..:: Cahaya Mata Hati ::..
Ketahuilah olehmu bahawasanya nafsu itu atas tiga bahagi iaitu
-Lawammah dan
-Amarrah dan
-Muthomainnah.
Maka nafsu Lawammah itu iaitu nafsu Haiwaniah(kebinatangan) yang mengekalkan bagi segala syahwat dan nafsu Amarrah itu iaitu nafsu Syathoniah(keiblisan) yang mengerasi atasnya kasih segala Mukholafat(sesuatu yang menyalahi perintah Allah) dan nafsu Muthomainnah iaitu nafsu Aqliyah(bersifat keruhhan) yang telah suci daripada segala kekeruhan; maka terangkatlah daripadanya segala hijab(sesuatu yang mendindingi)
Setengah ulama daripada golongan "ahli suluk" seperti yang tercatat dalam Kitab Sirras Salikin; mengkelaskan bahagian nafsu yang ada pada seseorang itu kepada 7 jenis iaitu;
-Ammarah
-Lawammah
-Mulhimmah
-Muthommainnah
-Rodhiah
-Mardhiah dan
-Kamaliah.
Nafsu itu kepada tiga bahagian sahaja. Nafsu Lawammah dikaitkan dengan sesuatu sifat jiwa manusia yang lebih banyak kecendurangannya kepada sifat-sifat untuk memenuhi keperluan lahiriah sahaja. Sama halnya dengan sifat-sifat binatang yang hanya memikirkan tentang makan, minum, jimak berenak-enak dan bersenang lenang dengan dunia sekelilingnya sahaja. Manusia seperti ini, tidak pernah memikirkan tentang alam lain dan keperluan-keperluan ruhaniah mereka malah mereka hanyut dengan kekalutan dunia yang fana ini.
Nafsu Amarrah pula dengan sesuatu sifat manusia yang dibayangi oleh feel kelakuan syaitan dan iblis yang sesat lagi menyesatkan. Keperihalannya adalah berkisar kepada penderhakaan kepada hukum dan perintah Allah serta RasulNya. Manusia jenis ini bertindak mengikut kerakusan nafsunya tanpa memperhitungkan soal halal haram, sah batal , wajib haramnya. Mereka sebenarnya adalah syaitan yang bertopengkan manusia. Angkuh sombong, perosak, penindas, pemfitnah, pentingkan diri dan kedudukan, dan lain-lainnya kemungkaran.
Nafsu Muthomainnah mengikut Tok Pulau Manis pula ialah merujuk lepada keperihalan satu golongan manusia mukmin yang Sholeh, yang telah dihidupkan ruhnya, yang dengan pancaran Nurnya dapat memberikan kesan dengan menerbitkan sifat dan peribadinya yang tinggi, yang dapat memandang ke alam tinggi, yang hidup cahaya mata hatinya untuk melihat sesuatu yang ghaib, mengenal sesuatu dengan rasa dan zauk,. Jiwa ini adalah jiwa yang telah bebas dari kurungan nafsu syahwat dan penjara kemanusian yang terbang bebas dengan sayap ruhnya yang bermakrifat ke alam yang haq dan hakiki. Dengan sebab itulah, maka Tok Pulau manis mendatangkan Kalam Hikmah yang seterusnya;.
Berkata Sheikh Ibni Athoillah As Kanddari RA. yang diterjemahkan;
"Maka cahaya mata hati itu iaitu Nurul Aqliyah yang menunjukkan kepada Iman yang memandangkan ia(Nurul Aqliyah) akan dikau akan hampirnya (Allah) daripadamu hingga engkau lihat bahawasanya Haq Taala itu terlebih hampir kepadamu daripada urat tengkuk. Maka tidalah sah bagi maksiat kerena engkau ketahui dengan kenyataan atasmu.".
0 comments:
Post a Comment