Monday, June 28, 2010

..:: REJAB ::..

Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan dan ia membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan. Masyarakat Jahiliyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab kerana mereka memulia dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan berperang di dalamnya. Dan Rasulullah SAW mengekalkan nama ini dan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Dan bagi umat Islam, kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah SAW iaitu peristiwa Isra' dan Mi'raj.



Peritiwa Penting



1.Hijrah Pertama Hijrah ke Habsyah (Ethiopia)
Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA dan istrinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

2. Isra' dan Mi'raj
Isra'dan Mi'raj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmuqaddis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT. Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama mengatakan pada 27 RabiulAkhir; sebahagian ulama mengatakan pada 17 RabiulAwal; sebahagian ulama mengatakan 29 Ramadhan; sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada tanggal-tanggal selain dari yang tersebut.

Menurut Chalil, 1999 sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, ada setengah ulama mengatakan pada malam tanggal 7 RabiulAwal. Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab, sekalipun tidak dengan alasan yang kuat.

Tahun berlakunya juga terdapat perselisihan pendapat ulama, ada sebahagian yang mengatakan pada tahun ke 5 dari Bi'tsah (tahun mula diutusnya peribadi Nabi), sebahagiannya berpendapat pada tahun ke 12 dari Bi'tsah; sebahagiannya berpendapat pada tahun sebelum Nabi hijrah ke Thaif, sebahagian berpendapat pada tahun ketiga sebelum hijrah Nabi S.A.W ke Madinah dan ada yang sebahagiannya pula berpendapat lain dari semuanya itu. Bagaimanapun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah mencatatkan dalam kitabnya "At-Tobaqatil Qubra", bahawa berlaku israk mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi S.A.W. hijrah ke Madinah dalam satu peristiwa yang amat bersejarah itu.(Tazkirah, Pusat Zakat N. Sembilan)

3. Perang Tabuk
Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran.

4. Pembebasan Baitul-Muqaddis
Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan uamat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5. Lahirnya Imam Syafie RH.
Nama sebenar Imam Syafie RH ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Diantara peninggalan imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm.


Amalan

Tiada amalan khusus untuk bulan Rejab yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW yang dijumpai di dalam mana-mana hadis shahih. Penulis berpendapat ada hikmahnya kenapa Allah SWT, Rasulullah SAW dan para sahabat RA tidak memberitahu tarikh dan tahun berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj. Rasulullah SAW tidak mahu umatnya menetapkan ibadat-ibadat tertentu di bulan Rejab khasnya pada hari dan malam berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj itu.

Ini untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang diada-adakan (bid'ah) dan perbuatan membeza-bezakan kemuliaan satu-satu bulan. Namun begitu ada pendapat yang meriwayatkan tentang amalan-amalan sunat tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah Rejab. Pendapat ini adalah bersandar kepada hadis-hadis lemah.

Terlalu banyak amalan-amalan sunat yang umum yang masih kita belum berkesempatan untuk mengamalkannya boleh kita praktikkan di bulan Rejab ini sebagai persediaan kita menjelang Ramadhan al-Mubarak. Diantaranya solat malam, qiamul-lail, puasa Isnin dan Khamis, tadarrus al-Qur'an dan lain-lain lagi. Di sini penulis ingin menyarankan agar pada akhir bulan Jamadilakhir khasnya pada 29 Jamadilakhir, kita bolehlah melatih mata kita untuk menjejaki hilal. Proses melatih mata untuk merukyah hilal boleh dimulakan 20 minit sebelum Maghrib sehinggalah 20 minit selepas maghrib dengan memerhatikan ufuk Barat sekitar tempat matahari terbenam. Ini boleh dilakukan dengan mata kasar tanpa menggunakan sebarang alat kecuali untuk melihat matahari perlukan penapis (solar filter).

Bagi mereka yang mempunyai teleskop atau teodolite ataupun binocular, inilah masanya untuk menguji peralatan dan kemahiran masing-masing agar pada hari cerapan hilal Sya'ban, Ramadhan dan Syawal kita tidak menghadapi masaalah dalam melakukan cerapan hilal. Dan sebenarnya Rasulullah SAW sendiri amat mengambil berat tentang kedudukan bulan pada setiap akhir bulan khasnya apabila menjelangnya bulan Rejab dan bulan-bulan seterusnya.

Sumber Disediakan oleh;
Bahagian Falak dan Sumber Maklumat Jabatan Mufti Negeri Melaka

Wednesday, June 23, 2010

..:: Alhamdulillah Untuk Segala Nikmat ::..

Assalamu'alaikum....

Sekadar nak mencoret sedikit hari-hari yang berlalu. Alhamdulillah... sekarang ana sudah tamat belajar. Selamat 4 tahun menuntut ilmu secara formal di UPSI, banyak yang telah ana pelajari. Bukan sekadar ilmu di bilik-bilik kuliah sahaja, malah ilmu-ilmu yang telah ALLAH s.w.t bentangkan di hadapan setiap hambaNya.

Kini tugas ana semakin berat. Tugas sebagai anak sulung membawa diri bertindak semakin matang. Dalam perancangan hidup yang mesti tersusun. Sama ada penyusunan dalam gerak kerja dakwah atau diri dan keluarga.

Alhamdulillah... semuanya adalah yang terbaik telah ALLAH s.w.t bentangkan dihadapan. Sama ada diri kita ingin mengambilnya sebagai pakaian hidup atau pun tidak.

Walaupun sibuk di rumah, alhamdulillah rezeki ALLAH tetap ada. Alhamdulillah kini ana sedang sibuk membantu untuk mengumpulkan data tesis, menjadi guru tuisyen di SMA Saidatina Khatijah dan di samping kerja-kerja yang tak lupa pentingnya.

Alhamdulillah.... ana juga semakin sibuk mengulang kaji ilmu-ilmu perubatan ISLAM yang tak pernah dilupakan. Sudah hampir satu bulan tidak ke kuliah di sebabkan kekangan waktu, walau bagaimana pun, insya ALLAH pesanan guru-guruku tetap menjadi lonjakkan semangat pada ana.

Apa-apa pun, insya ALLAH sebanyak mana pun perancangan kita, ingatlah perancangan ALLAH lebih hebat. Insya ALLAH yang terbaik untuk semua sahabat-sahabat dan sahabaiah-sahabiah tetap di doa'akan.

Doa'akan ana kuat menempuh ujian yang bakal menjelang selepas ni.

*tahniah buat bonda tersayang yang bakal menerima anugerah guru cemerlang esok, kembarku yang selamat menyembung MASTER dan adik lelakiku yang mendapat keputusan cemerlang dalam semester ini.

..:: Cahaya Mata Hati ::..

Ketahuilah olehmu bahawasanya nafsu itu atas tiga bahagi iaitu

-Lawammah dan
-Amarrah dan
-Muthomainnah.

Maka nafsu Lawammah itu iaitu nafsu Haiwaniah(kebinatangan) yang mengekalkan bagi segala syahwat dan nafsu Amarrah itu iaitu nafsu Syathoniah(keiblisan) yang mengerasi atasnya kasih segala Mukholafat(sesuatu yang menyalahi perintah Allah) dan nafsu Muthomainnah iaitu nafsu Aqliyah(bersifat keruhhan) yang telah suci daripada segala kekeruhan; maka terangkatlah daripadanya segala hijab(sesuatu yang mendindingi)

Setengah ulama daripada golongan "ahli suluk" seperti yang tercatat dalam Kitab Sirras Salikin; mengkelaskan bahagian nafsu yang ada pada seseorang itu kepada 7 jenis iaitu;

-Ammarah
-Lawammah
-Mulhimmah
-Muthommainnah
-Rodhiah
-Mardhiah dan
-Kamaliah.

Nafsu itu kepada tiga bahagian sahaja. Nafsu Lawammah dikaitkan dengan sesuatu sifat jiwa manusia yang lebih banyak kecendurangannya kepada sifat-sifat untuk memenuhi keperluan lahiriah sahaja. Sama halnya dengan sifat-sifat binatang yang hanya memikirkan tentang makan, minum, jimak berenak-enak dan bersenang lenang dengan dunia sekelilingnya sahaja. Manusia seperti ini, tidak pernah memikirkan tentang alam lain dan keperluan-keperluan ruhaniah mereka malah mereka hanyut dengan kekalutan dunia yang fana ini.

Nafsu Amarrah pula dengan sesuatu sifat manusia yang dibayangi oleh feel kelakuan syaitan dan iblis yang sesat lagi menyesatkan. Keperihalannya adalah berkisar kepada penderhakaan kepada hukum dan perintah Allah serta RasulNya. Manusia jenis ini bertindak mengikut kerakusan nafsunya tanpa memperhitungkan soal halal haram, sah batal , wajib haramnya. Mereka sebenarnya adalah syaitan yang bertopengkan manusia. Angkuh sombong, perosak, penindas, pemfitnah, pentingkan diri dan kedudukan, dan lain-lainnya kemungkaran.

Nafsu Muthomainnah mengikut Tok Pulau Manis pula ialah merujuk lepada keperihalan satu golongan manusia mukmin yang Sholeh, yang telah dihidupkan ruhnya, yang dengan pancaran Nurnya dapat memberikan kesan dengan menerbitkan sifat dan peribadinya yang tinggi, yang dapat memandang ke alam tinggi, yang hidup cahaya mata hatinya untuk melihat sesuatu yang ghaib, mengenal sesuatu dengan rasa dan zauk,. Jiwa ini adalah jiwa yang telah bebas dari kurungan nafsu syahwat dan penjara kemanusian yang terbang bebas dengan sayap ruhnya yang bermakrifat ke alam yang haq dan hakiki. Dengan sebab itulah, maka Tok Pulau manis mendatangkan Kalam Hikmah yang seterusnya;.

Berkata Sheikh Ibni Athoillah As Kanddari RA. yang diterjemahkan;

"Maka cahaya mata hati itu iaitu Nurul Aqliyah yang menunjukkan kepada Iman yang memandangkan ia(Nurul Aqliyah) akan dikau akan hampirnya (Allah) daripadamu hingga engkau lihat bahawasanya Haq Taala itu terlebih hampir kepadamu daripada urat tengkuk. Maka tidalah sah bagi maksiat kerena engkau ketahui dengan kenyataan atasmu.".

Monday, June 14, 2010

..:: SELAMAT ULANGTAHUN KELAHIRAN ::..

Thursday, June 10, 2010

..:: Dimana Hatiku? ::..

Assalamu'alaikum warahmatullah wabarakatuh...

Kesunyiaan yang semakin menghimpit. Mencari dan terus aku mencari. Ya ALLAH, adakah aku buta? Buta hati?

Parahnya hati jika jika buta..... Aduh, seperti di tikam-tikam.... Teringatku atas satu kata-kata:


Imam Ghazali : “ Carilah hatimu di tiga tempat..Carilah hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran.Jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak engkau temui, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika engkau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru, kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati.”


Benarlah, bukan mudah mencari ketenangan hakiki apabila diri dan hati dirobek oleh masalah duniawi yang melampau. Kembali kepada fitrah diri. Yang mana diri juga harus diberi makanan rohani dan jasmani. Agar kembali segar bersama keimanan , tawadhuk dan keyakinan yang utuh padaNya Maha Esa.

Seringkali kita mengeluh panjang apabila suatu masalah terjadi. Menganggap itulah masalah terbesar, sukarnya menemui jalan penyelasain. Mengapa ya? Rehat sebentar, tenangkan diri. Istighfar, istighfar, istighfar.


Memang benar, bukan mudah untuk kita kembali mengingatiNya jika diawal kejadian ataupun sebelum masalah itu terjadi, niat tidak diperbetulkan. Maka, itu pentingnya tajdid niat selalu. Andai niat itu kerana Allah ta'ala sepenuhnya, pasti masalah apa pun yang menimpa , kita pasti mampu menanganinya dengan baik. InshaAllah.

Kembali kepada mencari ketenangan hati. Percaya atau tidak, kebanyakan diantara kita sukar menemui ketenangan hati. Mungkin kerana keadaan persekitaran juga menjadi puncanya. Namun, itu bukanlah punca utama. Punca utama ialah berbalik kepada diri kita sendiri. Mahu atau tidak mahu. Semua terserah kepada empunya badan. Andai jalan lurus yang dipilih, baiklah perjalanannya. Andai sebaliknya, sukar untuk dikatakan, mungkin juga banyak cabaran atau langsung menemui jalan mati.

Duduk sebentar dan beriman sejenak, orang yang paling bijak ialah orang yang paling banyak mengingati mati dan bersedia menghadapinya.

Mari sahabat - sahabat sekalian, dalam kita sibuk dengan perkara itu dan ini, adakalanya kita terlupa tujuan dan niat kita melakukannya. Apakah kita mengharapkan sesuatu yang bersifat kebendaan? Apakah semakin sibuk kita, semakin jauh kita denganNya? Sehinggakan tiada masa untuk bersama pencipta yang Esa, diri sendiri dan keluarga?

Adakalanya kita perlu memikirkan masa untuk diri sendiri, keluarga dan mereka yang berhak. Sememangnya dakwah itu nombor satu, namun masih ada yang utama seiring dengannya. Bertindak adil dalam membahagi waktu :). Mungkin lain orang, lain pendapatnya.

carilah penawar bagi hati yang sakit. Jangan di biarkan hati itu semakin sakit, bimbang tiada lagi penawar. Aku mencari dalam satu rahsia, hanya aku dan DIA sahaja yang tahu...

~Insan Yang Masih Menanti Cintanya Di Balas. Agar Surga Menjadi Milikku~

Sunday, June 6, 2010

..:: Selamat Pengantin Baru ::..




Assalamu'alaikum...



Alhamdulillah... sibuk ana menerima walimah sahabat-sahabat wa sahabiah-sahabiah. Apa lagi sibuk yang berwalimah (",)

Erm... Tahniah kepada yang telah berwalimah. Alhamdulillah, insya ALLAH ana akan ke walimah yang mampu ana ke sana.

Semoga antum membina Baitul Muslim yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.



"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir" (Surah Ar Ruum ayat 21)
Di sini adalah senarainya;

Muslimat:

K.Asyikim dan Pasangannya
Andak (laila) dan Pasangannya
K. Syuhadah dan Pasangannya
Ateh dan Pasangannya
K.Dhie dan Pasangannya

K.Erra dan Pasangannya (tahu dah)

Muslimin:
Akhi Subhi dan Pasangannya


p/s: Selamat berlepas kepada semua ahli-ahli JF. Selamat berlepas (",)





Thursday, June 3, 2010

..:: Tanda-Tanda Bergantung Pada Amalan ::..




Kata Sheikh R.A yang bermaksud :

Setengah daripada alamat orang yang bergantung(bersandar) atas amal itu ialah kurang harapannya apabila melakukan kesalahan(maksiat).

Sebahagian daripada tanda-tanda hamba Allah yang bersandar dirinya pada kekuatan amal usahanya ialah berkurangnya pengharapan terhadap rahmat kurnia Allah dan apabila mereka membuat sesuatu kesalahan atau dosa disisi Allah dan akan sempurna harapannya kepada Allah apabila beliau banyak melakukan ketaatan. Adalah yang demikian itu hal segala orang yang jahil yang menilik bagi dirinya berbuat amal dan orang-orang-orang Arif tiada sekali-kali menilik dirinya berbuat sesuatu amalan.

Adalah segala hal manusia itu terbahagi kepada beberapa bahagi seperti di bawah:

    Yang pertamanya ialah golongan yang bersandar atas amalan yang mereka lakukan dan alamatnya ialah berkurangan harapannnya kepada Allah apabila tiada hasil baginya apa yang dimaksudkan seperti untuk memperolehi sesuatu perkara yang luar biasa daripada amalan-amalan dan ibadat yang dilakukan.

    Yang keduanya ialah mereka yang bersandar kepada anugerah taufik dan hidayah daripada Allah dan alamatnya ialah sentiasa rujuk (melihat kehendak dan kekuasaan Allah) kepada Allah sama ada dalam nikmat kesukaan atau bala(kesakitan). Apabila mereka suka mereka berkata Alhamdulillah dan bersyukur kepadanya dan apabila duka (ditimpa dbencana) kepada Allahlah mereka minta tolong dan berlindung.

    Yang ketiganya ialah mereka yang bersandar atas bahagian yang telah terdahulu iaitu apa-apa yang telah ditentukan pada azali lagi. Alamatnya ialah tiada gundah(bimbang) dengan ketiadaan asbab(seperti makan atau pekerjaan). Maka tiadalah bertambah harapanya kerana sesuatu dan tiada kurang harapannya kerana sesuatu. Sama sahaja ada dan tiada sesuatu dan jikalau ditimbang harapan dan takutnya nescaya bersamaan dalam tiap-tiap waktu dan hal malahan mereka ini sentiasa SUKA DENGAN ALLAH.

Kata setengah daripada kaum sufiah adalah golongan yang ketiga itu ialah mereka yang menyerahkan dirinya dan diam dibawah perintah segala hukum Allah iaitu mereka yang sentiasa menilik dan musyahadah kepada fi'li(perbuatan) Allah dan FANA daripada dirinya.

Berkata pula setangah daripada orang-orang MUHAQQIQIN R.A, barangsiapa yang sampai kepada HAKIKAT ISLAM (pengakuan zohir) maka tidaklah kuasa dia daripada berhenti untuk sentiasa melakukan amal dan ibadat dan barangsiapa samapai kepada HAKIKAT IMAN maka tiadalah berupaya untuk berpaling(lari) daripada amal dan ibadat dan barangsiapa sampai kepada HAKIKAT IHSAN maka tiadalah kuasa dia berpaling kepada sesuatu lain daripada Allah(sentiasa musyahadah dengan Allah).

Ketahui olehmu wahai Salik !!.

bahawasanya adab kepada orang yang AHLI THORIQ dalam sesuatu waktu(detik/saat) itu boleh jadi

  • ADAB AL-SYARIAT dan dalam sesuatu waktu boleh jadi
  • ADAB-AL-HIKMAT dan sesuatu waktu yang lain boleh jadi
  • ADAB-AL-HAQ.
Maka maksud ADAB-AL-SYARIAT itu ialah berdiri yakni buat amal dan menunaikannya mengikut kehendak hukum syarak. Ini adalah langkah permulaan bagi segala orang yang menjalani jalan menuju kepada Allah.

Maka maksud ADAB-AL-KHIDMAT ialah fana(hilang/hapus) daripada melihat segala amalan yang dikejakannya dan tiadalah mereka memandang kepada yang demikian itu melainkan kepada anugerah Allah Taala jua kerana bagi oarang yang dalam makam ahli khidmat, WAJIB bagi mereka tidak bersandar di atas amalan yang mereka kerjakan.

Maksud ADAB-AL-HAQ ialah seperti "kuketahui barang yang bagimu dan barang yang hak Allah. (hilang dan tenggelam jiwanya dalam lautan musyahadah dengan Allah). Inilah makam atau kedudukan orang yang AHLI TAHKIQ kerana hamba itu apabila mengenal ia hakikat sifat-sifat hamba iaitu FAKIR, DHOIF, LEMAH, HINA dan KURANG di samping mengenal suatu yang tuhannya yang bersifat dengan GHONI(KAYA), QAWI(KUAT/KUASA), QADIR(PEKEHENDAK), 'AZIZ(MULIA) DAN KAMALAT(KESEMPURNAAN).... maka hamba yang ahli-tahkiq ini fanalah ia daripada tiap-tiap barang yang lain daripada Allah. (tidak nampak susautu ini melainkan melihat akan kewujudan Allah yang MAHA SEMPURNA).

INILAH... bagi hamba-hamba pilihan yang berupaya melihat akan kamalat kudrat tuhannya kerana bahawasanya barangsiapa tiada melihat akan kamalat kudrat tuhannya dalam MAKRIFAT maka gugurlah(turun) ia makam atau keadaan yang sempurna (INSANUL KAMIL). Maka apabila telah engkau lihat akan kamalat kudrat tuhamnu maka fanalah engkau daripada tiap-tiap perkara yang lain daripadaNya. Sesungguhnya hendaklah engkau ketahui bahawasanya kehendak Allah daripamu dalam tiap-tiap hal dan tiap-tiap perkataan dan tiap-tiapa makam.

INILAH... kesudahan-kesudahan adab kerana bahawanya yang dikehendaki oleh hak Allah ialah bahawa engkau itu tiada berdaya dan hendaklah engkau menggugurkan segala ikhtiarmu (iaitu tidak pandang dan mengira-gira) dan hendaklah engkau memutuskan kehendakmu(jangan nampak kekuasaanmu) pada tiap-tiap perkara yang Allah telah tetapkan engkau di dalamnya, sama ada di dalam Maqam Tajrid(semata-mata beribat kepada Allah tanpa memikirkan usaha) atau di dalam Maqam Asbab.

Senarai Kitab-Kitab

1.Nasihat Agama Dan Wasiat Iman - Imam Habib Abdullah Alwi Al-Haddad dan diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait.

2.Dakwah Yang Sempurna Dan Peringatan Yang Utama - Imam Habib Abdullah Alwi Al-Hadad dan diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait.

3.Petunjuk Thariqat Ke Jalan Akhirat - Imam Al-Haddad diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait.

4.Peringatan Tentang Umur Insan - Imam Al-Haddad diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait.

5.Petunjuk Jalan Thariqat” - Imam Al Haddad dan diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait.

6.Ar-Risalah karya Imam al-Qusyairi

7.Az Zubad karya tulis Syeikh Ibnu Ruslan

8.Al Minhaaj karya tulis Imam Nawawi

9.Awarifu al-Ma’arif karya tulis Imam al-Saharwurdi

10.Iljamul 'awam oleh AL Imam Ghazali.

11.Irsyadul Anam Fi Tarjamati Arkanil Islam oleh Al Habib Usman bin Abdullah bin ‘Aqil bin Yahya Al Alawi Al Husaini.

12.Keutamaan Keluarga Rasulullah saw oleh K.H Abdullah bin Nuh

13.Perhiasan Bagus oleh Al Habib Usman bin Abdullah bin ‘Aqil bin Yahya Al Alawi Al Husaini.

14.Thariqah Bani Alawi oleh Habib Novel bin Muhammad Al Idrus.

15.Riyaadhus Shaalihiin karya Imam Muhyiddin Abu Zakaria an-Nawawi.

16.Jalan Nan Lurus : Sekilas Pandang Tarekat Bani 'Alawi oleh Ustaz Novel @ Naufal bin Muhammad al-'Aydru.



Sajak Pemilik Diri

Ya Tuhan pemilik kekuasaan
Memberi kekuasaan menganugerah kejayaan
Memuliakan hamba dengan keimanan
Di tanganMu segala kebaikan dan kekayaan

Engkau menabir siang dan malam
Menerbitkan yang hidup dari yang mati
Kembangkan Lembayung rahmatMu
Kepada kami insan yang memerlukan

Ya Tuhan tautkan hati kami dengan kemanisan iman
Kekalkan kemesraan dalam kehidupan
Jalinkan ukhuwah sesama insan
Lapangkan hati kami dengan limpah keyakinan

Ya Tuhan dengarlah rintihan hambaMu
Berserah jiwa dan raga untukMu
Demi agama, bangsa dan UmatMu
Kuatkan, tabahkan hati menyanjung syariatMu


Mujahid Setia

Bangkitlah mujahid bangkitlah

Rapatkan barisan rapatkan

Hayunkanlah langkah perjuangan

Mati syahid atau hidup mulia



Siapkan dirimu siapkan

Gentarkan musuhmu gentarkan

Takkan pernah usai pertarungan

Hingga ajalkan menjelang



Henyakkan rasa takut dan gentar

Walau ragakan meregang nyawa

Kerna Allah telah janjikan syurga

Untukmu MUJAHID SETIA

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP