Saturday, April 30, 2011

KELEMBUTAN ITU KEBAIKAN

Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud:

"Sesungguhnya Allah itu bersifat lemah lembut dan ia menyukai sifat lemah lembut. Dan Allah memberikan sesuatu dengan cara lemah lembut yang tidak diberikan dengan cara kekerasan, dan juga tidak diberikan sesuatu melainkan dengan cara lemah lembut."(Riwayat Muslim)

Sifat Lemah Lembut


1. Sifat lemah lembut adalah sifat yang disukai oleh Allah sebaliknya sifat kekerasan adalah sifat yang dibenci oleh Allah.

2. Kekerasan tidak akan dapat menyelesaikan masalah sama ada yang meliputi bidang alam rumahtangga perhubungan masyarakat dan sebagainya.

3. Umat Islam dituntut supaya bersifat lemah lembut dan bertolak ansur didalam perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa yang dikurniakan sifat lemah lembut nescaya ia akan memperolehi kebaikan dalam semua hal."(Riwayat Muslim)

1. Lemah-lembut adalah akhlak yang mulia yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada hamba-nya. Oleh itu orang yang memiliki sifat lemah lembut adalah orang yang sangat beruntung.

2. Melatih diri untuk dapat memiliki sifat mulia ini dapat dimulakan dengan menahan diri apabila marah dan mempertimbangkan baik buruknya sesuatu perkara sebelum bertindak.

3. Orang yang lemah lembut melambangkan orang yang sentiasa sabar dan tenang (tidak tergesa-gesa). Namun sifat lemah lembut ini lebih baik diseiringkan dengan ketegasan agar seseorang itu tidak mudah dipermainkan atau diperbodohkan oleh orang lain.

4. Rasullullah s.a.w adalah contoh orang yang paling lemah-lembut dan paling baik dalam pergaulan. Sesiapa yang melihat baginda dari jauh akan berasa gentar tetapi sesiapa yang bercampur atau bergaul dengan baginda tentu akan menyayangi baginda disebabkan oleh sikap lemah lembut baginda itu.


فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لاَنفَضُّواْ مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّهِ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.(Surah Ali-Imran 3: Ayat Ke 159)

Thursday, April 28, 2011

DIA BUKAN CINTA NOMBOR 1



Bayangkan setiap 15 minit berlaku perceraian … Begitulah rapuhnya rumah tangga umat Islam di Malaysia. Rumah tangga adalah benteng terakhir ummah, tempat bermulanya tapak generasi. Jika di situ sudah bermasaalah, di tempat lain tidak dapat dibayangkan lagi. Ada sahaja kisah suami yang curang, isteri yang beralih cinta. Kekadang anak telah dua, tiga dan empat… tetapi masih ingin memburu cinta. Ada yang memburu di alam nyata (menjejak semula kekasih lama atau terjumpa kekasih baru), ada yang memburu cinta di alam siber – bencinta lewat laman sosial internet yang serba maya.

Entah apa yang diburu oleh manusia ini… yang hidup di dunia tanpa menyedari hari kembalinya yang pasti ke akhirat. Di mana diletakkan Allah dalam peta cintanya sesama manusia. Suami yang ada dipersia, lelaki lain pula dicari sebagai ganti. Konon suaminya tidak bertanggung jawab, tidak romantik, tidak pandai membelai atau apa sahaja. Berikan nama yang buruk pada anjing dan bunuh saja! Begitu kata pepatah Inggeris. Apabila hati sudah berubah, segala kebaikan dahulu dilupakan. Ada pula, isteri yang di sisi sudah setia, perempuan baru pula diburu kononnya demi cinta sejati. Segala yang buruk-buruk dibongkar, dijadikan justifikasi untuk menghalalkan cinta baru yang digilai siang dan malam.

Manusia-manusia itu seperti kelkatu yang terbang menuju sumber cahaya. Sudah ramai yang terhantuk lalu jatuh bergelimpanagan di lantai… namun kelkatu yang lain masih terus terbang menuju tempat yang sama. Tidak pernah ada yang mengambil iktibar daripada korban-korban yang telah bergelimpangan. Maka begitulah suami atau isteri yang tertipu ini, memburu cinta bagaikan kelkatu memburu cahaya…

Percayalah, tujuanmu tidak akan tercapai, bahkan akan terjadi kebinasaan. Namun dia degil, dia pergi jua. Percayalah, tidak akan ada ketenangan dan kebahagiaan di atas kesusahan, kezaliman dan penindasan terhadap orang lain (apatah lagi yang dizalimi itu isteri atau suami atau anak-anak mu sendiri). Allah benci orang zalim! Dan kebencian itu sudah cukup untuk menyebabkan penderitaan seumur hidup.

Mengapa kau zalimi anak mu, isteri atau suami mu? Apakah dosa mereka terlalu besar hingga kau tidak sudi lagi memaafkan? Apakah kau tidak menyedari bahawa pasangan mu adalah cermin kepada diri mu sendiri? Maksudnya, siapa pasangan kita ditentukan juga oleh siapa kita yang sebenarnya? Dirimu dan pasanganmu saling mencorakkan. Ketika palitan hitam kau katakan ada pada wajahnya, sedarkah engkau bahawa kau juga yang pernah melakarkannya? Jadi, bertanggung jawablah. Jangan lari. Binalah semula rumah tangga mu… kerana cinta yang ada di tanganmu kini adalah nyata, manakala yang kau buru itu mungkin hanya fotomorgana.

Bagi suami atau isteri yang ditinggalkan… sedarkan dia. Doakan dia. Berusahalah sedaya mungkin untuk ‘mengembalikan’ dia kepada cinta yang nyata. Namun kalau dia berdegil, biarlah dia pergi. Hidupmu terlalu singkat untuk ‘dirosakkan’ oleh dia seorang. Ingat dia itu bukan cinta nombor 1!



Nombor 1 Allah. Nombor 2 Rasulullah. Nombor 3, suami). Itulah turutan cinta seorang wanita bernama isteri, (jika pada lelaki, nombor 3 itu ibu, no 4 itu apa, no 5 baru isteri). Agar tidak menderita, jagalah turutan cinta ini. Yang dahulu, wajar didahulukan. Yang kemudian, mesti dikemudiankan. Jangan disusun cinta itu begini… Nombor 1 suami. Nombor 2 suami. Nombor 3 pun suami. Ini tindakan yang bakal mengundang kecewa.

Jangan pinggirkan Allah kerana Dia yang mengurniakan rasa cinta. Jangan dilupakan Rasulullah kerana dia yang memberi panduan untuk bercinta. Ingat pesan Rasulullah melalui sabda Baginda dalam hadis riwayat al-Tirmizi yang bermaksud: “Jika aku hendak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang, tentulah aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya.”

“Jika” hanya “jika”. “Jika” akan kekal sebagai “jika”. Ia tidak pernah berlaku. Seorang wanita tidak boleh menyembah manusia lain sekalipun suaminya sendiri. Sebaiknya, cintailah suami dengan cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah kerana Allah. Itulah resepi untuk bahagia dalam bercinta!

Betapa ramai isteri yang kecewa akibat ditinggalkan suami yang dicintai. Sama ada dipisahkan oleh mati atau oleh sikap suami yang tidak mencintainya lagi. Bayangkan apabila segala-galanya untuk dan kerana suami, apabila suami tidak ada lagi, putus harapan dan berserabutlah fikiran. Ramai yang sudah menerima nasib begini… Bayangkan setiap 15 minit, berlaku satu perceraian. Siapakah yang menempuh gerbang perkahwinan dengan harapan untuk bercerai? Tidak mungkin ada!



Mukadimah Penentu Natijah

Perkahwinan dibina dengan harapan. Untuk mencapai harapan, tidak cukup dengan rasa cinta. Ia perlukan tanggungjawab. Kata bijak pandai, sesuatu akan berakhir mengikut bagaimana ia bermula. Mukadimah banyak menentukan natijah. Untuk mengekalkan cinta sampai ke hujung (hujungnya di syurga), mesti diperkukuh dari pangkalnya. Perkahwinan dimulakan dengan percintaan, tetapi disempurnakan dengan tanggungjawab. Dan sebaik-baik cinta ialah cinta yang didasarkan oleh tanggungjawab. Sebab itu ahli bijaksana mendefinisikan cinta sebagai “rasa ingin bertanggungjawab kepada seseorang”.

Janganlah hendaknya cinta dan rumah tangga dibina hanya sekadar untuk memenuhi kehendak fisiologi dan biologi. Itulah cinta yang diilhamkan oleh Tuhan untuk haiwan (demikian kata al-Farabi). Juga bukan untuk mengejar status sosial. Jika rumah tangga hanya dibina untuk makan minum, perlindungan (rumah), pengangkutan (kereta), berkelamin (seks), kawan (sosial), kesihatan dan penghargaan diri (ego), apa bezanya cinta kita dengan cinta haiwan. Itu cinta kelas kedua.

Jika itulah bentuk cinta kita, itu hanya cinta alat bukan matlamat. Cinta kelas kedua mesti dibawa kepada cinta kelas pertama. Pandang wajah suami kita, bolehkah dia membawa kita kepada cinta Allah? Renung mata isteri kita, apakah dia teman kita menuju Allah? Jika ya, alhamdulillah, syukur. Kita sudah berada di jalan yang betul. Maka melangkahlah dengan yakin walau terpaksa menempuh pelbagai kesusahan.

Jika belum, berusahalah, berdoalah… agar dia mampu juga. Jika tidak hari ini, esok. Jika tidak esok, lusa. Teruskan berusaha dan berdoa.



114 Ayat Cinta

Tidak kira di tahap manapun rumah tangga kita; di permulaan, pertengahan atau pengakhiran, marilah bermuhasabah. Apakah rumah tangga kita benar-benar diasaskan oleh cinta kelas pertama atau masih dibelenggu oleh cinta kelas kedua? Jika kelas pertama, syukurlah. Insya-Allah cinta itu akan kekal selama-lamanya. Bagaimana kita boleh memastikan bahawa rumah tangga kita benar-benar diasaskan kepada cinta ini?

Jawapannya mudah. Cuba nilai, apakah seluruh isi keluarga lalai atau taatkan perintah Allah? Bagaimana dengan solat kita dan anak-anak semua? Bagaimana dengan al-Quran? Sudahkah kedengaran suara kita (ayah ibu) dan anak-anak membaca al-Quran? Jangan jadikan rumah kita kuburan kerana Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa rumah yang penghuninya tidak membaca al-Quran umpama sebuah kubur!

Padahal semasa kita mula membinanya dahulu kita katakan membina masjid. Jika suami atau isteri payah hendak diajak membaca al-Quran, kenapa kita tidak memulakannya dahulu? Ironinya, kita kekadang lebih banyak menatap surat-surat lama pasangan kita semasa hangat bercinta dahulu, konon untuk memperbaharui rasa cinta. Malangnya, ramai yang mengalir air mata, sedih, sayu, pilu apabila mengenangkan kata-kata mesra dan rindu dahulu kini sudah tiada.

Mengapa menanti sesuatu yang tidak tiba? Mengapa merajuk pada yang tidak kasih? Tinggalkan dahulu surat cinta yang lama, carilah semula 114 surat cinta daripada Allah (al-Quran). Siapakah yang dapat menandingi kemesraan, kasih sayang dan cinta Allah buat hamba-Nya yang terpapar dalam 114 surah al-Quran? Bacalah ayat Manzil, al-Ma’thurat, Yasin, al-Mulk atau apa-apa sahaja. Sama ada yang diambil secara bersanad daripada guru-guru yang thiqah ilmunya ataupun sekadar diambil daripada kitab-kitab atau buku-buku yang dipercayai kesahihannya.

Jika tidak mampu baca banyak, bacalah sekadar satu muka surat atau paling lekeh sekadar lima ayat. Tetapi istiqamahkan amalan ini. Barulah syaitan akan kecut untuk menggoda hati ahli keluarga kita supaya terlibat maksiat. Atau mengacah-acah kita dengan prasangka sehingga sering berbalah walaupun dalam soal-soal yang kecil. Bayangkan hanya kerana hendak masak apa hari ini, berebut saluran televisyen atau hanya tersilap istilah atau cakap, sudah bergaduh sampai tinggi-tinggi suara atau pukul-memukul. Ini angkara siapa? Tentu syaitan.



Bentuk Cinta Kelas Pertama

Mengapa syaitan begitu berkeliaran dalam rumah kita? Kerana rumah kita jadi kuburan, bukan jadi masjid. Banyak perkara-perkara mungkar dalam rumah kita yang menyebabkan syaitan suka bertandang. Tapi ingat, syaitan bukan dihalau dengan membaca al-Quran sekali-sekala seperti yang kita lihat “Pak Ustaz” halau hantu dalam drama mistik dan tahyul. Tetapi syaitan dihalau dengan bacaan al-Quran berserta niat zikrullah, hendak diamalkan kehendaknya dan ditinggalkan larangannya.

Jika sekali-sekala terjadi pertembungan antara kehendak Allah dan kehendak isteri atau suami serta anak-anak, yang mana satu didahulukan? Jika didahulukan kehendak mereka, sah itu petanda cinta telah tersasar. Hakikatnya, inilah yang banyak berlaku dalam alam berumah tangga kini. Dan inilah punca mengapa ramai suami isteri berpisah sekalipun mereka saling mencintai. Berpisah bukan kerana mereka tidak cinta, tetapi cinta terpisah kerana mereka memisahkan cinta Allah.

Cinta yang meminggirkan cinta Allah adalah rendah mutunya dan tidak tahan uji. Cinta kelas kedua itu ialah cinta kelas bawahan. Apabila wajah kendur, cinta luntur. Apabila kemudaan hilang, sayang terus melayang. Sebaliknya cinta Allah mampu mengekalkan, malah boleh meningkat lagi rasa cinta walaupun perubahan fizikal berlaku kerana tapak cinta itu di hati, bukan di mata. Cinta di mata boleh dipisahkan oleh jarak dan usia tetapi cinta di hati tidak ada sesiapa yang mampu menjarakkannya, apatah lagi memisahkannya!

Cinta yang dibina atas dasar cinta Allah akan menjadikan perkahwinan sebagai taman atau kebun percintaan. Mungkin sekali-sekala bergolak juga, tetapi atas dasar ibadah dan tanggungjawab, cinta dapat dibina semula… terbentur tetapi tidak patah. Genting tetapi tidak putus. Justeru bajailah cinta itu selalu dengan solat, zikir, membaca al-Quran dan sedekah.

Marilah kita saling berpesan demi kebenaran dan kesabaran… jangan membina cinta di dalam kuburan!

http://genta-rasa.com/2011/04/11/dia-bukan-cinta-nombor-1/

Saturday, April 23, 2011

SAIDINA ALI PAKAR MATEMATIK


Saidina Ali digelar gedung ilmu oleh Rasulullah SAW. Bukan sahaja beliau bijak dalam permasalahan agama namun ramai diantara kita yang tidak tahu bahawa beliau juga merupakan seorang pakar matematik.

Kisah Pertama

Pernah seorang Yahudi yang berniat ingin memalukan Saidina Ali di hadapan orang-orang Arab bertanya kepadanya satu soalan.

"Wahai Imam Ali, berikan aku satu nombor bulat yang apabila dibahagi dengan nombor satu hingga sepuluh, jawapannya akan tetap nombor bulat dan bukan nombor pecahan," tanya lelaki Yahudi itu.

Saidina Ali menjawab, "Hitunglah bilangan hari dalam seminggu didarab dengan bilangan hari dalam setahun."

Yahudi itu pun mengira.

Kemudian, Yahudi itu menemukan hasilnya sebagai berikut:

- Jumlah hari dalam 1 Tahun = 360 (kalender Arab)
- Jumlah hari dalam 1 Minggu = 7
- Hasil darab dua angka diatas = 360×7 = 2520

Sekarang buktinya ...

2520 ÷ 1 = 2520
2520 ÷ 2 = 1260
2520 ÷ 3 = 840
2520 ÷ 4 = 630
2520 ÷ 5 = 504
2520 ÷ 6 = 420
2520 ÷ 7 = 360
2520 ÷ 8 = 315
2520 ÷ 9 = 280
2520 ÷ 10 = 252

Kisah Kedua

Dua pengembara sedang duduk bersama-sama untuk menikmati hidangan roti. Pengembara pertama mempunyai 5 keping roti dan pengembara kedua mempunyai 3 keping roti.

Kemudian datang seorang pengembara lagi, lalu diajaklah pengembara itu untuk makan bersama. Maka seorang pengembara memotong setiap keping roti kepada 3 bahagian yang sama besar (8×3=24). Oleh itu, seorang pengembara dapat menjamah 8 potongan roti (24/3=8).

Selesai menikmati hidangan roti tadi, pengembara ketiga itu meninggalkan mereka dan memberikan 8 dirham.

Pengembara pertama ingin membahagikan 8 dirham itu. Memandangkan dia tadi berkongsi 5 keping roti, maka dia mengambil 5 dirham dan bakinya 3 dirham lagi diberikan kepada pengembara kedua yang berkongsi 3 keping roti.

Tetapi, pengembara kedua tidak berpuas hati. Baginya, sepatutnya 8 dirham itu dibahagi dua antara mereka. 4 dirham seorang. Lalu mereka pun bertengkar.

Akhirnya, masalah ini dibawa ke hadapan Saidina Ali. Saidina Ali menyuruh pengembara kedua menerima pembahagian yang dilakukan oleh pengembara pertama kerana sememangnya pengembara pertama lebih berhak mendapat lebih disebabkan dia berkongsi bilangan kepingan roti yang lebih. Namun pengembara kedua masih tidak mahu mengalah.

Maka setelah itu, Saidina Ali pun berkata, "Sepatutnya anda hanya berhak mendapat satu dirham sahaja. 5 keping roti pengembara pertama dicampur 3 roti kamu menjadi 8.

Kemudian anda potong setiap roti kepada 3 bahagian. Maka ada 24 keping roti (8×3). Jadi 3 roti anda bila dipotong tiga setiap satu menjadi 9 bahagian, dan anda telah makan 8 bahagian. Lebih satu bahagian sahaja yang anda kongsi dengan pengembara ketiga.

Tetapi pengembara pertama, 5 rotinya dipotong tiga setiap satu menjadi 15 bahagian, dan dia telah makan 8 bahagian. Bakinya 7 bahagian lagi dikongsi dengan pengembara ketiga itu.

Jadi sepatutnya pengembara pertama harus mendapat 7 dirham dan anda hanya patut mendapat 1 dirham sahaja."

Kisah Ketiga

Sebelum meninggal, seseorang telah membuat wasiat:

"Saya ada 17 ekor unta. Jika saya meninggal dunia, bahagilah unta-unta itu antara 3 orang anak saya. Anak sulung saya, berilah dia 1/2 daripada bilangan unta saya. Anak kedua pula, beri dia 1/3 daripada bilangan unta saya. Anak ketiga saya, berilah dia 1/9 daripada bilangan unta saya."

Setelah beberapa ketika, si pembuat wasiat itu pun meninggal dan apabila anak-anaknya membaca wasiat yang ditinggalkan, mereka menjadi bingung. Macam mana nak bahagi 17 ekor unta tadi. Maka mereka pun berjumpa dengan Saidina Ali.

Saidina Ali setelah meneliti isi kandungan wasiat, berkata:

"Aku akan pinjamkan kamu seekor unta saya. Maka bilangan unta sekarang ada 18 ekor.

-Anak sulung dapat 1/2 daripada 18 ekor unta = 9 ekor
-Anak kedua dapat 1/3 daripada 18 ekor unta = 6 ekor
-Anak ketiga dapat 1/9 daripada 18 ekor unta = 2 ekor (9+6+2=17)

Dan sekarang aku ambil balik unta aku."

- Artikel iLuvislam.com

TIP-TIP PEMIMPIN: MELAKSANAKAN APA YANG DIPERKATAKAN

ALLAH berkata, "Patutkah kamu menyuruh manusia melakukan amalan baik, sedangkan kamu lupa diri kamu sendiri. padahal kamu semua membaca kitab ALLAH. Tidakkah kamu berakal?"
(SURAH AL-BAQARAH AYAT 44)

ALLAH berkata lagi, "Wahai orang yang beriman, kenapa kamu tidak lakukan apa yang engkau katakan? Sesungguhnya amat besar kebencian ALLAH apabila kamu berkata apa yang kamu tidak lakukan." (SURAH AS-SAFF AYAT 2-3)

ALLAH menjelaskan kenyataan Nabi Syuaib, "Patutkah saya berdiam diri daripada melarang kamu, sedangkan saya tidak mahu lakukan sesuatu yang saya larang kamu laukakannnya?" (SURAH HUD AYAT 88)

Abu Zaud atau nama sebenarnya, Usmah bin Zaid bin Harithah berkata, "Saya mendengar Nabi Muhammad berkata, 'Pada Hari Kiamat, datang seorang lelaki kemudian dicampakkan ke dalam neraka, lalu terkeluar ususnya. Terus dia berputar-putar pada ususnya sebagaimana keldai berputar mengelilingi lesung pengisar. Penghuni-penghuni neraka berkumpul di sekelilingnya dan bertnya, "kenapa dengan kamu? bukankah dahulu kamu suka menggalakkan orang berbuat baik dan melarang mereka berbuat jahat? lelaki itu menjawab, 'benar, saya dahulu menggalakkan orang berbuat baik, tetapi saya sendiri tidak melakukannnya dan saya melarang orang berbuat jahat, tetapi saya sendiri melakukannya." (HADITH BUKHARI DAN MUSLIM)

Senarai Kitab-Kitab

1.Nasihat Agama Dan Wasiat Iman - Imam Habib Abdullah Alwi Al-Haddad dan diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait.

2.Dakwah Yang Sempurna Dan Peringatan Yang Utama - Imam Habib Abdullah Alwi Al-Hadad dan diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait.

3.Petunjuk Thariqat Ke Jalan Akhirat - Imam Al-Haddad diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait.

4.Peringatan Tentang Umur Insan - Imam Al-Haddad diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait.

5.Petunjuk Jalan Thariqat” - Imam Al Haddad dan diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait.

6.Ar-Risalah karya Imam al-Qusyairi

7.Az Zubad karya tulis Syeikh Ibnu Ruslan

8.Al Minhaaj karya tulis Imam Nawawi

9.Awarifu al-Ma’arif karya tulis Imam al-Saharwurdi

10.Iljamul 'awam oleh AL Imam Ghazali.

11.Irsyadul Anam Fi Tarjamati Arkanil Islam oleh Al Habib Usman bin Abdullah bin ‘Aqil bin Yahya Al Alawi Al Husaini.

12.Keutamaan Keluarga Rasulullah saw oleh K.H Abdullah bin Nuh

13.Perhiasan Bagus oleh Al Habib Usman bin Abdullah bin ‘Aqil bin Yahya Al Alawi Al Husaini.

14.Thariqah Bani Alawi oleh Habib Novel bin Muhammad Al Idrus.

15.Riyaadhus Shaalihiin karya Imam Muhyiddin Abu Zakaria an-Nawawi.

16.Jalan Nan Lurus : Sekilas Pandang Tarekat Bani 'Alawi oleh Ustaz Novel @ Naufal bin Muhammad al-'Aydru.



Sajak Pemilik Diri

Ya Tuhan pemilik kekuasaan
Memberi kekuasaan menganugerah kejayaan
Memuliakan hamba dengan keimanan
Di tanganMu segala kebaikan dan kekayaan

Engkau menabir siang dan malam
Menerbitkan yang hidup dari yang mati
Kembangkan Lembayung rahmatMu
Kepada kami insan yang memerlukan

Ya Tuhan tautkan hati kami dengan kemanisan iman
Kekalkan kemesraan dalam kehidupan
Jalinkan ukhuwah sesama insan
Lapangkan hati kami dengan limpah keyakinan

Ya Tuhan dengarlah rintihan hambaMu
Berserah jiwa dan raga untukMu
Demi agama, bangsa dan UmatMu
Kuatkan, tabahkan hati menyanjung syariatMu


Mujahid Setia

Bangkitlah mujahid bangkitlah

Rapatkan barisan rapatkan

Hayunkanlah langkah perjuangan

Mati syahid atau hidup mulia



Siapkan dirimu siapkan

Gentarkan musuhmu gentarkan

Takkan pernah usai pertarungan

Hingga ajalkan menjelang



Henyakkan rasa takut dan gentar

Walau ragakan meregang nyawa

Kerna Allah telah janjikan syurga

Untukmu MUJAHID SETIA

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP