerahkan hati kamu kepada Allah dan menghadapkan diri kamu kepada Allah.” (Hadith Sahih, Riwayat Ahmad no. 20271 Jilid 6). Walaubagaimanapun dalam membincangkan maksud ayat ini maka kita perlu melihat pula apakah dan bagaimanakah pula cara untuk beribadah kepada Allah swt ? Adakah dengan melulu dan menurut rasa hati ? Dengan akal dan sangkaan ?

Maka dalam hal ini para ulama’ bersepakat bahawa tiada jalan dalam beribadah kepada Allah melainkan mestilah dan wajib menurut panduan yang dibawa oleh rasulullah salallahualaihiwasalam serta menuruti sunnahnya sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt :

يَا أَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُول

“ Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul..(An-Nisa :59).

Disebut oleh Imam Qurtubi dalam tafsirnya bahawa “ Telah menjadi ijmak (sepakat) ulama’ salaf (terdahulu dari zaman rasulullah, sahabat dan tabien) dan ulama’ dari kalangan kalaf (selepas zaman salaf) bahawa tiada cara dan jalan dalam mengetahui hukum-hukum Allah (berhubung suruhan dan larangan Allah) serta jalan beribadah kepada-Nya melainkan mesti melalui para rasul (jalan wahyu & menurut sunnah rasul). Maka jika ada sesiapa yang mengatakan wujud jalan lain dan terdapat jalan baru atau cara lain dari itu untuk mengetahui suruhan dan larangan Allah tanpa melalui rasul dan tanpa memerlukan para rasul (seperti dengan menurut rasa hati, ilham, mimpi-mimpi atau syeikh-syeikh tareqah) maka dia adalah kafir dan perlu dihukum bunuh…” (lihat Jami’ Ahkam Qur’an oleh Imam Qurtubi m/s 40 Jilid 11).

Demikian juga disebut oleh Imam Ibn Katsir dalam tafsirnya Al-Quranul Azim ketika menafsirkan ayat 85, Surah Ali Imran dengan mengatakan “ Sesiapa yang melalui sesuatu jalan (beribadah) yang tidak sama dan lain dari apa yang disyariatkan Allah maka ianya tidaklah diterima”.

Sebagaimana sabda nabi salallahualaihiwasalam yang menyebut :

من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهوا رد

“ Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu urusan baru dalam agama kami sedang ia bukan dari kami maka sesungguhnya ianya ditolak.” (Hadith sahih disepakati Bukhari dalam Fathul Bari no. 156 Jilid 8 & Muslim no.4467) .

Dari Sufyan As-Sauri berkata “ Tidak diterima perkataan melainkan dengan amal dan tidak diterima amal dan perkataan melainkan dengan niat (ikhlas) dan tidak bermanfaat perkataan, amal dan niat ikhlas melainkan dengan menepati Sunnah”.

Sesungguhnya jalan penyembahan kepada Allah haruslah dibuat menurut panduan yang ditinggalkan oleh baginda rasulullah salallahualaihiwasalam. Selari dengan pesan baginda salallahualaihiwasalam dalam riwayat Irbad ibn Sariyah ra iaitu baginda bersabda :

أوصيكم بتقوى الله والسمع والطاعة وان كان عبدا حبشيا فانه من يعش منكم فسيرى اختلافا كثيرا فعليكم بسنتي و سنة الخلفاء الراشدين المهديين فتمسكوا بها و عضوا عليها بالنواجذ وإياكم ومحدثات الأمور فان كل محدثة بدعة و كل بدعة ضلالة

“ Aku berpesan kepada kamu supaya bertaqwalah kamu kepada Allah, dan dengar serta patuhlah kepada pemimpin walaupun dia diangkat dari hamba habsyi. Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepas aku pasti akan melihat perselisihan yang banyak. Maka berpeganglah kamu pada Sunnah aku dan sunnah khulafa Ar-Rasyidin yang diberi pertunjuk selepas aku . Peganglah ia (sunnah) sesungguh-sungguhnya sehingga kalau pun kamu terpaksa mengigitnya dengan gigi geraham kamu. Dan berhati-hatilah kamu dengan perkara baru . Sesungguhnya setiap perkara baru (dalam agama) ialah bid’ah dan setiap bid’ah itu sesat !!! (Hadith Sahih , riwayat Tirmidzi no.2676 , Abu Daud no. 4607 dan Ahmad no.12561).

Pengabdian kepada Allah menurut para ulama ialah dengan menuruti Islam yang dibawa oleh baginda salalllahualaihiwasalam seperti apa yang telah yang dijelaskan dalam Al-Quran dan As-Sunnah tanpa ada pengurangan dan penambahan. Islam ialah jalan pengabdian yang sebenar serta memenuhi maksud ayat اياك نعبد ini iaitu “Hanya kepada Engkau yang kami sembah” iaitu dengan memahami bahawa hanya dengan menggunakan Islam sebagai jalan penyembahan kepada-Mu (Ya Allah) tanpa kami tambah dan kurang serta hanya dengan Islam kami menyembah-Mu bukan jalan selainnya.

Sesungguhnya Islam itu ialah seperti apa yang disebut oleh baginda salallahualaihiwasalam dalam hadith riwayat Abu Hurairah :

الاسلام ان تعبد الله ولا تشرك به وتقيم الصلاة وتؤدي الزكاة المفروضة وتصوم رمضان

“ Islam itu ialah kamu menyembah Allah dan tidak mensyirikkannya dan mendirikan solat serta menunaikan zakat dan berpuasa ramadhan” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari bab Iman no.37).

Jalan kepada penyembahan Allah swt serta pengabdian kepada-Nya mencakupi urusan zahir dan batin baik luar dan dalam yang sudah sempurna dan jelas tanpa perlu ditafsir-tafsir dengan sesuatu yang asing dan baru serta sempurna dari penambahan bahkan disebut dalam hadith riwayat Abu Dzar yang berkata bahawa Rasulullah salallahualaihiwasalam telah bersabda : “Tidaklah tertinggal sesuatu yang dapat mendekatkan ke Syurga dan menjauhkan dari Neraka kecuali telah diterangkan pada kalian.” Juga disebut oleh Abu Zar ra akan katanya “ Rasulullah meninggalkan kami dalam keadaan tidak ada seekor burung pun yang mengepak-ngepakkan kedua sayapnya di udara kecuali beliau telah menyebutkan ilmunya pada kami.” (Hadith Sahih riwayat Thabrani dalam Mu’jamul Kabir, lihat As Sahihah oleh Syeikh Albani ra m/s 416 Jilid 4 dan hadith ini memiliki pendukung dari riwayat yang lain).

واياك نستعينWa’iyakanasta’ien (Dan kepada Engkaulah kami memohon pertolongan). Berkata Qatadah “Ianya bermaksud kamu memohon pertolongan-Nya atas setiap urusan kamu kerana ianya sebagai maksud kehambaan dan memohon perlindungan serta wasilah kepada pengibadatan.” Manakala menurut Ibn. Abbas menyebut “ Kami menyerah dan mentaati-Mu atas segala urusan kami (dengan tidak melanggar perintah-mu)” (lihat Mukhtasar Tafsir Ibn. Katsir m/s 39 Jilid 1).

Sesungguhnya Allah swt telah memerintahkan hamba-Nya supaya hanya memohon dan hanya bertawakkal kepada-Nya kerana ianya merupakan buah pengabdian bagi seseorang hamba seperti firman-Nya :

فَٱعْبُدْهُ وَتَوَكَّلْ عَلَيْهِ وَمَا رَبُّكَ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

“ Maka sembahlah Dia (Allah) dan bertawakallah kepada-Nya dan sesungguhnya tidaklah tuhan-Mu lalai dari apa yang kamu lakukan” (Surah Hud : 123).

Sesungguhnya Allah tidaklah lalai dan leka dari mengetahui segala urusan hamba-Nya oleh yang demikian wajarlah setiap hamba melazimi doa dan pergantungan kepada Allah swt. Sesungguhnya doa telah disepakati oleh para ulama’ sebagai termasuk ibadah dan diberi pahala, baik doa itu diterima atau tidak bagi yang berdoa mereka akan tetap beroleh faedah kerana ianya merupakan ibadah yang dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-Nya seperti firman-Nya :

وَقَالَ رَبُّكُـمْ ٱدْعُونِيۤ أَسْتَجِبْ لَكُمْ

“Dan berkatalah tuhan-Mu, berdoalah (mintalah) kepada Aku nescaya aku akan tunaikan (makbulkan) bagi kamu (akan permintaan kamu)” (Surah Ghafir :60).

Para sahabat ra sentiasa melazimi pergantungan kepada Allah swt sehingga tiadalah mereka berbuat sesuatu melainkan dilazimi dengan doa dan pergantungan kepada Allah swt. Bahkan mereka selalu memulakan sesuatu pekerjaan itu dengan doa dan diikuti dengan usaha sebagaimana disebut dalam hadith riwayat Jabir ibn Abdillah ra yang berkata “ Sesungguhnya rasulullah salallahualaihiwasalam mengajar kami melakukan isythikarah (solat ) dalam setiap urusan keseluruhannya seperti seolah baginda mengajar kami surah-surah dari Al-Quran dan baginda bersabda ;

اذا هم احد كم بالامر فليركع ركعتين من غير الفريضة ثم ليقل : اللهم اني استخيرك بعلمك , وأستقدرك بقدرتك , وأسألك من فضلك العظيم , فانك تقدير ولا أقدر وتعلم ولا أعلم, و انت علام الغيوب , اللهم ان كنت تعلم أت هذا الأمر خيرلي في ديني ومعاشي وعاقبة أمري فاقدره لي ويسره لي ثم بارك لي فيه , وان كنت تعلم ان هذا الأمر شرلي في ديني و معاشي و عاقبة أمري فاصرفه عني واصرفني عنه واقدرلي الخير حيث كان ثم أرضني به .

“ Jika ada sesiapa di antara kamu yang mengalami masalah dalam sesuatu urusan maka solatlah dua rakaat sunat kemudian berdoalah ; Allahumma (wahai tuhan) , aku memohon pertunjuk dari-Mu dengan ilmu yang Engkau miliki, dan memohon kekuatan dari-Mu, dengan kekuatan yang Engkau miliki, dan memohon dari-Mu sesuatu dari kebesaran dan kemurahan-Mu yang agung. Sesungguhnya Engkau mentaqdirkan sesuatu dan aku tiadalah kuasa dalam hal itu, dan Engkau mengetahui dan aku tidaklah mengetahui dan bahkan Engkau adalah Maha Mengetahui akan hal yang ghaib. Allahumma (wahai tuhan), sesungguhnya jika bagi-Mu bahawa perkara ini adalah baik bagiku dan bagi agamaku serta kehidupanku dan membawa hasil yang elok maka taqdirkanlah ianya untuk aku dan permudahkanlah aku dengannya serta berkatilah aku padanya. Wahai tuhan, jika urusan ini buruk bagi aku dan bagi agama aku serta buruk bagi kehidupan dan memudharatkan aku maka jauhkanlah ia dariku dan jauhkanlah aku darinya. Taqdirkanlah bagi aku sesuatu yang lebih baik darinya dan berkatilah aku padanya” (Hadith sahih, riwayat Bukhari m/s 126 dalam Fathul Bari Jilid 7).

Demikianlah tarbiyah baginda kepada sahabat-sahabatnya supaya mengharap dan meminta hanya kepada Allah tanpa mencari dan berharap kepada selain-Nya. Bahkan turut disebut dalam Hadith yang lain riwayat Anas bin Malik bahawa baginda sentiasa membaca doa

الله توكلت على الله بسم

“ Dengan nama Allah aku bertawakkal hanya kepada Allah” (Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no.2724 ).

Demikianlah pengajaran dari baginda kepada umatnya supaya melazimi usaha pergantungan kepada Allah swt baik dengan amal perbuatan, amal lisan dan hati. Perbuatan bergantung kepada Allah merupakan antara cara dan punca mendapat kasih sayang-Nya sebagaimana disebut dalam Al-Quran :

إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُتَوَكِّلِينَ

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya” (Surah Ali-Imran : 159).

Melihat dan menghayati ayat واياك نستعين(Hanya kepada-Mu kami memohon pertolongan) ini juga sangatlah penting kerana kerap berlaku kesilapan dan kesalahan yang besar yang dilakukan oleh sebahagian umat Islam yang tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai agama apabila mereka membuat pergantungan kepada selain Allah swt.

Pada hari ini kerap sangat kita melihat ramai orang pergi dan menuju kepada dukun dan bomoh bagi memohon pertolongan dan meminta pertolongan menyembuhkan pelbagai penyakit dan masalah. Sesungguhnya perbuatan ini sangatlah ditegah oleh agama dan Islam melarang sebarang usaha ke arah ini. Sesungguhnya telah diriwayatkan dari Muawiyah bin Hakam Al-Sulami yang berkata : Aku telah bertanya nabi salallahualaihiwasalam mengenai perbuatan kami pada masa jahiliyyah yang selalu mendatangi dukun dan bomoh bagi meminta nasihat dan menyelesaikan masalah maka bersabdalah nabi salallahualaihiwasalam : فلا تأتوا الكهّان Dan janganlah lagi kamu mendatangi dukun (termasuk bomoh)” (Hadith Sahih, riwayat Muslim dalam Kitab Minhaj Syarah Sahih Muslim oleh Nawawi no 5774 Jilid 14, Ahmad no. 24166 Jilid 7).

Sesungguhnya menurut Imam Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini menyebut sesungguhnya perbuatan mendatangi bomoh dan dukun ini merupakan perbuatan jahiliyyah dan hanya dibuat ketika zaman jahiliyyah lalu tidak wajar dan sangat tidak patut umat Islam hari ini melakukannya setelah berlalu zaman jahiliyyah dan sudah datang Islam yang membawa sinar cahaya dan pertunjuk hidayah dari Allah swt. Apalah faedahnya mendatangi dukun dan bomoh ? Sedangkan mereka sendiri manusia biasa dan jahil serta tidak pun mengetahui perihal ghaib dan tidak pun mampu menyelesaikan masalah mereka sendiri. Apakah belum cukup firman Allah swt yang menyebut :

قُل لاَّ يَعْلَمُ مَن فِي ٱلسَّمَاواتِ وٱلأَرْضِ ٱلْغَيْبَ إِلاَّ ٱللَّهُ

“ Katakan sesungguhnya tidak ada sesiapa pun baik di langit dan di bumi yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah” (Surah An-Naml : 65).

Kebanyakan dukun atau bomoh ini sebenarnya tiada kuasa pun mengubati penyakit dan menyelesaikan masalah sebagaimana firman Allah swt :

وَمَا هُم بِضَآرِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلاَّ بِإِذْنِ ٱللَّهِ

Dan tidaklah mereka itu (ahli sihir) dapat memberi mudharat kepada sesiapa pun melainkan dengan izin Allah” (Surah Al-Baqarah : 102).

Bahkan jika diteliti mereka bukanlah golongan yang berpelajaran, juga bukanlah mempunyai kepakaran tertentu yang dipunyai Cuma sedikit kepandaian menipu dan kepandaian dalam hal-hal ghaib serta mempunyai hubungan dengan sihir dan alam syaitan.

Diriwayatkan dari Ummul Mukminin Aisyah ra ketika bertanya kepada baginda tentang perihal bomoh dan dukun yang kadang-kadang apabila memberitahu sesuatu ternyata benar maka baginda salallahualaihiwasalam pun bersabda :

تلك الكلمة من الحق يخطفها الجني فيقرها في أذن وليّه فيخلطون معها مائة كذبة

“Itu ialah kalimah (khabar) yang benar yang dicuri oleh jin (termasuk syaitan) lalu membisikkannya ke telinga tuannya sambil mencampuri bersamanya seratus pembohongan” (Hadith Sahih disepakati oleh Bukhari no. 5762 dan Muslim no 2228).

Lihatlah betapa sesatnya orang Melayu yang pergi berjumpa bomoh meminta air penawar dan penerang hati bagi anak-anak untuk berjaya dalam peperiksaan sedangkan si bomoh itu sendiri memiliki anak-anak yang semuanya gagal dalam pelajaran. Sesungguhnya segala hasil dari pendapatan si bomoh tadi dalam mengubati orang dengan kepandaian sihirnya ialah haram dan setiap perkataannya juga ialah haram diamalkan dan dipercayai.

Diriwayatkan dari Safiyah binti Abi Ubaidah ra dari isteri-isteri nabi dari baginda nabi yang pernah bersabda :

من اتى عرافا فسأله عنى شئ فصدقه لم تقبل له صلاة أربعين يوما

“ Barangsiapa yang mendatangi bomoh (juga dukun) lalu bertanyakan sesuatu darinya kemudiannya membenarkan apa yang diberitahu oleh bomoh tersebut maka tidaklah diterima solatnya (amalan kebajikan) selama 40 hari” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no. 2230).

Disebut oleh Al-Khutobi bahawa yang dimaksudkan sebagai عرافا atau كهّان adalah sama sahaja maknanya cumanya عرافا ialah sebutan mashyur kepada mereka yang mengaku mengetahui di manakah barang yang hilang manakala كهّان lebih kepada istilah umum bagi bomoh dan dukun dalam bahasa arab (lihat Minhaj Syarah Sahih Muslim oleh An-Nawawi m/s 446 Jilid 14). Bagaimanapun dalam masyarakat Melayu mereka semua ini sama sahaja dikenali sebagai baik dukun atau bomoh tanpa ada beza dan para ulama’ semuanya sepakat mengenai haramnya perbuatan tersebut.

Selain dari itu, kerap juga berlaku penyelewengan dalam masyarakat Melayu ialah apabila mereka hanya mengingati Allah dan meminta pertolongan Allah apabila mereka dalam kesusahan. Ketika berlaku kemalangan, musibah yang melanda barulah dapat kita melihat golongan ini memakai kopiah putih dan mencari naskah Al-Quran dan membelek-belek surah yasin serta membaca dengan penuh pengharapan sedangkan sebelum ini langsung tidak pernah mengenal tikar sejadah dan jarang sekali mengangkat wudhuk.

Sikap ini samalah dengan golongan kafir yang disebut oleh Allah dalam Al-Quran :

فَإِذَا رَكِبُواْ فِي ٱلْفُلْكِ دَعَوُاْ ٱللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ فَلَمَّا نَجَّاهُمْ إِلَى ٱلْبَرِّ إِذَا هُمْ يُشْرِكُونَ

“ Dan ketika mereka menaiki kapal di tengah lautan dan menghadapi bahaya di lautan maka segeralah mereka berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas dan lurus namun apabila mereka telah diselamatkan dari bahaya dan pulang dengan selamat ke daratan maka mereka pun kembali menjadi syirik kepada Allah” (Surah Al-Ankabut : 65).

Sangatlah ramai manusia sebegini hanya mengenal tuhan bila berlaku kematian, musibah dan kemalangan, bila menghadapi kekecewaan dan putus harapan kepada makhluk maka kepada Allah mereka ini menuju namun bila segala hasrat sudah dipenuhi tiadalah mereka mengingati Allah kecuali sedikit.

Sesungguhnya ganjaran dan perintah bertawakkal kepada Allah sangatlah besar kerana pergantungan dan pengharapan kepada Allah mustahil datang melainkan dari hati yang bersih dan penuh yakin serta beriman kepada Allah dan pertolongan-Nya seperti firman Allah swt :

وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجاً * وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لاَ يَحْتَسِبُ

“ Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah maka sesungguhnya Allah akan menyediakan baginya jalan keluar (dari kesusahan) dan memberikannya rezeki dari jalan-jalan yang tidak disangkai olehnya” (Surah Thalaq : 2-3).

Ihdinasirathalmustaqim

Syarah Ayat 6

اهدِنَا الصِّرطَ المُستَقِيمَ {6}

Tunjukkanlah kami akan jalan yang lurus (benar)

Pada kali ini dalam ayat yang ke-enam, Allah swt mengajarkan kepada hamba-Nya akan doa dan kaedah untuk mendapat rahmat-Nya. Sesungguhnya pada ayat yang sebelumnya Allah swt mengajarkan hamba-Nya akan mengenai pengibadatan dan ubudiyyah yang tertinggi iaitu mengenai penyembahan dan pergantungan yang tulus dan dalam pada ayat ini membawa kepada lanjutan dari pengabdian dan pergantungan kepada Allah dengan mengajarkan hamba-Nya dengan doa.

Setelah kita memahami bahawa hanya Allah yang berhak disembah dan bukan selain-Nya begitu juga memahami bahawa pergantungan dan pengharapan dalam kehidupan hanya kepada Allah swt maka pasti kita akan dapat boleh memahami ayat ini. Iaitu betapa perlunya kita memohon selalu dan sentiasa supaya kita mendapat pertunjuk berada di jalan yang benar iaitu jalan golongan yang menyembah Allah swt dan tidak pada selain-Nya dan jalan golongan yang hanya bergantung kepada Allah dan tidak pada selain-Nya di mana jalan ini hanya dapat diperolehi dengan hanya pertunjuk dari-Nya seperti firman Allah swt :

رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ ٱلْوَهَّابُ

“ (Mereka orang-orang yang beriman berdoa) “Ya, tuhan kami , janganlah Engkau menjadikan hati kami cenderung kepada kesesatan sesudah Engkau beri pertunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami akan rahmat dari sisi-Mu” (Surah Ali Imran : 8).

Pengertian Ayat اهدنا الصراط المستقيم

Disebut makna dari sudut bahasa dalam ayat ini ialah "Tunjukkanlah kami akan jalan yang lurus (benar)" (lihat Al-Quran dan terjemahnya cetakan Indonesia m/s 5). Sesungguhnya ayat ini mengandungi panduan dan pedoman dari Allah swt kepada hamba-Nya kerana sesungguhnya hidayah dan pertunjuk kepada jalan yang lurus ini merupakan sepenting-penting perkara.

Pergantungan dan permohonan kepada Allah swt ini merupakan lanjutan dari ayat yang sebelumnya yang menjelaskan kepada kita bahawa sesungguhnya pemilik hidayah dan pertunjuk ini hanyalah Allah swt. Sebagaimana firman-Nya dalam Al-Qur’an :

وَمَا تَوْفِيقِيۤ إِلاَّ بِٱللَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

“ Dan tiadalah pertunjuk melainkan dengan pertunjuk Allah dan kepada-Nya aku bertawakkal dan kepada-Nya aku kembali” (Surah Hud :88).

Hidayah dan pertunjuk ke jalan yang lurus ini bermakna pertunjuk Allah dan panduan-Nya ke jalan yang selamat dari kesesatan dan penyelewengan. Hanya Allah yang dapat memberi hidayah dan pertunjuk kepada manusia dan kerana itu Dia (Allah) mengajar hamba-Nya supaya bermohon kepada-Nya sentiasa bagi memastikan terselamat dari kesesatan dan penyelewengan.

Sedang nabi salallahualaihiwasalam sendiri tidak mampu memberi hidayah kepada manusia tanpa izin Allah swt sebagaimana firman-Nya :

إِنَّكَ لاَ تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ

“Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak dapat memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau suka” (Surah Al-Qasas : 52).

Sesungguhnya apa yang diajar oleh Allah dalam ayat ini ialah supaya manusia menyedari bahawa hidayah dan pertunjuk jalan kebenaran itu sangat berharga kerana ianya akan menentukan nasib di akhirat yang kekal abadi. Sesungguhnya barangsiapa yang sesat dari pertunjuk Allah maka kesesatan itu akan mencelakakan dirinya sendiri sebagaimana firman Allah yang lain :

قُلْ إِن ضَلَلْتُ فَإِنَّمَآ أَضِلُّ عَلَىٰ نَفْسِي وَإِنِ ٱهْتَدَيْتُ فَبِمَا يُوحِي إِلَيَّ رَبِّي

" Dan katakanlah jika aku tersesat sesungguhnya kesesatan itu ialah berpunca dari diriku sendiri dan jika aku beroleh hidayah pertunjuk sesungguhnya pertunjuk itu ialah apa yang diberitahukan oleh tuhanku (Allah )" (Surah As-Saba : 50).

Seterusnya dalam mengambil pengajaran dari ayat ini, kita akan lihat pula pada uslub ayat ini yang datang dengan uslub permintaan (طلب ) dan doa .

Ayat ini ialah doa dan permintaan yang paling penting dari seorang hamba yang meminta kepada tuhannya supaya diberi pertunjuk dan panduan kepada jalan yang diredhai oleh tuhan tu sendiri (Allah) dan sudah pasti dari pertunjuk itu kemudian maka si hamba akan dapat mengetahui jalan yang benar dan kemudiannya memilih jalan kebenaran itu sesuai dengan apa yang telah diberi panduan dari Allah.

Kemudian dengan melalui jalan tersebut maka tentulah hamba itu akan beroleh kebahagiaan dan keredhaan dari tuhan (Allah) sekaligus bermakna si hamba telah berjaya menunaikan tugasnya dan tanggungjawabnya sebagai hamba dan akan dibalas oleh tuhan dari keredhaan-Nya itu dengan balasan nikmat dan kebahagiaan abadi (syurga).

Lalu demikianlah pula jika sebaliknya, dari kesesatan yang membawa murka seterusnya membawa kepada siksa dan azab. Lalu demikian pentingnya hamba itu perlu untuk mengingati akan kewajipannya jika ingin selamat dengan isentiasa merayu harap diberi hidayah pertunjuk dari tuhan (Allah swt).

Doa ( الدعاء) dari sudut bahasa bermaksud "Permintaan dan seruan kepada sesuatu bagi mendapatkan hasil dari sesuatu" (lihat Lisanul Arab m/s 366 Jilid 3). Manakala dari sudut istilah doa ialah " Seruan dan permintaan dari seorang hamba kepada Allah swt untuk memohon sesuatu dan ianya merupakan ibadah" (lihat Riyadus Solihin m/s 3 Jilid 4).

Diriwayatkan dari Nu'man bin Basyir ra dari nabi salallahualaihiwasalam yang pernah bersabda : الدعاء هو العبادة " Sesungguhnya doa itu merupakan ibadah" (Hadith Sahih, riwayat Ahmad no. 276 Jilid 4 dan Tirmidzi no. 2967, Abu Daud 1479 dan Nasaie no. 1258).

Disebut doa ialah sebagai ibadah namun bukan hanya ibadah yang biasa bahkan ianya diperintahkan kepada setiap yang beriman supaya selalu berdoa dan perintah ini ialah wajib seperti firman-Nya :

ٱدْعُونِيۤ أَسْتَجِبْ لَكُمْ

" Dan berdoalah kamu kepada aku nescaya aku akan makbulkan" (Surah Al-Ghafir : 60).

Maka demikianlah apa yang termasuk dalam ayat ke 6 surah Al-Fatihah ini iaitu sebuah doa yang diperintahkan oleh Allah swt sebagai bacaan wajib kepada hamba-Nya dalam solat setiap kali dan rakaat dan sebagai doa bagi setiap ketika.

Kemudian doa itu pula ialah doa (permintaan) yang paling mahal dan penting dari Allah iaitu doa memohon hidayah dan pertunjuk kepada kebenaran demikianlah dari apa yang disebut oleh Imam Al-Qadhi Ibn Izz Ad-Dimasyqi dalam kitabnya (lihat Syarah Aqidah Thahawiyah m/s 557 Jilid 2). Seterusnya kita harus membincangkan secara ringkas mengenai apakah pula syarat bagi diterimanya doa ini oleh Allah swt ?

Dalam hal ini maka para ulama' menyebut bahawa syarat diterimanya doa itu ialah yang pertama orang yang berdoa itu hendaklah memiliki keikhlasan.

Sebagaimana firman-Nya :

وَمَآ أُمِرُوۤاْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ ٱللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ

" Dan tidaklah kami memerintahkan kamu melainkan supaya kamu menyembah Allah dengan ikhlas pada agama" (Surah Al-Baiyinah : 5).

Seterusnya hendaklah yang berdoa itu yakin dan percaya akan doanya itu akan dimakbulkan oleh Allah swt seperti firman-Nya lagi :

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ

" Dan ketika hamba-Ku berdoa kepada Aku , sesungguhnya aku amat dekat kepada mereka dan aku akan menyahut setiap doa dari orang yang berdoa" (Surah Al-Baqarah : 186).

Sesungguhnya perlulah juga bagi yang berdoa itu sebagai syarat yang ketiga iaitu menjauhkan diri dari maksiat dan perkara-perkara yang haram dan dimurkai Allah swt dan tidak memohon sesuatu doa yang membawa keburukan dan kemaksiatan. Hal ini jelas disebut seperti dalam hadith riwayat Abu Hurairah ra bahawa baginda nabi pernah bersabda bahawa Allah swt telah berfirman :

الرجل يطيل السفر أسعث أغبر يمد يده الي السماء : يا رب يا رب ومطعمه حرام وملبسه حرام وغذي بالحرام فاني يستجاب لذلك ؟

"Seorang lelaki dari hamba-Ku berada dalam perjalanan (musafir) yang panjang di tengah padang pasir dengan keadaan yang dhaif lalu mengadah tangan ke langit memohon kepadaku dengan berkata Ya' Rabb, Ya' Rabb' sedang makanannya dari benda yang haram dan pakaiannya juga dari benda yang haram dan kemudian terlibat dalam perkara yang haram lalu bagaimana aku akan memakbulkan doanya ? (Hadith Sahih, riwayat Muslim no. 1015).

Demikianlah disebut bahawa Allah swt hanya akan memakbulkan doa dari mereka yang beriman kepada-Nya sahaja seperti firman-Nya :

فَلْيَسْتَجِيبُواْ لِي وَلْيُؤْمِنُواْ بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

" Dan akan aku makbulkan kepada mereka yang beriman kepada aku (akan doa mereka) supaya mereka beroleh pertunjuk" (Surah Al-Baqarah : 186).

Begitulah ketetapan Allah swt kepada hamba-Nya dan syarat yang terakhir dari syarat-syarat diterimanya doa itu ialah hendaklah seseorang yang berdoa itu memiliki sifat sabar dan kesabaran itulah yang merupakan kunci kepada kejayaan dan kebaikan dari doa yang dipohon seperti firman-Nya :

عَجَّلْنَا لَهُ فِيهَا مَا نَشَآءُ لِمَن نُّرِيدُ

"kami mempercepatkan baginya dari apa yang kami ingin dan dari golongan yang kami kehendaki" (Surah Al-Isra : 19). Demikianlah empat syarat yang ditetapkan oleh para ulama' dan berdalil serta berhujah dari apa yang terdapat dalam Al-Qur'an dan as-Sunnah (sila lihat Riyadus Solihin m/s 4 Jilid 4).

Adapun mengenai waktu yang sesuai berdoa ialah dalam semasa sedang mengerjakan solat dan sebaik tempat serta ketika dalam solat ialah ketika sedang sujud sebagaimana yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra bahawa rasulullah salallahualahiwasalam pernah bersabda :

أقرب ما يكنون العبد من ربه وهو ساجد فاكثروا الدعاء

" Dan sesungguhnya waktu yang paling dekat seorang hamba itu dengan tuhannya ialah pada ketika dia sedang sujud maka perbanyakkanlah doa pada ketika itu" (Hadith Sahih, riwayat Muslim no. 482).

اهدناIhdina (Tunjukkanlah kepada kami).

Perkataan ini berasal dari هدى dan menurut Ibn Manzur ra ialah membawa maksud " Memohon hidayah pertunjuk dari Allah swt " (lihat Lisan Arab m/s 60 Jilid 9).Ayat ini didatangkan atas sighah (uslub) doa atau permintaan dan menggunakan dhamir نا yang bererti "kami" yakni secara jamak (ramai).

Ianya datang dengan uslub "الرجاء"(harap) dan "الطلب" (permintaan) seperti yang diperjelaskan oleh Imam At-Tabari dan menambah ianya bahkan dapat difahami juga sebagai " tambahkanlah hidayah "زدنا", tunjukkan "ارشدنا" dan bimbinglah دلنا"" seperti dalam firman Allah swt :

وَٱلَّذِينَ ٱهْتَدَوْاْ زَادَهُمْ هُدًى

"Dan mereka yang dibawah pertunjuk kami maka kami akan tambahkan mereka akan hidayah (pertunjuk) itu" (Surah Muhammad : 17) (lihat lanjut Jami' Bayan An Ta'wil Ayat Qur'an m/s 83 Jilid 1).

صراط المستقيمSirathal Mustaqim (Jalan yang lurus / benar).

Berkata Imam Abu Ja'far At-Tabari bahawa yang dimaksudkan dengan

صراط المستقيم ialah jalan yang lurus dan jelas yang tiada peyimpangan dan penyelewengan padanya.

Dibaca صراط (jalan atau laluan) oleh jumhur ulama' ialah dengan menyebut dengan huruf الصاد(ص) seperti yang dikeluarkan oleh Hakim dari riwayat Abu Hurairah ra bahawa rasulullah salallahualaihiwasalam membacanya dengan huruf الصاد(riwayat Hakim no. 232 Jilid 1 dalam Mustadrak). Juga ianya dibaca dengan السين(س) iaitu (السراط) seperti riwayat dari Said ibn Mansur dan Abd Bin Humaid dan Al-Bukhari dalam tarikhnya dari Ibn Abbas ra. Manakala dari riwayat Hamzah pula menyebut ianya dibaca dengan الزاى(ز) iaitu dengan (الزراط) dan adapun (المستقيم) ialah sifat bagi sirath (jalan) dan berasal dari perkataan مستقوم iaitu yang bermaksud lurus dan tetap serta teguh seperti yang disebut dalam firman Allah swt :

فَٱسْتَقِمْ كَمَآ أُمِرْتَ

" Dan tetaplah istiqamah seperti mana yang kamu diperintahkan" (Surah Hud : 112).

Demikianlah juga seperti yang diriwayatkan dari Sufyan bin Abdullah yang berkata pada nabi salallahualaihiwasalam : Ya rasulullah beritahulah aku perkara dalam Islam yang utama dan tak perlu lagi aku bertanya kepada sesiapa pun selain Engkau selepas ini maka dijawab oleh nabi :

قل آمنت بالله ثم استقم

"Katakanlah aku beriman kepada Allah kemudian istiqamahlah" (Hadith Sahih, riwayat Muslim no.3).

Berkata As-Sauri dari Mansur dan dari Abi Wa’il daripada Abdullah ra bahawa dalam menafsirkan ayat ini lalu berkata sirath ialah Al-Qur’an. Sebagaimana firman Allah swt yang menyebut :

إِنَّ هَـٰذَا ٱلْقُرْآنَ يِهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ

“ Dan sesungguhnya Al-Qur’an ini pertunjuk ke jalan yang lurus” (Surah Al-Isra : 9) (lihat Tafsir Tabari m/s 85 Jilid 1).

Demikian juga dari riwayat Maimun bin Mahran dari Ibn Abbas ra berkata ianya bermaksud Islam. Begitu juga dari Ibn. Mas’ud dan sebahagian dari para sahabat nabi salallahualaihiwasalam yang mengatakan ianya ialah Islam (lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Katsir m/s 41 Jilid 1).

Juga dikeluarkan oleh Waqi’ dan Abdullah bin Humaid dan Ibn Jarh dan Ibn Munzir dan Hakim dari Jabir bin Abdullah yang mengatakan bahawa ianya ialah Islam (lihat Fathul Qadir m/s 91 Jilid 1 ). Adapun menurut Abu Ali'yah dan Hasan Al-Basri mengatakan ianya ialah jalan rasulullah salallahualaihiwasalam dan para sahabatnya seperti firman Allah swt :

وَإِنَّكَ لَتَهْدِيۤ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

" Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) merupakan pertunjuk kepada jalan yang lurus" (Surah As-Syura : 52).

Pendapat ini juga serupa dengan apa yang dipegang oleh Ibn Asakir dan Ibn Abi Hatim dan Ibn Adi (disahihkan oleh Hakim dan disepakati oleh Az-Zahabi no. 259 Jilid 1 dalam Mustadrak).

Kesimpulannya ialah barangsiapa yang menuruti Al-Qur'an dan As-Sunnah yang dibawa oleh rasululah salallahualaihiwaslaam maka itulah jalan Islam dan itulah juga yang dimaksudkan sebagai jalan yang benar dan lurus. Sebagaimana firman Allah swt lagi :

قُلْ هَـٰذِهِ سَبِيلِيۤ أَدْعُو إِلَىٰ ٱللَّهِ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَاْ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِي

“ Dan katakanlah sesungguhnya inilah jalan-Ku dan padanya aku menyeru manusia kepada Allah atas hujah yang nyata bagi aku dan mereka yang mengikutiku” (Surah Yusof : 108).

Imam Nawawi menyebut bahawa dalam ayat ini sesungguhnya Allah telah memberi kebaikan dan memberi beberapa perkara kepada manusia iaitu : yang pertama Allah swt memberi ilmu dan amal, yang kedua memberi amal namun tidak memberi ilmu, yang ketiga memberi ilmu namun tidak memberi amal dan yang ke-empat tidak memberi ilmu mahupun amal. Inilah keadaan jenis-jenis manusia menurut pendapat Imam An-Nawawi yang berlaku (lihat Riyadus Solihin m/s 8 Jilid 4).

Sirathalazina'anamta'alaihimqairil maq'dubi'alaihimwaladha'lin

Syarah Ayat 7

صِرَطَ الَّذِينَ اَنعَمتَ عَلَيهِم غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِم وَلاَ الضَّآلِّينَ {7}

Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat dan bukanlah jalan orang yang Engkau murkai (Yahudi) atau jalan mereka yang sesat (Nasrani)

Ayat terakhir dalam surah Al-Fatihah ini didatangkan oleh Allah swt sebagai jawapan bagi segala persoalan dan kemusykilan dan penjelasan tentang persoalan benar dan salah serta sebagai penjelasan kepada hamba-Nya apa yang sebenarnya harus dilakukan oleh seorang yang beriman dalam hidupnya.

Dengan memahami semua ayat-ayat yang terdahulu maka ayat ini akan difahami sebagai penutup dan penjawab bagi setiap musykil yang timbul. Dalam ayat ini Allah swt menyebut bahawa sebagai hamba yang beriman kita hendaklah meminta kepada Allah swt supaya ditunjukkan dengan jalan yang lurus dan pada ayat ini dijelaskan kepada kita apakah itu jalan yang lurus iaitu jalan golongan yang telah diberikan nikmat oleh Allah swt dan jauh serta bebas dari jalan –jalan lain yang dimurkai oleh Allah swt atau jalan yang sesat.

Apabila kita memahami bahawa tugas sebagai hamba itu ialah untuk mengabdikan diri kepada-Nya seperti firman-Nya :

وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ

“Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku” (Surah Adzariyat : 56).

Maka kita akan memahami bahawa seterusnya hamba itu harus cerdik mencari dan berusaha mengenali jalan yang benar dalam beribadah kepada Allah swt dan tiadalah jalan yang benar itu dapat dicari semata-mata dengan usaha sebaliknya ianya diperolehi dengan anugerah dari yang Maha Esa maka demikianlah punca perlunya kita berdoa dan memohon kepada-Nya.

Pengertian Ayat صِرَطَ الَّذِينَ اَنعَمتَ عَلَيهِم غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِم وَلاَ الضَّآلِّينَ

Ayat terakhir dari Surah Al-Fatihah ini membawa maksud “Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat dan bukanlah jalan orang yang Engkau murkai (Yahudi) atau jalan mereka yang sesat (Nasrani)” (lihat Al-Qur’an dan terjemahannya cetakan Indonesia m/s 5).

Para ulama’ menyebutkan bahawa ayat ini ialah syarah dan penjawab kepada ayat yang sebelumnya iaitu pada ayat 6 surah Al-Fatihah. Dalam ayat ini Allah swt telah mensyarahkan dan menjelaskan kepada hamba-Nya apakah yang dimaksudkan sebagai jalan yang lurus dan menjawab kemusykilan hamba-Nya mengenai jalan yang lurus dengan mengatakan yang dimaksudkan sebagai jalan yang lurus itu ialah jalan yang mempunyai padanya akan 2 ciri-ciri iaitu ciri pertama ialah jalan yang diberikan nikmat padanya dan mereka-mereka yang telah melaluinya serta ciri yang kedua ialah jalan tersebut bebas dan jauh dari jalan golongan yang dimurkai serta golongan yang sesat.

Bagi menghuraikan pengertian ayat ini marilah kita melihat dalam satu hadith riwayat Abdullah ibn Mas’ud ra yang megatakan bahawa pada suatu hari baginda rasulullah salallahualaihiwasalam ketika berada bersama para sahabat ra telah melukis akan satu garis yang lurus di telapak tangan baginda yang mulia lalu bersabda :

هذا سبيل الله مستقيما

“ Ini diperumpamakan sebagai jalan Allah yang lurus” seterusnya kemudian baginda rasulullah salallahualaihiwasalam pun melukis garis-garis yang bercabang dan menyimpang dari garisan yang lurus tadi sambil bersabda :

هذه سبل ليس منها سبيل الا عليه شيطان يدعو اليه

“Adapun ini ialah subul (jalan seleweng) dan tidaklah wujudnya jalan ini melainkan padanya mesti ada syaitan yang menyeru kepada jalan ini” kemudian baginda salallahualaihiwasalam pun membacakan Surah Al-An’am ayat 153 :

وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيماً فَٱتَّبِعُوهُ وَلاَ تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ذٰلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus maka ikutilah ia dan janganlah kamu mengikuti jalan yang seleweng kelak kamu akan berpecah belah dari jalan-Nya dan demikianlah kami berpesan kepada kamu agar kamu dapat menjadi orang yang bertaqwa” (Surah Al-An’am : 153) (Hadith Hasan, riwayat Ahmad no. 465 Jilid 2, Hakim no. 318 Jilid 2 dan Ibn Majah no. 7- rijal perawi dalam hadith ini semuanya siqah kecuali A’sim dan dia ialah soduq).

Sesungguhnya mencari jalan yang diberikan nikmat dan menjauhi jalan yang dimurkai Allah ialah kewajipan bagi setiap hamba. Bukanlah dimaksudkan mencari itu hanya menetap pada usaha semata-mata sebaliknya wajib pula hamba itu mnyerah dan memohon kepada Allah swt sebagai tanda pengabdian.

Dalam hal ini kita memahami bahawa tanpa usaha Allah tidak akan sedikit pun memberi apa yang kita ingini dan hanya dengan sekadar usaha pun tetap tidak membawa faedah kerana hidayah dan pertunjuk itu milik Allah swt semata-mata. Kerana itu dengan rahmat-Nya yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang maka Dia (Allah) telah memberikan tunjuk ajar kepada hamba-Nya bagaimana harus berdoa dan berbuat bagi memohon rahmat dari-Nya sesuai dengan kebesaran dan keagungan-Nya seperti apa yang telah diajari-Nya dalam Al-Qur’an seperti firman-Nya :

رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ ٱلْوَهَّابُ

“(Dan mereka yang berilmu itu berdoa kepada kami dengan berkata) Wahai tuhan kami janganlah Engkau jadikan hati kami cenderung ke arah kesesatan setelah Engkau memberi hidayah kepada kami dan berikanlah kepada kami rahmat dari –Mu dan sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi segala sesuatu” (Surah Ali Imran : 8).

Begitulah yang disebutkan dalam ayat ini bahawa mereka yang berilmu dan mengetahui akan menyedari bahawa nikmat hidayah itu boleh sahaja dicabut bila-bila masa oleh Allah swt termasuk nikmat pertunjuk iman dan Islam yang boleh diambil dari kita bila-bila masa dan ketika. Kerana itu mereka tidak henti-henti meminta kepada Allah supaya dikekalkan nikmat yang telah diberi dan ditambah dengan pemberian nikmat dan rahmat yang baru dari sisi Allah swt.

Sesungguhnya Allah swt sendiri pun demikianlah rahmat-Nya yang cukup luas lalu mewajibkan dan menjadikan ayat ke-7 surah Al-Fatihah ini sebagai bacaan harian hamba-Nya dalam solat.

Sudahlah kita maklumi bahawa seorang hamba itu dengan tuhannya amatlah dekat dalam solat kerana solat itu sendiri bermaksud doa’ maka ketika solat, seorang hamba itu telah bermunajat secara langsung dengan Allah swt dan dikerjakan solat wajib oleh seorang hamba itu dalam sehari ialah sebanyak 17 rakaat yang bermakna doa ini akan dibaca sekurang-kurangnya 17 kali oleh hamba yang beriman.

Lalu bagaimanakah mungkin akan dapat seorang hamba itu tersesat dan terjerumus lagi ke dalam kemurkaan dan kesesatan ? Dengan 17 kali sekurang-kurangnya dia berdoa kepada tuhan setiap hari supaya dikurniakan hidayah dan pertunjuk dan bermohon supaya dijauhkan dari jalan yang dimurkai dan jalan yang sesat ? Kerana itu disebut dalam firman-Nya :

إِنَّ ٱلصَّلاَةَ تَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ ٱللَّهِ أَكْبَرُ

“Sesungguhnya solat itu dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar dan dengan mengingati Allah (dimaksudkan solat) itu adalah lebih besar (dari ibadah yang lain)” (Surah Al-Ankabut : 45)

Darinya memaklumkan kita bahawa solat itu sepatutnya dapat mencegah kita dari terjebak kepada kesesatan dan penyelewengan dalam agama kerana lantaran doa yang dibaca yang memohon kepada Allah dengan rahmat-Nya dan Dia (Allah) sudah pun dikenali sebagai pemakbul doa seperti firman-Nya :

فَلْيَسْتَجِيبُواْ لِي وَلْيُؤْمِنُواْ بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

" Dan akan aku makbulkan kepada mereka yang beriman kepada aku (akan doa mereka) supaya mereka beroleh pertunjuk" (Surah Al-Baqarah : 186).

Kerana itulah disebut dalam hadith yang baginda nabi salallahualaihiwasalam pernah bersabda : “Sesunguhnya tembok pembeza antara sesorang itu dengan syirik atau kufur ialah mendirikan solat” (Hadith Sahih, riwayat Muslim no.897 dan Abu Daud 1658).

Begitulah pentingnya solat dan dikatakan kerana padanya dibaca dengan sebesar dan seagung surah yang tidak ada diturunkan kepada umat-umat terdahulu dan dengan meninggalkan solat bererti hamba itu sudah meninggalkan doa memohon hidayah pertunjuk kepada Allah swt dan kerana itu sudah menjadi bukan tanggungjawab Allah swt lagi untuk membimbingnya dan memberi hidayah kepadanya.

Perlulah diingat akan hadith dari riwayat Anas bin Malik ra yang berkata bahawa baginda rasulullah salallahualaihiwasalam kerap membaca doa :

يا مقلب القلوب ثبت قلبي على دينك

“Wahai tuhan yang membolak-balikkan hati tetapkanlah hati kami dalam agama-Mu” maka para sahabat pun bertanya apakah hati itu boleh dibolak-balik ? Maka baginda pun menjawab :

نعم ,ان القلوب بين أصابع الله يقلبها كيف يشاء

“ Ya, Sesungguhnya hati-hati itu berada di antara jari-jari Allah dan Dia (Allah) membolak-balikkannya sebagaimana yang dikehendaki-Nya” (Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2140 dan Ibn Majah no.3834).

Entah bila dan ketika hati kita akan dapat berubah tiada siapa tahu selain Allah maka hendaklah kita melazimi doa dan harap kepada Allah dan takut akan hari di mana apabila ujian menimpa dan hati-hati menjadi goyah dan berubah-ubah.

صِرَطَ الَّذِينَ اَنعَمتَ عَلَيهِم - Sirathalazina'an'amta'alaihim (Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat).

Sesungguhnya dalam ayat ini wujud pengulangan perkataan صراط (jalan) sebagai taukid (penegasan) dan penerangan kepada jalan yang bagaimana bentuk yang ingin dimaksudkan . Dikeluarkan oleh Ibn Abi Daud dari Ikhrimah dan Al-Aswad serta juga dikeluarkan oleh Waqi' dan Abu Ubaid dan Said bin Mansur dari Umar ibn Khatab ra bahawa sesungguhnya beliau (Umar Al-Khatab ra) membaca ayat ini (ayat ke-7 ) dengan menyebut :

صِرَطَ من اَنعَمتَ عَلَيهِم غير المغضوب عليهم و غير الضالين

(lihat Fathul Qadir m/s 93 Jilid 1).

Dikeluarkan oleh Ibn Al-An'bari dari Hasan bahawa beliau membaca عَلَيهِم dengan mengkasrahkan Al-Ha'(الهاء) dan Mim (الميم) dan mengisbatkan Ya (الياء) iaitu sebagai (عَلَيهِمِى). Manakala dikeluarkan pula oleh Ibn Katsir ra bahawa dibaca secara mengkasrahkan Al-Ha' (الياء) dan mendhammahkan Al-Mim (الميم) dan mengilhaqkan Wau (الواو) iaitu dibaca sebagai (عَلَيهِمُو) dan demikan juga sama dengan apa yang diriwayatkan oleh ibn Al-An'bari dari jalan yang lain. Adapun menurut riwayat yang dikeluarkan oleh Abi Ishaq bahawa beliau membaca (عَلَيهِمُ) dengan mendhammahkan Al-Ha'(الهاء) dan Mim(الميم) tanpa mengilhaqkan Wau (الواو).

Mengenai maksud ayat ini, para ulama' telah menyebutkan bahawa ianya membawa maksud penegasan dan menjawab bagi ayat yang sebelumnya dan menjelaskan ciri pertama jalan yang lurus iaitu jalan yang diberi nikmat dan lawan kepada jalan yang diberi nikmat ialah jalan yang diberi azab iaitu jalan yang dimurkai dan jalan yang sesat.

Menurut Abu Ja'afar Al-razi dari Ar-Rabi' dari Anas Bin Malik ra yang berkata bahawa jalan yang diberi nikmat ini ialah jalan para nabi. Manakala dari Ibn Jarir At-Tabari dan Ibn Abi Hatim ra dari Ibn Abbas ra yang menyebutkan bahawa " yang dimaksudkan dengan jalan yang diberi nikmat itu ialah jalan para malaikat, para nabi, para sidiqqin dan syuhada' serta solihin yang mentaati Allah dan menyembahnya" (lihat Ibn Jarir m/s 58 Jilid 1- pada riwayat ini ada perawi bernama Usman bin Said padanya ada masalah dan baki perawi yang lain ialah siqah).

Adapun yang dibawa turun oleh malaikat ialah jalan yang lurus yang dengannya manusia akan beroleh nikmat, kemudian disampaikan jalan itu kepada para nabi dan dibenarkan oleh orang-orang yang beriman dan dengannya mereka berjuang sehingga mencapai syuhada' dan demikian jadilah mereka golongan yang solihin dan mentaati perintah Allah swt. Inilah yang disebut dalam firman Allah swt :

فَلْيَسْتَجِيبُواْ لِي وَلْيُؤْمِنُواْ بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

"Barangsiapa yang mentaati perintah Allah dan perintah rasul maka mereka itulah nanti akan bersama dalam golongan yang diberi nikmat oleh Allah dari kalangan para nabi, para sidiqqin (yang membenarkan) dan syuhada' (golongan mati syahid) dan solihin (orang-orang yang soleh)" (Surah An-Nisa : 69).

Sesungguhnya jalan yang selamat dan diberi nikmat ialah jalan yang dibawa oleh rasulullah salallahualaihiwasalam dan jalan yang dilalui oleh para sahabat ra dan salaf soleh. Inilah yang disebut oleh baginda nabi dari riwayat Abdullah bin Amrin ra yang berkata telah bersabda rasulullah salallahualaihiwasalam :

وان بني اسرائيل تتفرقت على ثنتين وسبعين ملة وتفرق امتي على ثلاث و سبعين ملة كلهم فى النار الا ملة واحدة اوصيكم بتقوى الله

" Sesungguhnya bani isra'el telah berpecah kepada 72 golongan dan dan akan berpecah pula umat aku kepada 73 golongan dan kesemuanya dineraka kecuali satu dan aku berpesan kepada kamu supaya bertaqwalah kepada Allah" kemudian para sahabat ra pun bertanya siapakah mereka ya rasulullah (yakni golongan yang satu yang akan terselamat) ? Maka dijawab oleh baginda : ما أنا عليه و أصحابي "Iaitu jalan di mana aku dan sahabatku sedang berada di dalamnya" (Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi no. 2641 dan Hakim no. 218 Jilid 1).

غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِم وَلاَ الضَّآلِّينَ Qairilmaqdubi'alaihimwaladha'lin (Dan bukanlah jalan orang yang Engkau murkai (Yahudi) atau jalan mereka yang sesat (Nasrani).

Dalam mensyarahkan ayat ini para ulama' menyebut bahawa jalan yang dimurkai dan jalan yang sesat ini ialah lawan kepada jalan yang diberi nikmat dan merupakan ciri kedua bagi jalan yang lurus iaitu bebas dan jauh dari kemurkaan dan kesesatan. Dalam ayat ini Allah swt mengunakan kalimah المَغضُوبِ yang berasal dari غضب bermaksud "murka" atau marah. Imam Al-Qurtubi menyebut bahawa yang dimaksudkan الغضب di sini ialah kemurkaan Allah swt yang bersangatan yang membawa kepada sifat ارادة العقوبة iaitu ingin mengazab dan menyeksa kepada sesiapa yang melakukan perkara yang dimurkai dan ianya termasuk salah satu sifat Allah swt yang mengazab hamba-Nya yang berdosa dan derhaka namun kemarahan dan murkanya sentiasa diatasi oleh rahmat-Nya bahkan dapat diatasi dengan taubat dan amalan soleh seperti disebut dari riwayat Anas bin Malik ra bahawa rasulullah salallahaulaihiwasalam bersabda :

ان صدقة لتطفىء غضب الرب

" Sesungguhnya sedekah itu dapat menyekat kemurkaan Al-Rabb (Allah)" (Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi no. 664).

Mengenai maksud ayat ini siapakah golongan yang dimurkai dan dan golongan yang sesat maka menurut riwayat Adi bin Hatim ra dari nabi salallahualaihiwasalam yang bersabda :

اليهود مغضوب عليهم والنصارى ضالون

" Sesungguhnya yahudi itu dimurkai Allah dan nasrani itu ialah golongan yang sesat" (Hadith sahih, riwayat Bukhari no. 3456, Muslim no. 2669 dan Ahmad no. 94 Jilid 3 ).

Dan demikianlah juga seperti apa yang dikeluarkan oleh Abd bin Humaid dari Rabi' bin Anas ra bahawa المغضوب ialah yahudi dan الضالين ialah nasrani sebagaimana firman Allah swt :

قد ضلّوا من قبل واضلوا كثيرا وضلوا عن سواء السبيل

"Sesungguhnya telah pun sesat golongan sebelum mereka dan menyesatkan pula ramai orang selain mereka dan sesatlah mereka dari jalan yang benar" (Surah Al-Mai'dah : 77).

Bahkan dalam hadith yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad ra bahawa seorang lelaki datang bertanya nabi salallahaulaihiwasalam siapakah mereka yang dimaksudkan dengan golongan yang dimurkai ? Maka dijawab oleh rasulullah : Mereka ialah Yahudi dan kemudian lelaki itu bertanya pula siapakah pula golongan yang sesat ? Maka dijawab oleh baginda bahawa mereka ialah nasrani (kristian)" (Hadith hasan, riwayat Ahmad no. 23 Jilid 5 dan berkata Al-Haitsami bahawa rijalnya sahih, Ibn Jarir At-tabari m/s 62 Jilid 1).

Begitulah juga dalam riwayat yang lain yang pelbagai seperti dari riwayat Sufyan Ibn Uyainah dari Said bin Mansur dari Ismail bin Abi Khalid dari nabi salallahualaihiwasalam yang diriwayatkan bersabda :

المغضوب عليهم اليهود و الضالون النصارى

" Yang dimurkai itu ialah golongan yahudi dan golongan yang sesat ialah nasrani (kristian)" (Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2954 dan Ibn Hibban no. 6213).

Secara umumnya disepakati oleh para ulama' tafsir bahawa yang dimaksudkan oleh golongan yang dimurkai dan golongan yang sesat ini ialah yahudi dan nasrani dan mengenai hal ini kita perlulah pula menghayati mengapakah yahudi dan nasrani disebut sebagai golongan yang dimurkai dan nasrani (kristian) pula disebut sebagai golongan yang sesat.

Golongan Yahudi dinisbahkan kepada anak Nabi Ya'akob as yg ke-4 yang bernama Yahudza dan ianya kemudian menjadi salah satu daripada puak-puak Bani Israel. Gelaran ini mula dikenali selepas berlakunya perang dan keruntuhan kerajaan Yahudza pada 586 sebelum masihi (SM) yang seterusnya golongan yang menganut agama ajaran Nabi Allah Musa as mula dikenali sebagai yahudi.

Sesungguhnya Yahudi dan bangsa Isra'el terkenal jahat sejak azali lagi di mana mereka ini sangat degil, suka membantah, bongkak dan takbur serta mempunyai cita-cita tinggi yang kerap merosakkan diri mereka sendiri. Golongan yahudi atau bani Isra'el sebenarnya telah banyak diberikan nikmat dan rahmat oleh Allah swt seperti firman-Nya :

يَابَنِي إِسْرَائِيلَ ٱذْكُرُواْ نِعْمَتِيَ ٱلَّتِي أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ

"Wahai bani Isra'el ingatlah kamu akan nikmat yang telah aku kurniakan kepada kamu" (Surah Al-Baqarah : 40).

Mereka pernah mendapat kelebihan di muka bumi dengan diturunkan hidayah dari syurga yang disebut "Man'na wal sal'wa" dan mereka juga telah diselamatkan dari Fir'aun dan diberi pelbagai rezeki dan nikmat yang melimpah ruah namun mereka tetap kufur dan sentiasa mencari akal dan alasan untuk tetap terus menentang Allah swt dengan kecerdikan yang dianugerahkan kepada mereka.

Sebagai contoh realiti hari ini golongan yahudi telah pun berjaya menduduki Palestin dan membina negara haram mereka hasil bantuan nasrani (kristian- Amerika Syarikat) , di sana mereka membunuh tanpa mengira anak kecil lelaki dan perempuan demi menjayakan cita-cita mereka membina negara Israel-raya bagi menanti kedatangan Al-Messiah (Al-Masih) yang kononnya akan memimpin mereka menguasai dunia. Demi menjayakan tujuan jahat mereka maka tak kurang kaedah dan perancangan jahat telah mereka lakukan dan menguasai dunia dengan kecerdikan dan tipu helah mereka.

Lihatlah ucapan seorang tokoh mereka yang bernama Hakhom Immanuel Raphinovic yang pernah mengungkapkan rencana zionisme dalam pidatonya pada persidangan para rabi' (rahib yahudi) di Bhudapest tahun 1954. Dia berkata, "Apakah anda masih ingat serangan yang kita jalankan pada tahun 1930 yang telah berjaya dengan gemilang ? Iaitu serangan saraf di mana menyebabkan berlakunya perang antara Amerika dan Jerman serta perang dunia seterusnya percaturan politik yang menyebabkan bertembungnya blok komunis dan kapitalis yang akhirnya membolehkan kita mengaut keuntungan di tengah ? Kita berjaya menjadi pihak yang mengaut keuntungan dan membuatkan mereka semua bergantung kepada kekuatan dan kewangan kita yang membolehkan kita menguasai dunia."

Begitulah sikap yahudi yang terkenal jahat dan sentiasa melakukan apa sahaja demi kepentingan diri mereka. Sesungguhnya kerana itulah mereka sentiasa dilaknat oleh Allah dan para nabi seperti firman Allah swt :

لُعِنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن بَنِيۤ إِسْرَائِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ٱبْنِ مَرْيَمَ

"Dilaknat mereka-mereka yang kafir di kalangan bani Isra'el melalui lisan daud dan Isa bin Maryam" (Surah Al-Mai'dah : 76).

Bahkan demi matlamat jahat dan hawa nafsu mereka tidak sahaja kanak-kanak dan orang tua yang mereka bunuh bahkan termasuk para nabi dan rasul tidak terlepas dari dibunuh oleh mereka seperti firman Allah swt :

كُلَّمَا جَآءَهُمْ رَسُولٌ بِمَا لاَ تَهْوَىٰ أَنْفُسُهُمْ فَرِيقاً كَذَّبُواْ وَفَرِيقاً يَقْتُلُونَ

" Ketika didatangkan para rasul kepada mereka dengan membawa apa yg tidak diingini oleh hawa nafsu mereka, maka sebahagian dari para rasul itu mereka dustakan dan sebahagian yg lain mereka bunuh" (Surah Al-Maidah : 70).

Sesungguhnya demikianlah para golongan yahudi yang membunuh para nabi, membunuh manusia tanpa hak, melanggar perjanjian dengan Allah dan para rasul (perjanjian dengan Nabi Musa as) melampaui batas (meminta untuk melihat Allah ketika di bukit Tursina), mengubah suai kitab Allah swt dan menambah serta mengurangnya menurut hawa nafsu dan menganggap mereka sebagai anak-anak Allah dan makhluk istimewa dan menganggap manusia lainnya sebagai Qayeem (binatang) yang boleh dan perlu dibunuh.

Israel Shahak, seorang profesor kimia Yahudi kelahiran Polandia, yang menghabiskan 40 tahunnya di Israel dan meninggal di tahun 2001, mengkritik anti hak azazi manusia Zionis Israel dalam bukunya Jewish History, Jewish Religion, and the Weight of Three Thousand Years, Shahak menggambarkan besarnya ancaman Zionisme terhadap kemanusiaan: Dalam pandangan saya, Israel sebagai sebuah negara Yahudi menciptakan bahaya tidak hanya bagi dirinya sendiri dan penduduknya, bahkan juga untuk semua orang Yahudi dan semua orang-orang lain dan negara-negara di Timur Tengah serta di luarnya (lihat dalam Israel Shahak, Jewish History, Jewish Religion and the Weight of Three Thousand Years, (AMEU: 1994), m/s 5).

Sesungguhnya golongan Kristian pula disebut sebagai golongan yang sesat kerana mereka ini sangat tersesat dalam mencari jalan kepada Allah swt. Mereka sebenarnya jika menurut sejarah telah disesatkan oleh golongan Yahudi yang memporak perandakan agama samawi yang diturunkan oleh Allah swt.

Bahkan bagi golongan nasrani yang menganggap Nabi Allah Isa as sebagai rasul mereka sebenarnya telah sesat sejak awal lagi apabila mereka tanpa disedari telah dipermainkan oleh golongan yahudi. Bangsa Israellah yang telah memusuhi ajaran Nabi Isa as dan kemudiannya cuba membunuhnya namun baginda telah diselamatkan oleh Allah swt.

Lalu zaman kemudiannya ajaran Nabi Isa as mula diterima oleh bangsa Rom dan Maharaja Rom kemudiannya memeluk Kristian dan mulalah sejarah nasrani mula diterima tetapi tanpa disedari kebanyakan ajaran Kristian atau nasrani yang mereka amalkan sebenarnya sudah diubah-suai oleh paderi mereka dan disesatkan oleh golongan Yahudi yang mendakwa Nabi Isa sebagai anak Allah dan memunculkan fahaman 3 tuhan (iaitu tuhan bapa, tuhan ibu dan tuhan anak) seperti firman Allah swt :

قَالُوۤاْ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْمَسِيحُ ٱبْنُ مَرْيَمَ

"Dan mereka golongan nasrani itu mengatakan Al-Masih bin Maryam (Nabi Isa as) itu sebagai Allah (melalui penjelmaan)" (Surah Al-Mai'dah : 72). Semua ini tidak lain melainkan ialah dari jasa golongan yahudi yang menyesatkan kaum nasrani sehinggalah ke hari ini.

Sebagai umat Islam maka kita haruslah menjauhi dari menuruti jejak langkah golongan ini baik dari segi sikap, budaya dan cara hidup mereka. Sangatlah malang apabila kita melihat melalui fesyen umat Islam sudah meninggalkan agama mereka dan jatuh kepada perangkap jahat Yahudi dan Nasrani, begitu juga melalui sukan, hiburan dan sehingga kepada bidang keilmuan dan muamalah ekonomi kita terpaksa tunduk kepada sistem yahudi.

Mereka menguasai bank-bank dunia dan pasaran saham dan perdagangan. Mereka juga menguasai bidang maklumat dan teknologi sehingga umat Islam terus mundur baik dalam agama mahupun dalam keduniaan. Benarlah sabda baginda salallahualaihiwasalam melalui riwayat Adi bin Hatim ra bahawa baginda rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda :

لتتبعنا سنن من كان قبلكم شبرا بشبر وذراعا بذراع حتى لو دخلوا فى جحر ضب لأتبعتموهم قلنا : يا رسول الله اليهود والنصارى ؟ قال: فمن ؟

"Sesungguhnya kamu akan mengikuti jejak langkah golongan sebelum kamu sedikit demi sedikit dan selangkah demi selangkah sehingga sekalipun mereka memasuki lubang dhab (sejenis binatang) kamu akan tetap mengikutinya, maka kami pun bertanya apakah yahudi dan nasrani yang engkau maksudkan wahai rasulullah ? Maka baginda berkata : Siapakah lagi kalau bukan mereka ? (Hadith Sahih, rwayat Bukhari no. 3456 dan Muslim no. 2669).

Demikianlah yang dipesan oleh baginda nabi supaya umat Islam tetap mengingati bahawa akan datang zaman di mana yahudi dan nasrani akan dijadikan ikutan umat Islam dan zaman itu telah tiba, maka menjadi kewajipan kepada mereka yang mencintai Allah dan rasul supaya tetap berada dalam agama Allah dan kembali kepada sunnah rasulullah dan meninggalkan segala kejahatan , kesilapan dan kesalahan kepada kebenaran, kebaikan dan keselamatan serta menuju ke jalan yang lurus iaitu jalan yang diredhai Allah dan diberi nikmat dan bukanlah jalan yang dimurkai iaitu yang dipelopori oleh golongan yahudi dan bukan pula jalan yang sesat yang dipelopori oleh golongan nasrani (Kristian).

والله علم بصواب

Fadhilat Surah al-Fatihah

Sesungguhnya Surah Al- Fatihah merupakan surah yang teragung dalam Al-Quran dan ibarat ibu kepada Al-Quran. Padanya mencakupi pelbagai aspek dan menyimpulkan seluruh perihal mengenai Islam.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra dari nabi salallahualaihiwasalam yang bersabda bahawa Allah swt berfirman :

قسمت الصلاة بيني وبين عبدي نصفين ,ولعبدي ما سأل فاذا قال العبد : الحمد لله رب العالمين ,قال الله تعالى : حمدني عبدي, واذا قال : الرحمن الرحيم قال الله تعالى : اثنى عليَّ عبدي , فاذا قال مالك يوم الدين ,قال الله تعالى : مجدني عبدي , فاذا قال اياك نعبد واياك نستعين قال : هذا بيني و بين عبدي ولعبدي ما سأل , فاذا قال اهدنا الصراط المستقيم صراط الذين انعمت عليهم غير مغضوب عليهم ولا الضالين قال : هذا لعبدي ولعبدي ما سأل .

" Sesungguhnya aku bersumpah dengan solat bahawa antara aku dan hambaku baginya 2 bahagian, dan apabila hambaku berkata

الحمدلله رب العالمين maka Allah pun menyebut sesungguhnya hambaku mensucikan aku, dan apabila hamba itu berkata الرحمن الرحيم maka Allah pun berfirman sesungguhnya hambaku itu memuji aku, dan apabila hamba itu membaca مالك يوم الدين maka Allah pun berfirman inilah hambaku sedang membesarkan aku, dan apabila hamba itu membaca اياك نعبد واياك نستعين maka Allah pun menyebut ini ialah antara aku dan hambaku dan bagi hambaku itu apa yang dimintanya, begitulah juga ketika dibaca oleh hamba itu اهدنا الصراط المستقيم صراط الذين انعمت عليهم غير مغضوب عليهم ولا الضالين maka Allah swt sekali lagi mengulangi mengatakan ini ialah untuk hambaku dan bagi hambaku itu apa yang dimintanya" (Hadith Sahih, riwayat Muslim no. 876 dan Tirmidzi no. 2953 serta Abu Daud no. 821).

Juga diriwayatkan dari Abu Said ibn Ma’ali ra yang berkata bahawa beliau pernah mendengar bahawa baginda rasul salallahualaihiwasalam bersabda dengan katanya ;

(( لأعلمنكم أعظم سورة فى القرءآن قبل أن تخرج من المسجد )) فأخذ بيدي فلما اراد أن يخرج من المسجد قلت : يا رسول الله انك قلت: لأعلمنكم أعظم سورة فى القرءآن ؟ قال : (( نعم " الحمد لله رب العالمين.. هي السبع المثانى والقرءان العظيم الذى أتيته ))

“ Akan aku beritahu kepada kamu mengenai satu surah yang paling agung di dalam Al-Quran sebelum kamu keluar dari masjid”. Kemudian baginda pun memegang tangan aku (Abu Ma’ali) dan ketika sampai aku hendak keluar dari masjid maka aku pun berkata : Wahai rasulullah, sesungguhnya engkau berkata akan memberitahu mengenai satu surah yang paling agung di dalam Al-Quran. Maka baginda pun bersabda : “Ya, iaitu Alhamdulillahirabbil alamin (Surah Al-Fatihah) Dia ialah Sab’ul Masani (Yang dibaca berulang-ulang) dan Al-Quran yang Agung yang diberikan kepada-ku” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no. 4473 & Ahmad no. 450 Jilid 3 dan Abu Daud no. 1458).

Patut difahami bahawa Allah swt telah menurunkan surah ini dengan merangkumi segala isi pokok ajaran Islam dan ianya merupakan Al-Quranul Azim (digelar demikian oleh baginda) seolah segala isi pokok Al-Quran itu terkandung dalam surah ini.

Padanya terdapat pokok dasar Islam iaitu Tauhid pada ayat yang ke 5 iaitu pada firman-Nya اِيَّاكَ نَعبُدُ وَاِيَّاكَ نَستَعِينُ sebagaimana yang telah dibincangkan. Tauhid merupakan asas Islam yang paling penting dan itulah merupakan seruan para rasul dan nabi-nabi terdahulu.

Sebagaimana firman Allah :

وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ إِلاَّ نُوحِيۤ إِلَيْهِ أَنَّهُ لاۤ إِلَـٰهَ إِلاَّ أَنَاْ فَٱعْبُدُونِ

“ Dan tidaklah kami mengutuskan sebelum kamu daripada rasul-rasul melainkan kami mewahyukan kepada mereka bahwasanya tiada tuhan selain aku maka sembahlah aku” (Surah Al-Anbiya’:25).

Kepentingan tauhid sangat jelas bahkan terpapar melalui sabda baginda salallahaualihiwasalam :

أمرت ان اقاتل الناس حتى يقولوا لا اله الا الله و محمدا رسول الله

“ Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehinggalah mereka bersyahadah bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad sebagai rasulullah.” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no. 25 & Muslim no.22).

Begitulah juga dengan apa yang disebut oleh baginda rasulullah salallahualaihiwasalam kepada Muaz bin Jabal ketika diutuskan sebagai naqib (utusan rasulullah) ke Yaman untuk berdakwah di sana dengan sabda-nya kepada Muaz :

أول ما تدعوهم الى أن يوحدوا الله

“ Seawal-awal perkara yang hendak kamu dakwahkan kepada manusia haruslah tauhid kepada Allah.” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no.6937).

Selain itu, dalam surah ini juga terkandung perkara kedua yang merupakan unsur dan pokok dasar kedua Islam iaitu perkara Syariah seperti yang disebutkan oleh Allah swt dalam ayat ke 6 iaitu pada firman-Nya :

اهدِنَا الصِّرطَ المُستَقِيمَ

yang membawa maksud syariah sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini. Islam itu terdiri dari dua perkara asas ini iaitu Tauhid dan Syariah seperti dalam hadith riwayat Amirul Mukminin Umar Al-Khattab ra : “ Terbinanya Islam itu dengan 5 perkara ; Bersyahadah bahawa tiada Ilah (tuhan) selain Allah dan Muhammad sebagai rasulullah serta mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji serta berpuasa di bulan Ramadhan.” (Hadith Sahih , riwayat Bukhari, Bab Iman no.2). Pada maksud syahadahtain (dua kalimah syahadah) membawa makna Tauhid. Manakala perihal solat, zakat dan haji serta puasa merupakan perkara syariah yang ingin dimaksudkan.

Berbalik kepada fadhilat surah Al-Fatihah, terdapat juga hadith dari riwayat lain seperti yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad, Tirmidzi dari riwayat Ubai bin Kaab ra bahawa baginda rasulullah salallahualaihiwasalam telah bersabda :

اتحب ان أعلمك سورة لم ينزل في التورة ولا فى الانجيل ولا فى الزبور ولا فى الفرقان مثلها ؟ ثم أخبره أنها الفاتحة

“ Sukakah kamu kalau aku memberitahu kamu semua mengenai satu surah yang tidak pernah diturunkan sepertinya baik dalam Taurat atau dalam Injil atau pun dalam Zabur atau bahkan tidak ada sepertinya dalam Al-Quran ? kemudiannya baginda pun memberitahu bahawa ianya ialah Surah Al-Fatihah (Hadith Hasan, riwayat Nasaie no. 225 , Tirmidzi no. 2875 dan Ahmad no. 413, Jilid 2 melalui riwayat Abd Rahman ibn Ibrahim).

Begitu juga disebut surah ini sebagai cahaya dan pertunjuk sebagaimana dari riwayat Ibn Abbas ra yang menyebut bahawa telah bersabda baginda nabi salallahualaihiwasalam :

أبشر بنورين قد أتيتهما لم يؤتيهما نبي قبلك فاتحة الكتاب و خواتيم سورة البقرة لم تقرأ حرفا منها الا أوتيته “ “Bergembiralah kamu sesungguhnya telah diberikan kepada-Ku dua cahaya yang tidak diberikan kepada para nabi sebelumku iaitu Fatihah kitab dan penutup (ayat-ayat akhir) surah Al-Baqarah dan tidaklah sesiapa membacanya melainkan diberi apa yang dihajatinya” (Hadith Sahih, riwayat Muslim no. 395 dan Abu Daud no. 861).

Penyembuh dan Penawar

Al-Qur’an juga merupakan penawar dan penyembuh kepada pelbagai penyakit dan mudharat baik zahir dan batin yang menimpa manusia. Sebagaimana firman Allah swt :

وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَآءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

“ Dan diturunkan Al-Qur’an itu sebagai penyembuh (penawar) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman” (Surah Al-Isra : 82).

Sesungguhnya antara fadhilat surah ini seperti yang termuat dalam pelbagai kitab antaranya seperti yang diriwayatkan dari kisah Abu Sa’id Al-Khudri ra bahawa ketika diberitahu kepada rasululullah salallahualaihiwasalam bahawa seorang lelaki disembuhkan dengan jampi dari bacaan Al-Fatihah maka baginda pun membenarkannya dengan bersabda :

وما كان يدريه أنها رقية ؟

“ Apakah kamu masih belum menyedari sesungguhnya ia ialah penawar / Jampi ?” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no. 2276 dan Muslim no. 2201, Abu Daud no. 3418 serta Tirmidzi no. 2064).

Mengenai pengubatan dan merawat penyakit mengunakan fadhilat surah ini boleh dilihat dengan lebih lanjut dalam Kitab Tibb Nabawi oleh Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyah m/s 133. Pengubatan dan jampi sememangnya wujud dan dibenarkan dalam Islam bahkan ianya di Ijmakkan oleh para ulama’ bahawa bolehnya berjampi dengan syarat mestilah dilakukan dengan menurut panduan dari Al-Qur’an dan As-Sunnah serta dilakukan untuk kebaikan (lihat Minhaj Syarah Sahih Muslim oleh Imam An-Nawawi m/s 392 Jilid 14).

Diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Aisyah ra bahawa baginda nabi salallahualaihiwasalam apabila mengadu sakit maka baginda akan dijampi oleh Malaikat Jibril as dengan membaca :

با اسم الله يبريك ومن كل داء يشفيك ومن شرّ حاسد اذا حسد و شركل ذي عين

“ Dengan nama Allah yang membebaskan engkau dari segala penyakit dan menyembuhkan engkau dari segala kejahatan dengki bila manusia mendengki dan dari segala kejahatan mata-mata” (Hadith Sahih, riwayat Muslim no. 5663 dalam Minhaj).

Bahkan juga disebut bahawa dari riwayat Aisyah ra mengenai baginda nabi salallahualaihiwasalam apabila sakit maka baginda akan menjampi pada dirinya dengan menyapukan tangannya pada tempat sakit (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no. 5016, Abu Daud 3902, Ibn Majah no. 3529 dan Muslim 5679 dalam Minhaj Jilid 14).

Sesungguhnya mengenai perbuatan menjampi orang lain dan merawat dengan menggunakan ayat-ayat suci berdasarkan panduan sunnah tidaklah salah bahkan dibenarkan namun hendaklah seseorang itu benar-benar sahih memiliki ilmu dan pemahaman yang benar terhadap kitab Allah dan sunnah. Seperti dari riwayat Ja’bir ibn Abdillah ra yang berkata telah datang seorang lelaki kepada rasulullah salallahualahiwasalam lalu berkata : Ya Rasulullah sesungguhnya engkau melarang dari berjampi lalu bagaimana dengan perbuatan menjampi dengan mengunakan ayat-ayat Al-Qur;an ? Maka baginda pun menjawab :

من استطاع منكم أن ينفع أخاه فليفعل

“Barangsiapa yang dapat memberi manfaat kepada saudaranya maka lakukanlah” (Hadith Sahih, riwayat Muslim no. 5693 dalam Minhaj Jilid 14 dan Ibn Majah no. 3515).

Disebutkan mengenai nabi salallahualaihiwasalam melalui riwayat Al-Bazzar bahawa baginda diriwayatkan pernah bersabda :

اذا وضعت جنبك على الفراش وقرأت فاتحة الكتاب و قل هو الله احد فقد أمنت من كل شئ الا الموت

“ Jika ada seseorang yang meletakkan badannya di atas tilamnya lalu membaca Surah Al-Fatihah dan Surah Qulhuallahuahad (Al-Ikhlas) maka sesungguhnya telah amanlah dia dari segala sesuatu kecuali mati” (Hadith riwayat Al-Bazzar no. 3109, menurut Al-Haitsami padanya ada perawi bernama غسان بن عبيد dan dia seorang yang dhaif tetapi disiqahkan oleh Ibn Hibban ra - lihat dalam Al-Majmuk m/s 127 Jilid 10).

Perihal Membaca Al-Fatihah Di Dalam Solat

Membaca Surah Al-Fatihah di dalam solat merupakan kewajipan dan rukun solat yang mesti dilaksanakan. Bahkan hal ini sudah menjadi ijmak ulama dan disepakati akan rukun membaca surah Al-Fatihah dan tidak sah serta tidak tertunainya solat tanpa membaca Al-Fatihah. Disebut dari riwayat Ubaidah bin Somit bahawa baginda nabi salallahualaihiwasalam telah bersabda :

لا صلاة لمن لم يقرأ بفاتحة الكتاب

“Bahawa tidak ada solat bagi mereka yang tidak membaca surah fatihatul kitab (Surah Al-Fatihah)” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no. 756 dan Muslim no. 394).

Membaca Al-Fatihah merupakan rukun solat baik solat fardhu (wajib) mahupun solat sunat sama ada dibaca jahar mahupun dibaca secara sirr (perlahan). Demikilah pendapat jumhur ulama’ seperti yang diriwayatkan dari As-Sauri dan Malik, Syafie dan Ahmad ra juga seperti yang diriwayatkan dari para sahabat ra seperti Umar Al-Khatab ra dan Usman bin Abi Al Ash (lihat Sahih Fiqh Sunnah m/s 319 Jilid 1 dan Kitab Al-Majmuk oleh An-Nawawi m/s 285 Jilid 3).

Namun Abu Hanifah ra berpendapat sebaliknya dengan mengatakan tidak wajib membaca Al-Fatihah bahkan cukup sekadar membaca sebahagian ayat dari Al-Qur’an. Tetapi pendapat ini kurang tepat dan bercanggah dengan pelbagai hadith dan dalil yang sahih yang mewajibkan membaca Surah Al-Fatihah. Dari hadith yang diriwayatkan oleh Abi Qatadah ra yang menyebut bahawa :

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يقرأ في كل ركعة بفا تحة الكتاب

“ Sesungguhnya Nabi salallahualaihiwasalam telah membaca pada setiap rakaat (dalam solat) dengan Surah Al-Fatihah” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no. 759). Demikianlah yang dinaqalkan dari pelbagai riwayat dari salaf ummah yang menyebut mengenai kewajipan membaca surah fatihah di dalam solat baik sunat mahupun wajib pada setiap rakaat.

Bagi golongan yang tidak mampu membaca Surah Al-Fatihah lantaran baru masuk Islam atau belum mampu menghafaznya kerana masih kanak-kanak atau sebagainya yang menghadapi masalah menghafaznya secara bukan sengaja maka dibolehkan membaca zikir seperti yang disebut dalam hadith riwayat Abdullah bin Abi Aufa ra yang menyebut bahawa pernah seorang lelaki datang mengadu kepada nabi salallahualaihiwasalam bahawa dia tidak mampu menghafaz surah dari Al-Qur’an dan meminta nabi mengajarnya apa yang dapat dibacanya di dalam solat maka baginda pun bersabda :

العليّ العظيم قل سبحان الله والحمد لله ولا اله الا الله و الله اكبر ولا حول ولا قوة الا بالله

“ Katakanlah Maha Suci Allah, dan Segala Puji Hanya Bagi Allah dan Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Allah Maha Besar dan Tiada daya dan Kekuatan selain bagi Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung” (Hadith Hasan, riwayat Abu Daud no. 832).

Menyebut Amin Dalam Solat Selepas Membaca Al-Fatihah

Mengenai membaca amin selepas membaca surah Al-Fatihah di dalam solat seperti yang dilakukan oleh kebanyakan kita hari ini maka para ulama’ menyebut bahawa ianya ialah sunat yang dituntut dan hal ini merupakan pendapat jumhur ulama’. Walaubagaimanapun menurut Ibn Hazm pula ianya ialah wajib atas makmum dan sunat bagi Imam dan mereka yang bersolat sendirian (lihat Al-Muhalla m/s 262 Jilid 3 dan Ibn Abidin 320 Jilid 1 dan Mughni Muhtaj m/s 160 Jilid 1).

Perkataan Amin bermakna اللهم استجب “ Ya Allah makbulkanlah” (lihat Ibn Katsir m/s 45 Jilid 1) dan disebut dari riwayat Abi Musa Al-Asya’ari yang berkata bahawa rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda :

اذا قرأ (الامام) غير المغضوب عليهم ولا الضالين فقولوا آمين يجببكم الله

“Apabila Imam membaca “qairil Maq’du bi’alaihim waladha’lin” maka sebutlah amin maka Allah akan memakbulkan kamu” (Hadith Sahih, riwayat Muslim no. 404 ). Bahkan disebut oleh para ulama’ termasuk sunat membaca amin walaupun diluar solat sama ada berseorang diri atau bermakmum kepada orang lain atau menjadi imam jika setelah selesai membaca Surah Al-Fatihah.

Sesungguhnya perintah menyebut amin ini disebut sebagai mendapat ganjaran pahala dan manfaat seperti yang disebut dalam hadith riwayat Abu Hurairah ra bahawa baginda nabi salallahualaihiwasalam pernah bersabda :

اذا أمن الامام فامنوا فانه من وافق تأمينه تأمين الملائكة غفرله ما تقدم من ذنبه

“ Jika Imam menyebut amin maka sebutlah amin sesungguhnya barangsiapa yang aminnya bertepatan (bersamaan) dengan amin para malaikat maka diampunkan dosanya apa yang telah berlalu” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no. 780 , Muslim no. 410 dan Tirmidzi no. 250 serta Abu Daud no. 936).

Begitulah juga dalam hadith-hadith yang lain seperti termasuk menyebut bahawa jika selesai nabi salallahualaihiwasalam membaca Al-Fatihah baginda akan menyebut amin dan menjaharkannya (melantangkannya) dan meninggikan suaranya seperti dalam riwayat oleh Imam Abu Daud dalam Sunannya hadith no. 932 yang berdarjah sahih.

0 comments:

Senarai Kitab-Kitab

1.Nasihat Agama Dan Wasiat Iman - Imam Habib Abdullah Alwi Al-Haddad dan diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait.

2.Dakwah Yang Sempurna Dan Peringatan Yang Utama - Imam Habib Abdullah Alwi Al-Hadad dan diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait.

3.Petunjuk Thariqat Ke Jalan Akhirat - Imam Al-Haddad diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait.

4.Peringatan Tentang Umur Insan - Imam Al-Haddad diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait.

5.Petunjuk Jalan Thariqat” - Imam Al Haddad dan diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait.

6.Ar-Risalah karya Imam al-Qusyairi

7.Az Zubad karya tulis Syeikh Ibnu Ruslan

8.Al Minhaaj karya tulis Imam Nawawi

9.Awarifu al-Ma’arif karya tulis Imam al-Saharwurdi

10.Iljamul 'awam oleh AL Imam Ghazali.

11.Irsyadul Anam Fi Tarjamati Arkanil Islam oleh Al Habib Usman bin Abdullah bin ‘Aqil bin Yahya Al Alawi Al Husaini.

12.Keutamaan Keluarga Rasulullah saw oleh K.H Abdullah bin Nuh

13.Perhiasan Bagus oleh Al Habib Usman bin Abdullah bin ‘Aqil bin Yahya Al Alawi Al Husaini.

14.Thariqah Bani Alawi oleh Habib Novel bin Muhammad Al Idrus.

15.Riyaadhus Shaalihiin karya Imam Muhyiddin Abu Zakaria an-Nawawi.

16.Jalan Nan Lurus : Sekilas Pandang Tarekat Bani 'Alawi oleh Ustaz Novel @ Naufal bin Muhammad al-'Aydru.



Sajak Pemilik Diri

Ya Tuhan pemilik kekuasaan
Memberi kekuasaan menganugerah kejayaan
Memuliakan hamba dengan keimanan
Di tanganMu segala kebaikan dan kekayaan

Engkau menabir siang dan malam
Menerbitkan yang hidup dari yang mati
Kembangkan Lembayung rahmatMu
Kepada kami insan yang memerlukan

Ya Tuhan tautkan hati kami dengan kemanisan iman
Kekalkan kemesraan dalam kehidupan
Jalinkan ukhuwah sesama insan
Lapangkan hati kami dengan limpah keyakinan

Ya Tuhan dengarlah rintihan hambaMu
Berserah jiwa dan raga untukMu
Demi agama, bangsa dan UmatMu
Kuatkan, tabahkan hati menyanjung syariatMu


Mujahid Setia

Bangkitlah mujahid bangkitlah

Rapatkan barisan rapatkan

Hayunkanlah langkah perjuangan

Mati syahid atau hidup mulia



Siapkan dirimu siapkan

Gentarkan musuhmu gentarkan

Takkan pernah usai pertarungan

Hingga ajalkan menjelang



Henyakkan rasa takut dan gentar

Walau ragakan meregang nyawa

Kerna Allah telah janjikan syurga

Untukmu MUJAHID SETIA

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP