Tuesday, July 19, 2011

nak kahwin pun ada roadblock juga? - gambar google -

” Aku tak faham kenapa bapak aku berkeras sangat tak nak bagi aku kahwin. Sekarang ni zaman fitnah. Kan lagi bagus kalau kahwin cepat, selamat dari maksiat.. ini asyik suruh belajar..belajar dulu..aku fed up! “


Keluhan yang sering keluar dari mulut si anak muda.

Setelah lama berpencak di medan ilmu, sedikit sebanyak kefahaman agama yang meresap, mencetus suatu tekad dan keazaman untuk segera mendirikan masjid. Ditambah dengan keadaan masyarakat hari ini yang begitu kuat budaya bercouple, pergaulan bebas dan kes-kes zina yang kian parah , menjadikan mereka semakin dihambat keinginan untuk segera berumahtangga.

Mereka anak-anak muda yang baik. Tidak ada masalah sosial, tidak ada masalah bercinta, dan tidak ada masalah dalam pelajaran. Bahkan sebahagian besar daripada mereka terlibat secara aktif dengan persatuan pelajar, aktiviti-aktiviti agama, kerohanian dan sebagainya.

Mereka adalah sebilangan besar daripada para pendakwah muda.

Di mata masyarakat, mereka adalah permata. Nilaian yang tinggi. Lebih-lebih lagilah di mata ibu bapa mereka sendiri. Hati ibu bapa mana yang tidak bangga melihat anak mereka sudah menjadi seorang pemuda yang berguna dan boleh diharap.

Tiba-tiba, mereka menyuarakan hasrat untuk berkahwin.

Mereka bercakap tentang nikah. Di saat ibu bapa mula berangan-angan untuk meletakkan impian dan harapan yang lebih besar di atas bahu mereka. Pada ibu bapa, nikah adalah proses yang masih jauh dari mereka. Lantas, hasrat dan keinginan yang disuarakan oleh anak-anak muda ini ditolak.

Pada anak muda pula, inilah halangan terbesar yang perlu mereka hadapi bagi meneruskan cita-cita mahu berkahwin.


‘ROADBLOCK’

Suatu perkara yang perlu kita fahami apabila berdepan dengan isu ini adalah ; tidak ada mana-mana pihak yang harus kita persalahkan, atau kita bebankan dengan semua kesalahan. Baik di pihak ibu bapa, mahupun si anak. Si anak muda yang tiba-tiba meminta perkahwinan daripada ibu bapanya tidak harus dipersalahkan, kerana sudah tentu dia mempunyai sebab musabab dan alasan yang tersendiri.

Begitu juga dengan ibu bapa. Mereka lebih-lebih lagi mempunyai sebab musabab mereka yang tersendiri.

Sudah tentu, topik ini suatu topik yang panjang untuk dihurai. Ia bersifat subjektif. Amat bergantung kepada situasi sesebuah keadaan. Maka di sini saya tidak bercadang untuk menulis tentang siapa yang salah dan siapa yang betul.

Cuma mungkin lebih menarik jika kita bincangkan apakah tindakan-tindakan yang sepatutnya diambil oleh anak-anak muda ketika berdepan dengan sekatan tersebut?


IBU BAPA

Ibu bapa yang menyekat atau menghalang hasrat anak-anak mereka yang mahu berkahwin sebenarnya bertitiktolak dari banyak faktor. Faktor yang agak sukar untuk dibincangkan adalah faktor sikap dan kefahaman. Umpamanya golongan ibu bapa yang masih berfahaman bahawa anak-anak mereka hanya boleh berkahwin apabila menghampiri usia 30 tahun, atau apabila sudah mempunyai pekerjaan. Ini mentaliti yang sukar diubah. Begitu juga dengan golongan ibu bapa yang bersikap ‘lunak’ dengan soal keruntuhan akhlak anak-anak mereka, yang terlibat dengan budaya couple dan keluar berdua, tetapi bersikap keras apabila mereka mahu mendirikan rumahtangga.

Kita tinggalkan faktor itu, dan kita ambil faktor-faktor lain yang banyak juga menjadi penyebab sesetengah golongan ibu bapa untuk tidak membenarkan anak-anak mereka berkahwin.

Antaranya?

1- Faktor usia

2- Faktor kematangan

3- Faktor masih belajar

4- Faktor kewangan / ekonomi

Kesemua faktor di atas kalau diperhatikan, sebenarnya boleh saja diatasi. Asalkan kita bersedia untuk bertindak secara rasional, teliti dan teratur.


” SAYA NAK KAHWIN “

Apabila dialog seperti ini keluar dari mulut si anak, sebenarnya bukan semua ibu bapa akan terus menghalang. Kita harus percaya bahawa golongan ibu bapa ini lebih dahulu makan garam. Pengalaman mereka amat berbeza berbanding kita. Justeru, sebahagian besar dari mereka tidak mudah melatah apabila dialog begini keluar dari mulut anak muda mereka.

Soalnya adalah, bagaimana ketahanan dan kesungguhan anda dalam menyuarakan hasrat tersebut?

Ibu bapa akan menilai. Si anak hanya mahu bermain-main, atau terikut-ikut dengan segelintir kawan-kawan yang sudah berkahwin, kurang serius , atau benar-benar bertekad.

Dan janganlah kita berharap supaya hasrat kita akan terus diterima. Anggap sajalah kita berdepan dengan suatu sekatan jalanraya. Perlukan pemeriksaan. Andaikata kita tidak melakukan apa-apa yang salah, maka tidak ada sebab kita perlu mengelak dari sekatan jalanraya tersebut. Itu analoginya.

Maka kebiasaannya, ibu bapa akan menjawab begini ; ‘ habiskan belajar dulu. Jangan fikirkan lagi tentang kahwin..’

Ibu pula biasanya akan berusaha memujuk dengan lebih lembut. Katanya ; ‘ belajar dulu sampai habis..dah grad nanti, ada kerja..ibu akan carikan yang cantik..yang baik-baik untuk dijadikan isteri..’

Semua ini adalah rintangan awal yang kebiasaanya akan dihadapi apabila anda menyuarakan hasrat untuk berkahwin.

Jadi apa yang perlu anda buat?


STRATEGI

Ibu bapa bermain dengan strategi, maka anda juga perlu bijak menyusun strategi. Apabila disuarakan kali pertama, dan ibu bapa nampaknya tidak bersetuju, atau dengan mudah-mudah menolak, maka anda jangan panik. Jangan mudah melatah. Jangan tunjukkan yang anda tidak berpuas hati atau memprotes.

Ini kerana ibu bapa, khususnya bapa, akan menilai segala reaksi dan tindak tanduk anda.

Mereka akan menilai dengan lebih teliti, adakah benar-benar anak mereka ini sudah matang dan bersedia untuk menjaga anak orang? Ini persoalannya.

Maka kalau anda menunjukkan sikap melatah, ‘merajuk’, bersikap keras kepala, mengenepikan perasaan hormat dan sebagainya, maka mereka akan menilai bahawa anda belum layak untuk sampai ke peringkat tersebut.

Anda masih di tahap ‘hendak’ semata-mata. Tetapi tidak ada tekad.

Jadi sebaiknya anda bersikap tenang saja.

Itu strategi.

Kalau masih berada di universiti, kembali ke universiti dengan tenang. Tunggu cuti yang seterusnya. Disamping itu, rutin yang biasa anda lakukan dengan ibu bapa jangan dihentikan. Kalau selalu menelefon bertanya khabar, teruskan. Kalau selalu menolong ibu atau bapa melakukan kerja, teruskan. Kalau selalu bersembang dengan mereka, teruskan semuanya seperti biasa. Seolah-olah ‘bantahan’ awal dari ibu bapa terhadap hasrat anda untuk berkahwin, tidak memberikan kesan yang besar pun kepada anda.

Berusaha sedaya upaya untuk tunjukkan yang anda sudah pun matang. Bukan lagi budak kecil yang mudah menarik rajuk.


SETERUSNYA

Datang cuti yang berikutnya, atau datang peluang yang lain, mungkin selang beberapa bulan, suarakan lagi hasrat yang sama. Kali ini, jangan suarakan dengan bentuk ‘kehendak’ semata-mata. Sebaliknya ‘bentangkan’ serba sedikit planning atau perancangan jangka panjang yang anda susun untuk masa depan anda.

Katakan sekarang anda sedang menuntut di tahun 2 atau tahun 3. Kalau anda berkahwin pada tahun ini sekalipun, anda ada perancangan yang teratur dari sudut pembelajaran dan ekonomi. Cuba sedaya upaya untuk nampakkan kepada kedua ibu bapa bahawa perancangan anda adalah relevan. Tunjukkan bahawa anda jelas dengan apa yang anda mahu buat.

Tetapi ingat.

Kesemua itu perlu terus berjalan dalam suasana yang rasional, teliti dan matang. Dari situ, sekali lagi anda perlu bersedia untuk berdepan dengan ‘bantahan’, penolakan ataupun cabaran. Jangan mudah berputus asa, sebaliknya ambillah kesemua reaksi atau respon itu sebagai suatu perkara yang positif kepada anda.


KESIMPULAN

Sebenarnya dalam banyak-banyak keadaan, ibu bapa bukanlah tidak mengenali anak mereka orang yang macam mana. Mereka kenal sangat dengan anak mereka. Kalau hobinya cuma bermain game, masih suka minta duit dan bergantung dengan ibu bapa, mana mungkin hasrat mereka untuk berkahwin awal diterima mudah-mudah. Itu tanggungjawab ibu bapa demi kebaikan anak mereka juga. Mereka tahu, anak mereka belum bersedia.

Tetapi dalam keadaan yang lain, ibu bapa bukan tidak tahu anak mereka jenis yang sudah matang, berkepimpinan, pandai berdikari dan sebagainya. Cuma mereka mungkin mahu menguji. Hanya sebagai satu ujian akhir sebelum mereka bersedia melepaskan anak mereka ke alam rumahtangga.

Maka jangan mudah bersangka buruk jika ibu bapa anda menghalang atau membantah hasrat anda untuk berkahwin.

Sekali, dua kali memanglah mereka akan menghalang. Tetapi jika berkali-kali disuarakan dengan tertib dan rasional, insyaAllah, mereka akan terbuka untuk menerima.

Apa yang lebih penting, jangan tinggalkan doa.

Mohonlah pada Allah supaya dilembutkan hati kedua ibu bapa anda seterusnya memudahkan hasrat murni anda terlaksana.

Semoga entri ini dapat sedikit sebanyak memberi pencerahan kepada saudara-saudara kita yang sedang berdepan dengan masalah ‘roadblock‘ dari ibu bapa. Be positive!


Sekian.

Senarai Kitab-Kitab

1.Nasihat Agama Dan Wasiat Iman - Imam Habib Abdullah Alwi Al-Haddad dan diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait.

2.Dakwah Yang Sempurna Dan Peringatan Yang Utama - Imam Habib Abdullah Alwi Al-Hadad dan diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait.

3.Petunjuk Thariqat Ke Jalan Akhirat - Imam Al-Haddad diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait.

4.Peringatan Tentang Umur Insan - Imam Al-Haddad diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait.

5.Petunjuk Jalan Thariqat” - Imam Al Haddad dan diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait.

6.Ar-Risalah karya Imam al-Qusyairi

7.Az Zubad karya tulis Syeikh Ibnu Ruslan

8.Al Minhaaj karya tulis Imam Nawawi

9.Awarifu al-Ma’arif karya tulis Imam al-Saharwurdi

10.Iljamul 'awam oleh AL Imam Ghazali.

11.Irsyadul Anam Fi Tarjamati Arkanil Islam oleh Al Habib Usman bin Abdullah bin ‘Aqil bin Yahya Al Alawi Al Husaini.

12.Keutamaan Keluarga Rasulullah saw oleh K.H Abdullah bin Nuh

13.Perhiasan Bagus oleh Al Habib Usman bin Abdullah bin ‘Aqil bin Yahya Al Alawi Al Husaini.

14.Thariqah Bani Alawi oleh Habib Novel bin Muhammad Al Idrus.

15.Riyaadhus Shaalihiin karya Imam Muhyiddin Abu Zakaria an-Nawawi.

16.Jalan Nan Lurus : Sekilas Pandang Tarekat Bani 'Alawi oleh Ustaz Novel @ Naufal bin Muhammad al-'Aydru.



Sajak Pemilik Diri

Ya Tuhan pemilik kekuasaan
Memberi kekuasaan menganugerah kejayaan
Memuliakan hamba dengan keimanan
Di tanganMu segala kebaikan dan kekayaan

Engkau menabir siang dan malam
Menerbitkan yang hidup dari yang mati
Kembangkan Lembayung rahmatMu
Kepada kami insan yang memerlukan

Ya Tuhan tautkan hati kami dengan kemanisan iman
Kekalkan kemesraan dalam kehidupan
Jalinkan ukhuwah sesama insan
Lapangkan hati kami dengan limpah keyakinan

Ya Tuhan dengarlah rintihan hambaMu
Berserah jiwa dan raga untukMu
Demi agama, bangsa dan UmatMu
Kuatkan, tabahkan hati menyanjung syariatMu


Mujahid Setia

Bangkitlah mujahid bangkitlah

Rapatkan barisan rapatkan

Hayunkanlah langkah perjuangan

Mati syahid atau hidup mulia



Siapkan dirimu siapkan

Gentarkan musuhmu gentarkan

Takkan pernah usai pertarungan

Hingga ajalkan menjelang



Henyakkan rasa takut dan gentar

Walau ragakan meregang nyawa

Kerna Allah telah janjikan syurga

Untukmu MUJAHID SETIA

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP