KEUTAMAAN AMALAN HATI KE ATAS AMALAN BADAN.
Amalan Hati adalah lebih utama dari amalan badan.Dengan kata lain, amalan batin lebih tinggi darjatnya dari amalan zahir.Ini adalah kerana :
1- Amalan zahir itu tidak akan diterima oleh Allah apabila tidak disertai dengan amalan batin yang merupakan unsur utama dalam semua amalan seorang hamba, iaitu Niat yang Ikhlas semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Seperti yang dijelaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud :
“Sesungguhnya (diterimanya) sesuatu amalan itu kerana niatnya….”
(Hadis Muttafaq Alayh drpd Umar Ibn Khattab r.a.)
Niat yang dimaksudkan hadis ini adalah niat yang sunyi dari sebarang kepentingan diri atau duniawi bahkan Allah tidak akan menerima sebarang amalan melainkan apabila ianya tulus ikhlas dan bersih kerana mengharap keredhaan-Nya semata.
Firman Allah Ta’ala : Maksudnya
“Walhal mereka tidak diperintah melainkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan ) agama dengan lurus..”
(Surah al-Bayyinah : 5 )
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :
“Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amalan hamba, melainkan apabila ianya diniatkan ikhlas untuk-Nya dan hanya mengharap keredhaan-Nya.”
( H.R. Imam al-Nasa’I dari Abu Umamah al-Bahili r.s. )
Hadis Qudsi, Allah berfirman maksudnya :
“Aku adalah Zat yang Maha Kaya dari segala jenis persekutuan: sesiapa yang melakukan sebuah amalan ,ia mempersekutukan-Ku dengan selain-Ku, maka akan daku biarkan dia dengan sesiapa yang menjadi sekutunya.”
( H.R. Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a. )
2- Hati merupakan intipati seorang insan dan ia merupakan peranan utama keatas kebaikan dan keburukan sikapnya. Di dalam kitab, Sahih al-Bukhari dan Muslim , Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Ketahuilah bahawa di dalam tubuh manusia ada seketul daging, apabila ianya baik, maka akan baiklah seluruh jasadnya : namun apabila ia rosak maka akan rosak binasalah seluruh jasadnya. Ketahuilah ketulan daging itu adalah hati.”
( H. Muttafaq Alayh drpd Numan Ibn al-Bashir r.a. )
“Sesungguhnya Allah tidak akan memandang kepada keelokan tubuh dan rupa kamu, tetapi Dia memandang kepada keelokan Hati kamu.”
(H.R.Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a. )
Al-Qur’anul Karim mengajarkan kepada kita bahawa : Keselamatan seseorang di akhirat serta kejayaannya mendapati ganjaran Syurga adalah kerana kesucian dan kebersihan hati dari syirik , nifaq dan semua jenis penyakit hati yang membinasakan aqidah dan keimanannya.
KETAKWAAN ITU BERADA DI SISI IAITU HATI
0 comments:
Post a Comment