Friday, July 23, 2010

Cerita Angsa

“Macam tidak percaya. Angsa kita bertelur telur emas!” kata petani tua itu kepada isterinya.

Hidup mereka sudah lama dibelenggu kemiskinan.

Mendapat angsa bertelur emas, adalah sesuatu yang di luar bayangan. Dengan emas itu mereka mengubah keadaan hidup. Jika dahulunya rumah mereka menunggu masa menyembah bumi, kini sudah tegap mendukung langit.

Namun, perubahan yang berlaku agak perlahan.

Mengapa hanya seketul emas sehari?

Mengapa tidak lebih daripada itu?

Timbul rasa tamak di hati petani itu dan isterinya. Tamak yang akhirnya membutakan pandangan dan fikiran. Mereka berdua membunuh angsa itu. Perutnya dibelah dengan harapan lebih banyak emas boleh dikorek keluar. Namun apa yang ada, adalah apa yang biasa ada di dalam perut seekor angsa. Tiada lagi emas, kerana angsa sudah tiada!

Kisah itu merupakan hikayat Aesop yang terkenal. Ia amat simbolik pada mengungkapkan akibat sifat tamak.

Akan tetapi, kisah tersebut boleh menjadi lebih tragis, kalau angsa itu membunuh diri. Bukan dibunuh oleh ketamakan petani. Sebaliknya akibat kecuaian angsa menjaga diri. Angsa terabai, telur emas tinggal kenangan.

ANDA DAN SAYA ADALAH ANGSA ITU

Saya mengambil kisah angsa bertelur emas itu pada membayangkan keadaan diri.

Saya, dan kita semua adalah angsa itu. Angsa yang berbakat, berkemahiran, banyak yang boleh disumbangkan di tempat kerja, di tempat berniaga, di tempat berperanan, kepada seluruh umat. Sumbangannya pula bukan sebarang. Setiap kita adalah istimewa kerana telur emas kita didamba oleh sekalian manusia. Namun malang sekali kalau angsa itu didesak bertelur lebih daripada kemampuannya. Atau angsa itu membiarkan dirinya menjadi mangsa. Diperlakukan hingga mati, atau membiarkan sahaja dirinya mati.

Sungguh malang.

Bermuhasabahlah kita pada mengimbangkan seluruh aspek kehidupan ini. Jangan tamakkan satu manfaat hingga memejamkan mata kepada datangnya mudarat. Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna dan antara aspek kesempurnaan itu adalah pada mengagih-agihkan bahagian masa dan usia pada semua yang diperlukan manusia. Ia agama yang mengajar manusia hidup sebagai manusia.

KISAH HANZALAH

“Mengapa dengan kamu?”Abu Bakar bertanya.

“Hanzalah sudah jadi munafiq. Hanzalah sudah jadi munafiq. Hanzalah sudah jadi munafiq!” kata Hanzalah, penuh kesal.

Terkejut Abu Bakar mendengarnya.

“Mengapa kamu berkata begitu?” Abu Bakar meminta penjelasan.

“Semasa aku duduk di dalam majlis Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan mendengar tentang Syurga serta Neraka, iman aku meningkat kepada keadaan yang baik. Tetapi tatkala aku bekerja dan kembali kepada keluargaku, imanku terjejas dan menurun. Hanzalah sudah jadi munafiq!” cerita Hanzalah.

Keterangan itu menggusarkan Abu Bakar. Beliau juga merasainya.

Mereka berdua pergi bertemu dengan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan menceritakan kisah kebimbangan Hanzalah yang amat signifikan itu. Lalu Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:

“Demi Dia yang jiwaku berada di tangan-Nya, jika kamu sentiasa berada di tahap yang sama seperti ketika mana kamu bersama denganku dan semasa mengingati Allah, nescaya Malaikat akan berjabat tangan denganmu ketika kamu berhenti rehat atau berjalan! Akan tetapi, wahai Hanzalah, ada masa untuk ini dan ada masa untuk itu (Baginda mengulang menyebutnya tiga kali)” [Hadith riwayat Muslim]

Dalam bahasa yang lebih mudah, jika keadaan dirimu sentiasa baik seperti di dalam majlis ilmu dan ketika di luar majlis ilmu, nescaya Malaikat itu akan tabik spring dengan kamu! Hebatlah jika begitu. Namun ia menyalahi tabiat manusia. Iman itu pasang dan surut. Agama Islam, tidak pernah menafikan hal yang amat fitrah ini. Lalu Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menegaskan kenyataan berikut:

“ada masa untuk ini dan ada masa untuk itu…”

Masa bekerja, perlu bekerja. Masa mengaji, perlu mengaji. Masa sibuk, sibukkan diri. Masa berehat, perlu berehat.

REKREASI DIANGKAT JADI IBADAH

Semuanya diagih-agihkan mengikut keperluan yang seimbang dalam hidup manusia. Justeru aktiviti berehat, bersantai, beriadhah dan berekreasi, diangkat menjadi urusan agama.

كلُّ شيء ليس من ذكر الله فهو لغو ولهو إلا أربع خصال : مشي الرجل بين الغرضين ، وتأديبه فرسه ، وملاعبته أهله ، وتعليم السباحة

“Setiap sesuatu yang bukan zikrullah adalah tidak bermakna dan kelalaian, kecuali empat perkara: (1) Seorang laki-laki berjalan antara dua sasaran (untuk memanah). (2) Seorang yang melatih kudanya. (3) Bergurau senda seseorang dengan isterinya. (4) Belajar berenang.” (Riwayat Thabarani)

Rekreasi di luar dan di dalam rumah diangkat oleh Islam menjadi urusan agama. Biar pun tabiat empat perkara itu jauh daripada bayangan manusia tentang apa yang dinamakan sebagai zikrullah, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam memberikan penegasan bahawa aktiviti-aktiviti itu bukan sia-sia. Ada nilai yang penting di sisi Islam, ada manfaat yang besar kepada umat. Malah kemahiran-kemahiran yang terhasil daripada aktiviti berkenaan menjadi aset yang mesti dipelihara sebagai satu amanah.

Bayangkan!

Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah berkata:

مَنْ عَلِمَ الرَّمْيَ ثُمَّ تَرَكَهُ فَلَيْسَ مِنَّا -أَوْ قَدْ عَصَى

“Barangsiapa yang telah belajar memanah kemudian dia meninggalkan kemahirannya itu, maka dia bukanlah daripada kalangan kami – telah mendurhakai (kami) –” [Riwayat Muslim]

ADAKAN MASA

Jangan terus beralasan ketiadaan masa. Biar pun Kalendar Google saya sudah sendat, saya tidak berani untuk membayangkan (apatah lagi menyebutnya), bahawa saya lebih sibuk daripada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Namun, Baginda yang sibuk itu, dalam ketiadaan masa, mengadakannya.

Lumba lari Rasulullah sallalaahu ‘alayhi wa sallam bersama Aisyah radhiyallaahu ‘anha adalah contoh rekreasi yang dibuat semasa sibuk. Baginda dan Aisyah yang bersama di dalam sebuah misi menyuruh para sahabat bergerak dahulu dan membiarkan mereka berdua di belakang. Semasa itulah mereka berdua berprogram!

Baginda kreatif mengadakan masa untuk melakukan apa yang perlu dilakukan. Bukan sahaja untuk kesihatan tubuh, malah untuk kesihatan rumahtangga.

ANTARA RIADAH DAN BUDAYA SAMPINGAN

Akan tetapi, dalam keindahan Islam mengangkat rekreasi menjadi urusan agama, kita tidak harus lupa kepada tujuannya. Motif berekreasi mesti disemak dari semasa ke semasa. Rekreasi dan sukan selalu datang dengan budaya. Sukannya digalakkan. Budayanya mesti disaring dengan orientasi tujuan dan hukum Tuhan.

“Kuda itu ada tiga macam: kuda Allah, kuda manusia dan kuda syaitan. Adapun kuda Allah ialah kuda yang disediakan untuk berperang di jalan Allah, maka makanannya, kotorannya, kencingnya dan apanya saja – mempunyai beberapa kebaikan. Ada pun kuda syaitan, iaitu kuda yang dipakai untuk berjudi atau untuk dibuat pertaruhan, dan ada pun kuda manusia, iaitu kuda yang diikat oleh manusia, ia mengharapkan perutnya (hasilnya), sebagai usaha untuk menutupi keperluannnya. “ [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Menunggang kuda sangat dianjurkan oleh Islam. Tetapi judi yang menjadi budaya di sekitar menunggang kuda itu ditolak oleh Islam. Sama jugalah dengan sukan-sukan yang lain. Bermain bola itu bagus untuk kerjasama, fokus, kesihatan tubuh dan kecergasan diri. Tetapi judi yang mengiringinya, sentimen ketaksuban pasukan, malah imej-imej pengiklanan penaja berbentuk arak dan loteri, semua itu amat dicela oleh Islam. Muslim mesti mampu menyaring di antara sukan sebagai rekreasi dengan budaya-budaya sekitar sukan yang membinasakan.

Atas sebab yang sama, Syaikh Madun Rashid di dalam kitabnya Qadhayaa al-Lahwi wa al-Tarfih (Isu-isu Hiburan dan Masa Lapang) menyebut, “golf pernah diharamkan di Scotland pada tahun 1457M kerana ia menyebabkan rakyat malas berlatih kuda dan memanah dan secara umumnya tidak memberi manfaat kepada negara” Bukan golf itu yang tercela, tetapi tatkala sukan tersasar daripada matlamat yang murni, ia menjadi suatu kecelaan yang ditegah agama.

Berehat, bersantai, bersukan, semua dengan tujuan.

SELAMATKAN ANGSA

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentu berasa sedih jika umatnya dilihat ramai memenuhi klinik Endokrin dan Kardiologi di hospital. Justeru marilah kita bersama-sama berusaha hidup seimbang dan menjadi mukmin yang dikasihi Allah Subhanahu wa Ta’aala.

(المؤمن القوي خير وأحب إلى الله من المؤمن الضعيف، وفي كلٍّ خير. (صحيح مسلم، كتاب القدرة، باب في الامر قوة

“Seorang Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai Allah berbanding dengan seorang Mukmin yang lemah. Pada setiap seorang daripada kedua-duanya ada kebaikan (selagi beliau seorang Mukmin)” [Sahih Muslim]

Masyarakat, AJK Masjid dan para penganjur semua, jangan bunuh angsa telur emas anda.

Angsa, jangan bunuh diri!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

0 comments:

Senarai Kitab-Kitab

1.Nasihat Agama Dan Wasiat Iman - Imam Habib Abdullah Alwi Al-Haddad dan diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait.

2.Dakwah Yang Sempurna Dan Peringatan Yang Utama - Imam Habib Abdullah Alwi Al-Hadad dan diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait.

3.Petunjuk Thariqat Ke Jalan Akhirat - Imam Al-Haddad diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait.

4.Peringatan Tentang Umur Insan - Imam Al-Haddad diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait.

5.Petunjuk Jalan Thariqat” - Imam Al Haddad dan diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait.

6.Ar-Risalah karya Imam al-Qusyairi

7.Az Zubad karya tulis Syeikh Ibnu Ruslan

8.Al Minhaaj karya tulis Imam Nawawi

9.Awarifu al-Ma’arif karya tulis Imam al-Saharwurdi

10.Iljamul 'awam oleh AL Imam Ghazali.

11.Irsyadul Anam Fi Tarjamati Arkanil Islam oleh Al Habib Usman bin Abdullah bin ‘Aqil bin Yahya Al Alawi Al Husaini.

12.Keutamaan Keluarga Rasulullah saw oleh K.H Abdullah bin Nuh

13.Perhiasan Bagus oleh Al Habib Usman bin Abdullah bin ‘Aqil bin Yahya Al Alawi Al Husaini.

14.Thariqah Bani Alawi oleh Habib Novel bin Muhammad Al Idrus.

15.Riyaadhus Shaalihiin karya Imam Muhyiddin Abu Zakaria an-Nawawi.

16.Jalan Nan Lurus : Sekilas Pandang Tarekat Bani 'Alawi oleh Ustaz Novel @ Naufal bin Muhammad al-'Aydru.



Sajak Pemilik Diri

Ya Tuhan pemilik kekuasaan
Memberi kekuasaan menganugerah kejayaan
Memuliakan hamba dengan keimanan
Di tanganMu segala kebaikan dan kekayaan

Engkau menabir siang dan malam
Menerbitkan yang hidup dari yang mati
Kembangkan Lembayung rahmatMu
Kepada kami insan yang memerlukan

Ya Tuhan tautkan hati kami dengan kemanisan iman
Kekalkan kemesraan dalam kehidupan
Jalinkan ukhuwah sesama insan
Lapangkan hati kami dengan limpah keyakinan

Ya Tuhan dengarlah rintihan hambaMu
Berserah jiwa dan raga untukMu
Demi agama, bangsa dan UmatMu
Kuatkan, tabahkan hati menyanjung syariatMu


Mujahid Setia

Bangkitlah mujahid bangkitlah

Rapatkan barisan rapatkan

Hayunkanlah langkah perjuangan

Mati syahid atau hidup mulia



Siapkan dirimu siapkan

Gentarkan musuhmu gentarkan

Takkan pernah usai pertarungan

Hingga ajalkan menjelang



Henyakkan rasa takut dan gentar

Walau ragakan meregang nyawa

Kerna Allah telah janjikan syurga

Untukmu MUJAHID SETIA

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP